Nutrisi

Makanan Untuk Melegakan Sakit Sendi Lutut

Pinterest LinkedIn Tumblr

Mencari penawar untuk melegakan sakit sendi lutut sentiasa menjadi keutamaan apabila penyakit ini menyerang. Mana tidaknya kerana sakit sendi terutamanya sakit sendi lutut sangat menganggu pergerakan dan emosi seseorang itu.

Terdapat beberapa jenis sakit sendi (artritis) antaranya ialah osteoartritis dan reumatoid artritis.

Osteoartritis ialah sakit sendi akibat kehilangan rawan pada sendi yang kebanyakan berlaku kepada orang tua. Kebanyakan sendi yang terlibat ialah sendi tangan, lutut, pinggul dan tulang belakang (1).

Reumatoid artritis pula merujuk kepada penyakit sendi yang kronik. Sakit sendi jenis ini boleh mengakibatkan keradangan yang boleh menyebabkan kesakitan, bengkak, kekakuan dan kehilangan fungsi. Reumatoid artritis ialah gangguan autoimun kerana sistem imunisasi menyerang tisu sendi yang sihat (2).

Selain penjagaan berat badan, ubat-ubatan dan terapi, makanan juga boleh membantu mengurangkan keradangan dan melegakan sakit sendi lutut.

Berikut merupakan 7 makanan yang terbaik untuk dimakan jika anda mengalami masalah sendi seperti sendi lutut:

1. Minyak Zaitun

Minyak zaitun sememangnya terkenal dengan sifat antiradangnya.

Satu kajian terhadap tikus di makmal mendapati pengambilan minyak zaitun muda kualiti tinggi (extra-virgin olive oil) selama 6 minggu dapat menghentikan pembentukan sakit sendi, pembengkakkan sendi dan memperlahankan kehilangan rawan (3).

Minyak zaitun juga dapat mengurangkan bengkak dan mencegah daripada kemusnahan rawan pada sendi (4).

2. Lemak Ikan

Lemak ikan mengandungi asid lemak omega-3.

Asid lemak omega-3 bertindak mengurangkan keradangan (inflamasi) dengan mengekang penghasilan sitokin dan enzim yang memecahkan rawan. Selain itu, asid lemak omega-3 ini juga boleh merawat reumatoid artritis (5, 6).

Antara ikan-ikan yang kaya dengan asid lemak omega-3 ialah ikan salmon, ikan sardin, ikan bilis, ikan tenggiri, tiram dan telur yang diperkaya dengan asid lemak omega-3.

3. Halia

Selai menjadi penambah rasa dalam masakan, halia juga turut mempunyai khasiat dalam merawat sakit sendi.

Satu kajian yang dijalankan terhadap 261 pesakit sendi lutut mendapati ekstrak halia dapat mengurangkan kesakitan lutut (7).

Dalam satu kajian terhadap keberkesanan halia dalam merawat osteoartritis mendapati halia dapat mengurangkan kesakitan dan ketidakupayaan. Mereka menyimpulkan bahawa halia selamat untuk digunakan untuk rawatan osteoartritis dan keberkesanannya adalah sederhana (8).

halia boleh melegakan sakit sendi lutut

4. Buah oren

Buah oren adalah antara buah yang tinggi dengan vitamin C.

Vitamin C diperlukan untuk tumbesaran dan membaiki tisu dalam badan manusia. Vitamin C juga memainkan peranan penting dalam membaiki dan mengekalkan rawan. Vitamin C turut dapat mengurangkan gejala sakit sendi lutut (9, 10).

Kekurangan vitamin C boleh melemahkan rawan dan meningkatkan gejala sakit sendi.

Selain buah oren, buah betik, jambu batu dan nanas juga antara buah yang kaya dengan vitamin C.

5. Ikan sardin

Ikan sardin merupakan salah satu sumber yang tinggi dengan vitamin D.

Vitamin D mempunyai khasiat untuk melegakan sakit sendi lutut.

Kajian menunjukkan vitamin D boleh mencegah kerosakan rawan dan mengurangkan risiko tulang sendi menjadi semakin rapat (11).

Kajian lain menunjukkan pengambilan vitamin D boleh mengurangkan kerosakan pengoksidaan protein, mengurangkan kesakitan, menambah baik kualiti hidup dan meningkatkan kekuatan cengkaman serta pretasi fizikal pesakit sendi lutut (12).

Selain ikan sardin, ikan seperti salmon, ikan tenggiri, telur dan yogurt juga antara makanan yang tinggi kandungan vitamin D.

6. Sayur bayam

Sayuran berdaun hijau seperti bayam kaya dengan nutrien yang berkhasiat.

Sayur bayam tinggi dengan kandungan antioksidan yang dikenali sebagai kaempferol.

Kaempferol ini didapati boleh mengurangkan kesan keradangan yang berkait dengan reumatoid artritis (13).

Selain itu, kajian tabung uji terhadap sel rawan menggunakan kaempferol menunjukkan pengurangan keradangan dan mencegah daripada merebaknya osteoartritis (14).

7. Buah aprikot

Warna jingga pada buah aprikot ini datang daripada sebatian yang dikenali sebagai beta-karotena.

Beta-karotena ialah antioksidan yang boleh membantu memusnahkan radikal bebas yang boleh menyebabkan kerosakan pada sendi. Beta-karotena ini juga boleh mengurangkan risiko perkembangan osteoartritis (15).

Kehadiran beta-karotena dalam buah-buahan dan sayur-sayuran senang dikenalpasti kerana sebatian ini memberikan warna jingga terhadap buah dan sayur tersebut.

Kesimpulan

Penjagaan pemakanan juga antara faktor yang boleh menyumbang ke arah mengurangkan dan melegakan sakit sendi lutut.

Senarai makanan ini diharap dapat membantu serta dimanfaatkan oleh pesakit osteoartritis atau sakit sendi lutut.

Write A Comment