Nutrisi

Khasiat Tongkat Ali: Apa yang Anda Perlu Tahu

Pinterest LinkedIn Tumblr

Tongkat Ali adalah tumbuhan herba yang popular dalam kalangan rakyat Malaysia. Khasiat Tongkat Ali popular sebagai pemberi tenaga dan meningkatkan syahwat kepada kaum lelaki. Malah, pengkaji barat turut melabelkan Tongkat Ali sebagai “home grown Viagra“.

Tongkat Ali boleh dijumpai di kebanyakan negara Asia Tenggara seperti Malaysia, Indonesia, Thailand dan Vietnam. Di Malaysia, akar Tongkat Ali turut dikenali sebagai “Ginseng Malaysia” dan secara saintifiknya dikenali sebagai Eurycoma longifolia.

Perubatan tradisional telah menggunakan Tongkat Ali sebagai rawatan anti-penuaan bagi meningkatkan tenaga, mood dan syahwat yang berkurangan selari dengan peningkatan usia. Selain itu, akar Tongkat Ali turut digunakan untuk merawat malaria, kanser, leukimia, osteoporosis, tekanan, sifilis dan bengkak kelenjar limfa.

Kini, banyak syarikat produk kesihatan yang memanfaatkan khasiat Tongkat Ali dalam produk mereka.

Artikel kali ini berkongsi beberapa kajian yang menyokong penggunaan Tongkat Ali dalam perawatan dan kesihatan manusia.

khasiat tongkat ali

Berikut adalah beberapa khasiat Tongkat Ali yang disokong oleh kajian sains.

1. Membantu Meningkatkan Kesuburan Lelaki

Akar Tongkat Ali sememangnya telah lama diamalkan oleh nenek moyang kita untuk meningkatkan kesuburan kaum lelaki.

Kajian makmal terhadap haiwan yang dijalankan di Afrika Selatan mendapati ekstrak akar Tongkat Ali boleh meningkatkan kepekatan hormon testosteron dan sperma [1].

Manakala kajian lain yang dijalankan terhadap 76 pesakit yang mengalami masalah sindrom kekurangan testosteron menunjukkan pengambilan ekstrak Tongkat Ali sebanyak 200mg berjaya meningkatkan peratusan pesakit yang mempunyai kadar testosteron yang normal daripada 35% kepada 90% [2].

2. Boleh Membantu Mengurangkan Stres

Tongkat Ali juga dipercayai boleh membantu dalam pengurangan tekanan (stres) dan pengurusan emosi.

Kajian telah dijalankan oleh beberapa syarikat suplemen mendapati ekstrak Tongkat Ali boleh menambah baik profil hormon stres dan keadaan mood yang lain seperti mengurangkan kemarahan, tekanan dan kekeliruan [3].

3. Boleh Meningkatkan Saiz dan Kekuatan Otot

Ekstrak Tongkat Ali juga didapati boleh meningkatkan saiz dan kekuatan otot pemakannya. Khasiat ini sangat bermanfaat terutamanya kepada atlet.

Kajian yang dijalankan oleh pengkaji dari Universiti Malaya mendapati berlaku peningkatan terhadap saiz dan kekuatan otot bagi mereka yang menerima 100mg ekstrak Tongkat Ali sehari selama 5 minggu.

Selain itu, kumpulan yang menerima ekstrak Tongkat Ali ini juga turut menunjukkan pengurangan dari segi lemak badan dan peningkatan dari segi jisim badan tanpa lemak [4].

Khasiat ini dipercayai disebabkan oleh kemampuan Tongkat Ali untuk merangsang penghasilan hormon testosteron.

4. Meningkatkan Prestasi Seks Lelaki

Khasiat Tongkat Ali yang seterusnya ialah dari segi kemahuan dan prestasi seks bagi kaum lelaki pada usia pertengahan.

Masalah mati pucuk menghantui kira-kira 52% lelaki berumur 40-70 tahun di seluruh dunia. Golongan berusia semakin berisiko untuk menghidap masalah mati pucuk ini.

Hormon testosteron memainkan peranan penting dalam mengekalkan sistem reproduktif bagi kaum lelaki. Namun begitu, penghasilannya akan terus berkurang selari dengan peningkatan usia.

