Sekilas pandang sayur ini umpama sayur kubis bunga, namun berbeza warnanya. Sayur brokoli mempunyai banyak khasiat dan manfaat untuk kesihatan kita. Namun kurang digemari oleh kanak-kanak mahupun sesetengah orang dewasa! Brokoli merupakan sayuran yang amat banyak nutrisinya. Sifatnya yang tinggi dengan serat dan rendah kalori menjadikan satu pilihan yang baik dalam diet seharian kita.

Sayur ini kaya dengan antioksidan seperti vitamin C dan E, polifenol, karotenoid dan juga flavanoid (1). Brokoli boleh dimakan dengan cara mencelur, digoreng bersama-sama sayur-sayuran yang lain, digril bersama-sama daging, dibuat salad atau bermacam-macam lagi.

khasiat sayur brokoli

Mengambil sayuran dalam diet seharian diketahui umum mempunyai banyak khasiatnya dalam mencegah atau mengubati penyakit – penyakit kronik atau kanser. Brokoli termasuk dalam kategori sayuran hijau yang dikatakan mampu mengatasi masalah obesiti, diabetes, masalah jantung dan kanser.

Beberapa khasiat dan kebaikan sayur brokoli adalah seperti berikut:

1) Antikanser

Diet yang kaya dengan sayuran brokoli memainkan peranan penting dalam mencegah penyakit kronik seperti penyakit berpunca daripada masalah kardiovaskular dan karsinogenik, kanser payudara dan kanser prostat (2).

Kajian juga mendapati ia mampu mengurangkan pembentukan kanser hati yang banyak berkait dengan diet tinggi lemak dan tinggi gula.

Brokoli juga mempunyai sebatian antikanser yang dikenali sebagai ‘sulforaphane‘.

Ahli kimia makanan dari Johns Hopkins University School of Medicine, telah menemukan bahawa sayur ini kaya dengan bahan yang dikenali sebagai “isothiocyanates“. Bahan kimia yang merangsang tubuh untuk menghasilkan bahan pelawan kanser yang dikenali “enzim fasa dua”.

2) Merendahkan Kolestrol ‘Jahat’

Kajian mendapati diet yang tinggi dengan brokoli dapat merendahkan plasma kolestrol jenis LDL. Kolestrol – LDL merupakan kolestrol “jahat” yang sekiranya berada pada jumlah yang tinggi boleh membawa kepada penyumbatan arteri.

3) Merawat Masalah Kulit

Brokoli dapat membantu penggunanya kelihatan lebih muda. Kaya dengan antioksidan seperti Vitamin C membantu melawan kerosakan kulit akibat daripada cahaya matahari dan pencemaran, mengurangkan kedutan dan memperbaiki keseluruhan tekstur kulit.

Vitamin C memainkan peranan penting dalam penghasilan kolagen.

Di samping itu, sayuran hijau ini turut mengandungi vitamin A dan E yang diperlukan oleh kulit yang sihat.

4) Membantu dalam Penghadaman

Brokoli sangat kaya dengan serat. Terdapat 1 gram serat bagi setiap 10 kalori brakoli. Ia membantu dengan mengekalkan bakteria yang sihat dalam usus kita.

Kandungan sulforaphane dalamnya membantu bakteria dalam perut daripada terlebih besar atau berpaut terlampau kuat pada dinding perut.

5) Pembekuan Darah dan Kesihatan Tulang

Sayur brokoli juga mempunyai vitamin K. Vitamin ini popular dengan peranannya dalam pembekuan darah dan metabolisma tulang.

Kekurangan vitamin K boleh membawa kepada risiko retakan tulang. Kajian mendapati, vitamin K mempunyai kesan positif pada ketumpatan tulang dan mengurangkan risiko tulang retak.

Kesimpulan

Kesimpulannya, khasiat dan kebaikan sayur daripada keluarga kubis ini haruslah dimanfaatkan dalam diet seharian kita.

Write A Comment