Adakah anda berasa letih dan mengantuk setiap kali bangun pagi?

Adakah anda seorang yang sentiasa bergantung kepada air kopi setiap pagi? Adakah minuman tenaga adalah minuman harian anda?

Jika soalan-soalan ini sinonim dengan anda, maka sila semak kembali kualiti dan kuantiti tidur anda dan apa yang anda makan setiap hari.

Dalam bab pemakanan, pengambilan terhadap makanan yang diproses dan ditambah gula adalah bukan pilihan terbaik untuk membuatkan anda bertenaga. Malah, makanan ini akan membuatkan anda rasa letih dan mengantuk.

Makanan yang sepatutnya diambil dalam diet harian kita ialah makanan yang paling kurang diproses dan segar. Makanan seperti ini boleh membuatkan badan terasa ringan dan bertenaga.

letih dan mengantuk

Jom lihat makanan yang boleh memberikan kita tenaga dan menghilangkan rasa mengantuk.

1. Telur

Telur ialah makanan yang sarat dengan nutrisi.

Telur mengandungi kumpulan vitamin B yang bertanggungjawab untuk menukar makanan kepada tenaga (1).

Selain itu, telur turut mengandungi nutrien seperti kolina. Kolina merupakan nutrien penting untuk menyokong penghasilan tenaga (2).

Pastikan juga anda makan keseluruhan telur itu tanpa mengasingkan kuning telur kerana kuning telur ini mengandungi paling banyak nutrien.

2. Kacang Tanah

Kacang tanah juga merupakan antara makanan yang baik untuk mendapatkan sumber protein, serat dan vitamin B. Kacang tanah mempunyai kumpulan vitamin B yang membantu badan menukar makanan kepada tenaga.

Kacang tanah juga tinggi dengan mineral magnesium yang boleh melawan keletihan otot (3).

Jadikan kacang tanah ini sebagai snek semasa minum pagi anda.

3. Tembikai / Air

Dehidrasi juga boleh membuatkan kita rasa letih semasa bangun pagi.

Buah tembikai ialah buah yang tinggi dengan kandungan air iaitu kira-kira 92% dan mengandungi mineral dan vitamin yang baik untuk badan. Selain itu, buah tembikai mempunyai asid amino L-citrulline yang boleh mengurangkan kesakitan otot (4).

Air kosong juga boleh mengantikan buah tembikai bagi membolehkan kita terus terhidrasi.

4. Kurma

Makanan sunnah ini terkenal dengan keupayaannya untuk memberi tenaga pantas.

Buah kurma adalah sumber terbaik untuk mendapatkan kalsium, fosforus, kalium, magnesium, zat besi dan zink.

5. Buah Epal

Buah epal adalah sumber utama untuk mendapatkan kuersetin (quercetin). Kuersetin ialah antioksidan yang melindungi sel otak.

Kajian mendapati pengambilan makanan yang tinggi kuersetin meningkatkan stamina dan kapasiti aerobik (penggunaan oksigen maksimum) walaupun kita tidak bersenam (5).

Kuersetin ini paling banyak terdapat pada kulit buah epal. Maka, jangan dikupas kulitnya!

6. Sayur Bayam

Sayur bayam merupakan sumber yang baik untuk mendapatkan zat besi, vitamin C dan folat. Mineral dan vitamin ini penting untuk penghasilan tenaga. Paras zat besi yang rendah boleh membawa kepada keletihan (6).

Jadikan sayur bayam sebagai salah satu bahan dalam menu sarapan anda!

7. Buah Pisang

Buah pisang adalah makanan paling cepat dan mudah untuk anda dapatkan tenaga. Menjadi pilihan kebanyakan atlit sebelum atau semasa perlawanan.

Buah pisang padat dengan kalium (potassium) dan serat yang melambatkan pelepasan gula ke dalam saluran darah. Selain itu, buah pisang juga kaya dengan magnesium dan vitamin B.

Buah pisang boleh dijadikan snek atau dibuat smoothie bagi memulakan pagi anda.

Kesimpulan

Sudah tiba masanya untuk kita mengubah cara kita melawan keletihan di awal pagi.

Dengan melakukan sedikit perubahan terhadap diet harian kita, kita boleh membekalkan badan kita dengan tenaga yang mencukupi sepanjang hari.

Write A Comment