Satu kajian menggunakan suplemen mengandungi 200mg ekstrak Tongkat Ali dan 100mg ekstrak kesum dijalankan terhadap 30 orang lelaki berusia 40 hingga 65 tahun selama 12 minggu.

Hasil kajian mendapati kumpulan yang menerima gabungan ekstrak Tongkat Ali dan kesum menunjukkan peningkatan kepada prestasi seks mereka [5].

5. Mempunyai Kesan Antimalaria

Walaupun Malaysia tidak lagi diancam dengan penyakit Malaria, namun Malaria tetap menjadi pembunuh yang tinggi di seluruh dunia. Menurut WHO, terdapat 405 000 kematian diseluruh dunia disebabkan Malaria pada 2018.

Tongkat Ali telah digunakan sejak dahulu lagi untuk merawat demam Malaria. Kajian moden yang dijalankan turut menyokong penggunaan Tongkat Ali dalam merawat Malaria yang disebabkan oleh parasit Plasmodium falciparum.

Sebatian yang dikenali sebagai eurycomanone dan asid 7-methoxy-beta-carboline-1-propionic dalam akar Tongkat Ali mempunyai kesan antimalaria [6].

Kajian lain turut menunjukkan 3 sebatian utama kuasinoid dalam Tongkat Ali mempunyai sifat antimalaria yang kuat [7].

6. Boleh Melawan Kanser

Selain itu, khasiat lain yang terkandung dalam Tongkat Ali adalah keupayaannya untuk melawan kanser.

Akar Tongkat Ali didapati mengandungi sebatian-sebatian yang mempunyai kesan sitotoksik terhadap sel-sel kanser payudara dan sel-sel kanser paru-paru [8].

Di samping itu, terdapat kajian-kajian lain yang turut mendapati akar Tongkat Ali bersifat sitotoksik terhadap sel-sel kanser payudara, kolon, paru-paru, melanoma, fibrosarcoma dan leukimia [9].

Walau bagaimanapun, dapatan-dapatan ini masih memerlukan kajian klinikal yang dijalankan terhadap pesakit kanser untuk mengetahui kesan sebenarnya.

7. Boleh Mencegah Jangkitan Bakteria

Selain akarnya, batang dan daun Tongkat Ali juga turut mempunyai khasiat iaitu boleh mencegah jangkitan bakteria seperti bakteria E.coli, Salmonella typhi, Staphylococcus aureus dan Serratia marscesens [10].

Terdapat kajian lain yang yang dijalankan terhadap ekstrak daun Tongkat Ali dan Kacip Fatimah turut mendapati kedua-dua ekstrak ini boleh mencegah bakteria jenis Staphylococcus aureus dan Pseudomonas aeruginosa. Bakteria-bakteria ini boleh menyebabkan jangkitan pada paru-paru, darah, salur pernafasan dan kulit [11].

8. Khasiat-khasiat Lain

  • Baik untuk Penghidap Kencing Manis: Kajian yang dijalankan oleh pengkaji Jepun mendapati akar Tongkat Ali boleh meningkatkan kesensitifan insulin dengan meningkatkan penggunaan glukosa [12].
  • Mencegah Pereputan Tulang: Pereputan tulang yang berlaku dalam kalangan kaum lelaki turut mempunyai perkaitan dengan kekurangan hormon testosteron. Ekstrak Tongkat Ali boleh merangsang penghasilan hormon testosteron. Di samping itu, ia turut merangsang penghasilan tulang baru dan membunuh sel-sel yang memecahkan tulang [13].

Bagaimana untuk dapatkan Tongkat Ali ini?

Ekstrak Tongkat Ali telah banyak digunakan dalam produk-produk makanan atau kesihatan. Tongkat Ali ini juga boleh diperolehi dalam bentuk suplemen (makanan tambahan) – Dapatkan suplemen Tongkat Ali online.

Kesimpulan

Tidak dapat dinafikan lagi bahawa Tongkat Ali berkhasiat dalam membantu kesihatan kaum lelaki termasuklah kesihatan sistem reproduktif.

Selain untuk kesihatan reproduktif, ekstrak Tongkat Ali juga baik digunakan untuk mengubati masalah tekanan, meningkatkan saiz dan kekuatan otot, merawat demam Malaria, melawan kanser , mencegah jangkitan bakteria, mencegah pereputan tulang dan bermanfaat kepada penghidap diabetes.

