Adakah anda sentiasa berasa letih dan selalu pening-pening? Anda mungkin mengalami simptom anemia atau kekurangan sel darah merah. Jadi apakah makanan yang boleh menambah sel darah merah?

Anemia ialah suatu keadaan di mana terdapat kekurangan sel darah merah di dalam peredaran darah untuk membawa oksigen ke seluruh tisu badan. Fungsi ini dijalankan oleh protein yang dipanggil haemoglobin (1).

Sel darah merah dihasilkan dalam sumsum tulang dan setiap hari badan menghasilkan jutaan sel darah merah ini. Sel darah merah ini kebiasaannya akan hidup selama kira-kira 120 hari dan kemudian akan mati.

Anemia boleh menyebabkan komplikasi yang serius kepada kita. Contohnya seperti kegagalan jantung dan masalah semasa mengandung seperti melahirkan bayi pramatang dan pertumbuhan janin yang terencat semasa dalam kandungan.

3 Nutrien dan Jenis Makanan untuk Meningkatkan Bilangan Sel Darah Merah

Makan makanan yang kaya dengan 3 nutrien ini dapat membantu meningkatkan kadar sel darah merah anda.

1. Zat Besi

Makan makanan yang kaya dengan zat besi boleh meningkatkan penghasilan sel darah merah. Antara makanan yang kaya dengan zat besi ialah (saiz hidangan = 100g):

  • Hati ayam (12.8mg)
  • Daging merah seperti daging lembu tanpa lemak (2.2mg)
  • Hati Lembu (9.0mg)
  • Ikan bilis kering (5.3mg)
  • Ikan Tenggiri (1.1mg)
  • Kerang rebus (7.9mg)
  • Telur (2.4mg)
  • Sayur bayam (5.0mg)
  • Sayur pucuk paku (4.8mg)
  • Sayur kangkung (5.2mg)
  • Buah rambutan (2.5mg)
  • Buah kedondong (3.4mg)
  • Kacang tanah (4.58mg)
  • Roti wholemeal (3.2mg)

2. Vitamin B9 (Asid Folik/Folat)

Menambah vitamin B9 dalam diet pemakanan juga bermanfaat kerana vitamin ini membantu penghasilan sel darah merah (2).

Makanan yang tinggi dengan vitamin B9 (folat) ialah (saiz hidangan = 100g):

  • Beras perang (45 mikrogram)
  • Beras basmathi (25 mikrogram)
  • Beras hancur (18 mikrogram)
  • Buah betik (31 mikrogram)
  • Buah ciku (30 mikrogram)
  • Buah kiwi (29 mikrogram)
  • Buah oren (24 mikrogram)
  • Tempe (10 mikrogram)
  • Daun kesom (10 mikrogram)
  • Labu (8 mikrogram)

3. Vitamin B12

Kekurangan vitamin B12 juga boleh membawa kepada penyakit anemia (3). Vitamin ini diperlukan untuk menghasilkan sel darah merah yang betul.

Makanan yang kaya dengan vitamin B12 ialah seperti berikut (saiz hidangan = 100g):

  • Hati Kambing , dimasak (85.7 mikrogram)
  • Hati lembu, dimasak (83.1 mikrogram)
  • Tiram, dimasak (28.8 mikrogram)
  • Kupang, dimasak (24.0 mikrogram)
  • Hati ayam, dimasak (21.1 mikrogram)
  • Tenggiri, dimasak (19.0 mikrogram)
  • Tuna, dimasak atau mentah (10.9 mikrogram)
  • Daging lembu (2.6 mikrogram)
  • Telur (0.9 mikrogram)
  • Tauhu (2.4 mikrogram)
  • Keju parmesan (2.3 mikrogram)
menambah sel darah merah

Pelengkap (Supplement) untuk Menambah Sel Darah Merah

Sekiranya anda tidak mendapat nutrien yang mencukupi melalui diet harian anda, anda mungkin boleh mendapatkan pelengkap. Pelengkap juga boleh meningkatkan penghasilan sel darah merah dalam badan anda.

Walau bagaimanapun, harus diingati bahawa pelengkap boleh bertindak balas dengan ubat yang anda ambil. Oleh itu, anda harus mendapatkan nasihat doktor sebelum mengambil pelengkap tertentu.

Zat besi: Kekurangan zat besi menyebabkan penghasilan sel darah merah rendah. Bagi lelaki berumur 19-65 tahun, nilai zat besi yang disarankan ialah 14-9 mg/hari. Manakala bagi wanita berumur 19-50 tahun ialah 29-20mg/hari dan 51-65 tahun ialah 11-8 mg/hari.

Vitamin C: Vitamin ini boleh membantu badan menyerap zat besi. Orang dewasa memerlukan kira-kira 500mg vitamin C sehari.

Vitamin B9: Lelaki dewasa memerlukan 400 mikrogram sehari manakala wanita dewasa juga memerlukan 400 mikrogram sehari. Wanita mengandung memerlukan 600 mikrogram sehari.

Vitamin B12: Lelaki dan wanita dewasa memerlukan vitamin B12 sebanyak 4 mikrogram sehari. Manakala wanita mengandung memerlukan 4.5 mikrogram vitamin B12 sehari.

Nilai RNI (Recommended Nutrient Intakes) bagi rakyat Malaysia boleh dirujuk di sini.

Pencegahan Anemia

Pemakanan seimbang adalah kunci untuk menjauhi penyakit anemia ini.

Write A Comment