Nutrisi

Khasiat Pegaga Yang Ramai Tidak Tahu

Pinterest LinkedIn Tumblr

Pegaga atau nama saintifiknya, Centella asiatica ialah sejenis tumbuhan herba yang tumbuh menjalar dan daunya dibuat ulam atau ubat. Khasiat pegaga telah dimanfaatkan oleh masyarakat China, Malaysia, Indonesia dan India untuk tujuan perubatan.

Tumbuhan herba ini berasal dari Malaysia, India, Sri Lanka, Australia, Indonesia, Iran dan beberapa bahagian Asia lain.

khasiat pegaga

Berikut ialah beberapa khasiat pegaga untuk kesihatan kita:

1. Menyembuhkan Luka

Ekstrak pegaga telah lama digunakan untuk menyembuhkan luka oleh perubatan tradisional.

Kajian-kajian yang dijalankan terhadap pokok herba ini menyokong bahawa pegaga boleh menyembuhkan luka.

Beberapa kajian mendapati pegaga boleh mempercepatkan penyembuhan luka, meningkatkan pembentukan kolagen, menebalkan kulit di bahagian luka dan menghalang berlakunya radang (1, 2, 3, 4).

2. Boleh Mengurangkan Tekanan atau Kebimbangan

Pegaga mempunyai sebatian yang dikenali sebagai triterpena.

Kajian yang dijalankan oleh saintis di Second Military Medical University, Shanghai mendapati sebatian triterpena ini mempunyai ciri-ciri antikemurungan (5).

Kajian lain yang dijalankan pada tahun 2005 oleh Shanghai Jiao Tong University, Shanghai turut menunjukkan sebatian triterpena mempunyai ciri-ciri antikemurungan yang terlibat dalam memperbaiki fungsi tindak balas tekanan dan mengurangkan kemurungan (6).

3. Meningkatkan Fungsi Kognitif

Khasiat pegaga juga turut merangkumi kesihatan otak dan sistem saraf.

Satu kajian pada 2016 membandingkan ekstrak pegaga dengan asid folik dalam meningkatkan fungsi kognitif selepas serangan strok. Hasil kajian ini mendapati ekstrak pegaga mempunyai kebaikan yang sama dengan asid folik dalam menambah baik fingsi kognitif. Namun, pegaga lebih berkesan dalam menambahbaik daya ingatan (7).

Kajian lain turut mendapati air ekstrak pegaga menunjukkan peningkatan dari segi daya ingatan dan pembelajaran dalam kalangan tikus tua (8).

Kajian klinikal yang dijalankan di Thailand terhadap 28 individu yang sihat mendapati pengambilan ekstrak pegaga dengan dos 750mg sehari selama 2 bulan dapat meningkatkan fungsi kognitif (9)

4. Dapat Melindungi Saraf

Pegaga turut mempunyai keupayaan untuk melindungi saraf dari penyakit Alzheimer, Parkinson dan juga mengurangkan tekanan pengoksidaan.

Dalam kajian in vitro menunjukkan ekstrak pegaga dapat mencegah enzim yang bertanggungjawab dalam perkembangan penyakit Alzheimer (10).

Kajian in vivo juga mendapati ekstrak pegaga boleh melindungi kerosakan sel yang berlaku bagi penghidap penyakit Parkinson dengan mengurangkan tekanan pengoksidaan (11).

5. Mencegah Luka Gaster (salur pencernaan)

Kajian makmal mendapati ekstrak air pegaga berkesan untuk mencegah luka gaster yang disebabkan penggunaan etanol (12).

Ekstrak air pegaga juga turut didapati dapat mengecilkan luka (ulser) pada kajian yang dijalankan terhadap tikus makmal (13).

6. Bersifat Antibakteria

Khasiat pegaga turut merangkumi sifat antibakterianya. Ekstrak daun pegaga digunakan oleh orang tempatan untuk menghilangkan sakit perut dalam kalangan kanak-kanak.

Kajian oleh pengkaji dari Bangladesh mendapati ekstrak pegaga adalah ajen antibakteria yang efektif terhadap bakteria, fungus dan virus yang menyerang manusia (14).

Kajian yang dijalankan oleh Institute for Medical Research, Kuala Lumpur juga mendapati ekstrak pegaga menunjukkan sifat antibakteria terhadap bakteria jenis Staphylococcus aureus dan Methicillin Resistant Straphylococcus aureus (MRSA) (15).

7. Boleh Melegakan Kesakitan Sendi

Ciri-ciri antiradang yang terdapat dalam pegaga mungkin berguna untuk merawat sakit sendi.

Satu kajian yang dijalankan terhadap tikus makmal mendapati pengambilan pegaga secara makan dapat mengurangkan kebengkakan pada sendi, penghakisan rawan, dan penghakisan tulang (16).

8. Mengurangkan Selulit

Satu ujikaji terhadap 60 individu yang mempunyai masalah selulit dijalankan dengan menggunakan krim yang mengandungi ekstrak pegaga. Krim ini dipakai sebanyak 4 kali sehari selama 4 bulan.

Hasil kajian ini mendapati ekstrak pegaga dapat mencegah perkembangan selulit itu dan penambahbaikan sebanyak 85% terhadap keadaan kulit (17).

Kajian lain yang dijalankan terhadap 65 individu dengan masalah selulit yang teruk turut mendapati pengambilan ekstrak pegaga ini dapat mengurangkan selulit pada 58% pesakit (17).

9. Melancarkan Salur Darah

Ekstrak pegaga juga turut dikatakan berada pada tisu penghubung dengan menguatkan salur darah atau urat yang lemah. Esktrak herba ini juga turut membantu dalam penyelenggaraan tisu penyambung (18 ,19).

Dalam kajian yang dijalankan terhadap 94 orang pesakit ketidakcukupan vena (masalah saluran darah yang bermasalah untuk menyalurkan darah dari kaki ke jantung) mendapati penambahbaikan dalam kumpulan mengambil ekstrak pegaga berbanding mereka yang makan ubat (20).

10. Mungkin Mempunyai Kesan ‘Detox’

Kajian baru mencari kesan pegaga terhadap ketoksikan buah pinggang dan hati.

Kajian terhadap tikus makmal yang diberikan ubat antibiotik isoniazid mendapati pegaga boleh digunakan untuk menahan kesan sampingan (ketoksikan) ubat ini (21).

Isoniazid ialah ubat yang digunakan untuk merawat dan mencegah penyakit tibi.

Kesimpulan

Sebenarnya banyak khasiat pegaga yang menarik yang mungkin kita tidak tahu atau sedar selama ini.

Pegaga mungkin kurang popular kerana rasanya yang agak pahit. Namun, kebolehan herba ini merawat luka, fungsi kognitif, saraf, sakit sendi dan lain-lain lagi patut diketengahkan supaya pegaga terus mendapat permintaan dalam kalangan masyarakat.

1 Comment

  1. Abah sy selalu buat jus pegaga. Rasa pahit skit tp klu pandai buat, jus dia rasa fresh. Sedap..

Write A Comment