Timun batang mungkin tidak asing lagi bagi kita. Tetapi tahukah kita akan khasiat timun batang ini? Sebenarnya, timun batang adalah buah walaupun selalu dianggap sayur.

Timun batang berasal dari keluarga Cucurbitaceae iaitu keluarga yang sama dengan buah tembikai, labu kuning, rock melon dan lain-lain lagi.

Nama saintifik bagi timun batang ialah Cucumis sativus. Timun batang dikatakan berasal dari tanah India kira-kira 10 000 tahun dahulu. Timun ini juga mahsyur pada zaman ketamadunan Mesir, Greece dan Rome.

Kini, timun batang ini ditanam dimerata-rata tempat di seluruh dunia.

Berikut adalah beberapa khasiat timun batang yang boleh dimanfaatkan oleh pemakannya:

1. Kaya dengan nutrien penting

Timun batang adalah buah yang rendah kalori dan tinggi kandungan air. Dalam 100g timun batang ini terdapat:

  • Air: 96%
  • Kalori: 12 kcal
  • Protein: 0.59 gram
  • Lemak: 0.16 gram
  • Karbohidrat: 2.16 gram
  • Kalsium: 14 miligram
  • Zat besi: 0.22 miligram
  • Magnesium: 12 miligram
  • Fosforus: 21 miligram
  • Kalium: 136 miligram
  • Vitamin C: 3.2 miligram
  • Folat: 14 mikrogram
  • Vitamin K: 7.2 mikrogram

Selain itu, timun batang turut mengandungi beberapa nutrien lain seperti vitamin B, vitamin A, vitamin E, mineral zink, tembaga, dan selenium (USDA).

Untuk mendapatkan nutrien semaksimum mungkin dari timun batang ini, ia harus dimakan bersama-sama kulitnya.

khasiat timun batang

2. Menghidratkan

kandungan air yang tinggi dalam buah ini sangat berguna untuk menghidratkan badan kita.

Sekiranya seseorang itu kurang minum air, pengambilan buah timun batang ini boleh menyokong sedikit sebanyak keperluan air dalam badan dan mengelakkan dehidrasi.

Selain itu, kekal terhidrat dapat mengelakkan kita daripada mendapat masalah kesihatan yang berkaitan dengan perut seperti sembelit, batu karang dan lain-lain lagi (2, 3).

3. Kaya dengan antioksidan

Khasiat timun batang turut merangkumi kandungan antioksidannya.

Antioksidan ialah sebatian yang menghalang tekanan pengoksidaan, iaitu tindak balas kimia yang disebabkan kandungan radikal bebas yang berlebihan.

Radikal bebas dan tekanan pengoksidaan dikaitkan dengan pelbagai masalah kesihatan seperti penyakit kronik (4).

Satu kajian makmal mendapati timun batang mengandungi antioksidan yang dikenali sebagai flavonoid dan tannin. Kedua-dua antioksidan ini bertanggungjawab dalam mengaut radikal bebas dari menyebabkan kerosakan (5).

4. Boleh merendahkan gula dalam darah

Timun batang ini berkemungkinan berkhasiat untuk penghidap kencing manis atau diabetes.

Kajian makmal terhadap haiwan mendapati timun batang adalah antara buah yang berkesan menurun dan mengawal tahap gula dalam darah (6).

Kajian lain yang turut dijalankan terhadap haiwan turut mendapati kulit timun batang boleh menterbalikkan hampir kesemua perubahan yang disebabkan oleh diabetes dan merendahkan kadar gula dalam darah (7).

5. Baik untuk kulit

Terdapat kajian yang mendapati timun batang mempunyai khasiat untuk kecantikan kulit.

Selain kandungan antioksidannya yang boleh melindungi kulit daripada radikal bebas, timun batang juga mempunyai kemampuan seperti pemutih kulit, anti-jerawat dan melindungi kulit dari sinaran UV (8).

Selain itu,hirisan timun batang yang diletakkan dipermukaan kulit juga boleh menyejuk dan melegakan kulit daripada bengkak atau iritasi.

6. Baik untuk kesihatan jantung

Timun batang juga tinggi dengan kandungan kalium (potassium) dan magnesium. Dua nutrien ini amat penting untuk kesihatan jantung.

Kalium mempunyai peranan penting dalam fungsi otot termasuklah menenangkan dinding salur darah. Selain itu, kalium mengurangkan kesan negatif garam (sodium) seterusnya mengurangkan risiko tekanan darah tinggi dan penyakit jantung (9, 10, 11)

Manakala magnesium pula turut membantu mengawal sistem badan termasuklah tekanan darah, gula dalam darah, fungsi otot dan saraf.

Magnesium membantu menenangkan salur darah, penghasilan tenaga dan pembentukan tulang. Kekurangan magnesium turut dikaitkan dengan degupan jantung yang tidak tetap (9, 11).

Senang untuk dimakan

Timun batang adalah antara makanan yang senang untuk dimakan dan dijadikan salad. Selain dimakan segar, timun juga turut dijeruk.

Kandungan kalorinya yang rendah menjadikan timun batang antara pilihan makanan yang sesuai kepada mereka yang ingin menurunkan berat badan.

Kesimpulan

Timun batang adalah pilihan makanan yang sihat dan menyegarkan yang harus dimanfaatkan oleh kita. Selain mudah untuk didapati dipasaran, harganya juga tidaklah mahal.

Manfaatkan khasiat timun batang ini untuk kesihatan jantung, kadar gula dalam darah, kulit dan untuk fungsi tubuh badan yang lain.

Write A Comment