Rujukan
  1. Solomon, M. C., Erasmus, N., & Henkel, R. R. (2014). In vivo effects of Eurycoma longifolia Jack (Tongkat Ali) extract on reproductive functions in the rat. Andrologia46(4), 339–348. https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/23464350/ [diakses pada 16 Julai 2020].
  2. Tambi, M. I., Imran, M. K., & Henkel, R. R. (2012). Standardised water-soluble extract of Eurycoma longifolia, Tongkat ali, as testosterone booster for managing men with late-onset hypogonadism?. Andrologia44 Suppl 1, 226–230. https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/21671978/ [diakses pada 16 Julai 2020].
  3. Talbott, S. M., Talbott, J. A., George, A., & Pugh, M. (2013). Effect of Tongkat Ali on stress hormones and psychological mood state in moderately stressed subjects. Journal of the International Society of Sports Nutrition, 10(1), 28. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC3669033/ [diakses pada 16 Julai 2020].
  4. Hamzah, S. & Yusof, ahmad nizam. (2003). The ergogenic effects of Tongkat Ali (Eurycoma longifolia). Br J Sports Med. 37. 464-470.
  5. Udani, J. K., George, A. A., Musthapa, M., Pakdaman, M. N., & Abas, A. (2014). Effects of a Proprietary Freeze-Dried Water Extract of Eurycoma longifolia (Physta) and Polygonum minus on Sexual Performance and Well-Being in Men: A Randomized, Double-Blind, Placebo-Controlled Study. Evidence-based complementary and alternative medicine : eCAM, 2014, 179529.https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC3914427/ [diakses pada 17 Julai 2020]
  6. Kardono, L. B., Angerhofer, C. K., Tsauri, S., Padmawinata, K., Pezzuto, J. M., & Kinghorn, A. D. (1991). Cytotoxic and antimalarial constituents of the roots of Eurycoma longifolia. Journal of natural products54(5), 1360–1367. https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/1800638/ [diakses pada 17 Julai 2020].
  7. Wernsdorfer, W. H., Ismail, S., Chan, K. L., Congpuong, K., & Wernsdorfer, G. (2009). Activity of Eurycoma longifolia root extract against Plasmodium falciparum in vitro. Wiener klinische Wochenschrift121 Suppl 3, 23–26. https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/19915812/ [diakses pada 17 Julai 2020].
  8. Kuo, P. C., Damu, A. G., Lee, K. H., & Wu, T. S. (2004). Cytotoxic and antimalarial constituents from the roots of Eurycoma longifolia. Bioorganic & medicinal chemistry12(3), 537–544. https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/14738962/ [diakses pada 17 Julai 2020].
  9. Kardono, L. B., Angerhofer, C. K., Tsauri, S., Padmawinata, K., Pezzuto, J. M., & Kinghorn, A. D. (1991). Cytotoxic and antimalarial constituents of the roots of Eurycoma longifolia. Journal of natural products54(5), 1360–1367. https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/1800638/ [diakses pada 17 Julai 2020].
  10. Farouk, A. E., & Benafri, A. (2007). Antibacterial activity of Eurycoma longifolia Jack. A Malaysian medicinal plant. Saudi medical journal28(9), 1422–1424. https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/17768473/ [diakses pada 17 Julai 2020].
  11. Farouk, Abd-ElAziem & M Nawi, M Nazri & Hassan, Samira. (2008). Antibacterial Peptides from Eurycoma longifolia (Tongkat Ali) and Labisia pumila (Kacip Fatimah) Leaves in Malaysia. SCIENTIA BRUNEIANA. 9. 55-64.
  12. Lahrita, L., Kato, E., & Kawabata, J. (2015). Uncovering potential of Indonesian medicinal plants on glucose uptake enhancement and lipid suppression in 3T3-L1 adipocytes. Journal of ethnopharmacology168, 229–236. https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/25862960/ [diakses pada 17 Julai 2020].
  13. Mohd Effendy, N., Mohamed, N., Muhammad, N., Naina Mohamad, I., & Shuid, A. N. (2012). Eurycoma longifolia: Medicinal Plant in the Prevention and Treatment of Male Osteoporosis due to Androgen Deficiency. Evidence-based complementary and alternative medicine : eCAM2012, 125761. https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/22844328/ [diakses pada 17 Julai 2020].

Write A Comment