Nutrisi

Makanan Untuk Pesakit Talasemia Untuk Kekal Sihat

Pinterest LinkedIn Tumblr

Talasemia ialah penyakit keturunan pada sel darah merah yang boleh diwarisi oleh anak-anak melalui ibu bapa mereka. Talasemia menyebabkan jumlah hemoglobin (protein dalam sel darah merah) berkurangan. Pemilihan makanan untuk pesakit Talasemia juga adalah penting bagi memastikan mereka membesar dengan sihat.

Hemoglobin ini penting untuk membawa oksigen dan zat makanan ke otak dan seluruh badan. Kekurangannya akan menyebabkan kurang daya tumpuan dalam pelajaran, kurang cergas, tidak cerdas, mengantuk, letih dan mudah pitam.

Di Malaysia, terdapat kira-kira 600 000 hingga 1 juta pembawa Talasemia. Sehingga tahun 2018, terdapat kira-kira 5 000 daripada 8 042 penghidap Talasemia berada di tahap kritikal yang memerlukan rawatan berkala.

makanan untuk pesakit talasemia

Jenis Penyakit Talasemia

Terdapat 2 jenis penyakit Talasemia iaitu:

  • Talasemia Major : pesakit Talasemia.
  • Talasemia Minor : pembawa yang tiada gejala dan kelihatan sihat.

Penghidap Talasemia Major terutamanya kanak-kanak lazimnya akan menjalani pemindahan darah pada setiap 2 hingga 4 minggu. Pemindahan darah yang kerap dan tetap menyebabkan pengumpulan zat besi yang berlebihan.

Zat besi yang berlebihan ini akan berkumpul di hati, kemudiannya di jantung dan kelenjar endokrin.

Zat besi yang berlebihan ini boleh menyebabkan kerosakan atau kegagalan terhadap organ berkaitan seperti hati dan jantung serta penyakit kencing manis.

Kaedah terapi chelation (pengkelatan) digunakan untuk mengeluarkan zat besi yang berlebihan ini.

Makanan Untuk Pesakit Talasemia Major

Pada asasnya, pesakit Talasemia tidak mempunyai keperluan diet yang khusus melainkan seperti yang dipreskripsi oleh doktor.

Bagi pesakit kanak-kanak, keperluan untuk mendapatkan makanan yang normal dan bernutrisi adalah masih perlu diutamakan.

Manakala, bagi pesakit remaja dan dewasa, diet yang rendah karbohidrat bertapis seperti snek, gula, minuman ringan adalah pilihan yang lebih baik.

1. Zat Besi

Pesakit Talasemia Major harus menghadkan pengambilan makanan yang tinggi zat besi seperti hati,limpa, kerang, daging merah atau makanan yang diperkaya dengan zat besi.

Pesakit Talasemia Major juga tidak boleh mengambil makanan tambahan atau suplemen zat besi.

Bagi bayi dan kanak-kanak, kebanyakan makanan bijirin atau multivitamin mengandungi zat besi tambahan. Oleh itu, ibu bapa harus sentiasa memberi perhatian akan kandungan zat besi dalam makanan anak-anak mereka dengan membaca label maklumat nutrisi.

Pengambilan minuman berkafein seperti kopi atau teh semasa waktu hidangan utama boleh membantu mengurangkan penyerapan zat besi.

Namun, terdapat cadangan yang mencadangkan agar pesakit yang mempunyai rutin pemindahan darah dan terapi chelation yang tetap tidak perlu mengikuti diet rendah zat besi.

2. Kalsium

Pemakanan atau diet yang mengandungi kalsium seperti susu, keju dan produk tenusu adalah digalakkan.

Namun, pengambilan makanan tambahan atau suplemen kalsium harus dihindari kerana boleh menyebabkan batu karang dalam kalangan penghidap Talasemia Major dewasa.

Namun, sekiranya pesakit kekurangan kalsium, makanan tambahan kalsium adalah disarankan.

3. Vitamin C

Pengambilan makanan tambahan (suplemen) vitamin C ,ubat-ubatan atau makanan “sihat” yang mengandungi vitamin C harus dielakkan. Ini kerana vitamin C boleh meningkatkan penyerapan zat besi dalam badan.

Pemakanan dengan buah-buahan segar dan sayur-sayuran masih digalakkan. Bagaimanapun, pengambilan buah-buahan sitrus seperti oren atau lemon disarankan diambil berasingan daripada makanan yang mengandungi zat besi dan ketika perut kosong.

Suplemen vitamin C hanya boleh diambil semasa terapi chelation yang menggunakan Desferrioxamine kerana boleh meningkatkan keberkesanannya.

4. Folat

Pesakit Talasemia Major yang tidak menjalani rawatan pemindahan darah atau kurang menjalani rutin pemindahan darah mempunyai pengunaan folat yang tinggi. Ini boleh membawa kepada kekurangan folat.

Oleh itu, bagi pesakit kategori ini pengambilan makanan tambahan folat boleh membantu.

Manakala bagi pesakit yang mempunyai aturan rawatan pemindahan darah yang kerap, kekurangan folat jarang berlaku dan tidak memerlukan makanan tambahan folat.

5. Vitamin E

Vitamin E mempunyai keperluan yang tinggi bagi pesakit Talasemia. pengambilan makanan yang tinggi vitamin E seperti minyak zaitun, minyak sawit dan minyak canola adalah disarankan untuk menampung keperluan vitamin E oleh badan.

Makanan Untuk Pesakit Talasemia Minor

Pesakit Talasemia Minor pula tidak memerlukan diet yang khusus atau kawalan terhadap sesuatu mikronutrien.

Seperti individu lain, golongan ini perlu mengamalkan pemakanan yang seimbang bagi memastikan kesihatan tubuh badan dan terhindar daripada serangan penyakit.

Hindari 3 Bahan ini

  • Arak atau Alkohol : Arak boleh meningkatkan risiko kerosakan hati dan kanser hati.
  • Merokok : Merokok boleh menyebabkan pereputan tulang (osteoporosis).
  • Penyalahgunaan Dadah: Bagi pesakit kronik, penyalahgunaan dadah akan membawa masalah yang lebih besar serta menganggu kesihatan fizikal dan mental.

Kesimpulan

Secara umumnya, terdapat peraturan tertentu bagi mikronutrien tertentu bagi pesakit Talasemia Major. Namun begitu, peraturan ini boleh berubah sekiranya pesakit didapati kekurangan mikronutrien tersebut.

Pesakit Talasemia juga harus mengamalkan gaya hidup yang sihat seperti melakukan aktiviti fizikal dan membina perhubungan yang positif.

Rujukan

1 Comment

Write A Comment