Nutrisi

Khasiat Nangka Yang Sangat Menyihatkan

Pinterest LinkedIn Tumblr

Buah nangka sememangnya popular di Malaysia. Selain rasanya yang manis dan isinya yang pejal, khasiat nangka juga menjadikannya makanan yang menyihatkan.

Nangka digelar buah eksotik yang berasal dari selatan India dan Malaysia. Nama saintifik bagi buah ini ialah Artocarpus heterophyllus. Nangka ialah sebahagian daripada keluarga Moraceae iaitu keluarga buah tin, mulberi dan sukun.

Buah nangka kebiasaannya besar dan boleh mencecah berat sehingga 50 kg (1).

Nangka enak dimakan segar atau boleh dibuat jus, kordial, kari dan sebagai pencuci mulut.

Berikut adalah beberapa khasiat nangka yang boleh dimanfaatkan untuk kesihatan kita:

1. Kaya dengan nutrien penting

Buah nangka mempunyai profil nutrien yang menarik juga.

Bagi 100 gram buah ini, terdapat kira-kira 74% air dan 95 kalori tenaga.

Selain itu, buah nangka turut mempunyai nutrien-nutrien seperti berikut (2):

  • Protein: 1.72 gram
  • Lemak: 0.64 gram
  • Karbohidrat: 23.25 gram
  • Serat: 1.5 gram
  • Kalsium: 24 miligram
  • Magnesium: 29 miligram
  • Fosforus: 21 miligram
  • Kalium: 448 miligram
  • Vitamin C: 13.7 miligram
  • Folat: 24 mikrogram

Selai itu, nangka juga mempunyai mineral dan vitamin seperti zat besi, zink, tembaga, mangan, vitamin B dan vitamin A.

khasiat nangka

2. Mengurangkan tekanan darah

Buah nangka kaya dengan kandungan kalium (potassium).

100gram buah nangka membekalkan kira-kira 9.5% RNI (recommended nutrient intake) bagi kalium.

Kalium boleh membantu dalam mengurangkan tekanan darah tinggi dan mengurangkan kesan negatif garam (natrium). Natrium yang tinggi boleh menyebabkan kenaikan tekanan darah yang akan memberi kesan terhadap jantung dan salur darah (3, 4, 5).

3. Mencegah penyakit kardiovaskular

Penyakit kardiovaskular ialah istilah umum bagi penyakit yang menyerang jantung dan salur darah.

Ia selalunya melibatkan pengumpulan lemak di dalam arteri (aterosklerosis) dan meningkatkan risiko darah beku. Penyakit jantung koronari dan strok adalah jenis-jenis penyakit kardiovaskular.

Pengoksidaan kolesterol LDL (kolesterol jahat) dalam darah boleh menyebabkan aterosklerosis. Selain itu, radikal bebas juga menyebabkan kecederaan tisu, pengoksidaan protein, kemusnahan DNA dan menyebabkan keradangan (6, 7)

Antioksidan seperti karotenoid dalam buah nangka boleh melambatkan, membantutkan atau mencegah proses pengoksidaan ini (8).

Kajian lain mendapati 70% daripada aktiviti antioksidan nangka datang daripada biji dan isinya (9).

4. Baik untuk kulit

Khasiat nangka juga merangkumi kesihatan kulit kita. Ini kerana nangka adalah sumber yang baik untuk mendapatkan vitamin C.

Vitamin C boleh melindungi kulit kita daripada kerosakan akibat daripada proses penuaan atau terdedah terlalu lama kepada matahari (10).

Vitamin C juga penting untuk menghasilkan kolagen, protein yang memberi ketegangan dan kekuatan kepada kulit (11).

5. Mencegah kanser dan ulser

Kandungan fitonutrien seperti lignan, isoflavon dan saponin dalam buah nangka pemyumbang kepada sifat antikanser dan antiulser.

Kajian mendapati fitonutrinen ini mencegah pembentukan sel kanser dalam badan dan melawan ulser dalam perut (12).

Kajian lain mendapati isi buah nangka mempunyai sebatian yang boleh mencegah dan merawat kanser limfoma. Selain itu, sebatian dalam buah nangka ini mempunyai ciri-ciri yang boleh mengurangkan kemusnahan DNA dan percambahan sel-sel kanser (13).

6. Bersifat antibakteria

Dalam satu kajian mendapati ekstrak methanolic daripada batang, kulit akar, daun, buah dan biji nangka menunjukkan aktiviti antibakteria terhadap bakteria, protozoan dan fungus.

Kajian ini juga mendapati buah dan kulit akar nangka menunjukkan sifat antibakteria yang paling aktif (14).

7. Mencegah pereputan tulang

Buah nangka juga tinggi dengan mineral magnesium dan kalsium.

Magnesium yang diperolehi melalui diet ini penting untuk mengekalkan fungsi otot dan saraf, menyokong penyerapan kalsium dan membantu tulang agar kekal kuat serta mencegah gangguan berkaitan tulang seperti osteoporosis (pereputan tulang) (15, 16, 17).

Kesimpulan

Khasiat nangka bukan sahaja terletak pada buahnya sahaja. Malahan, biji, daun dan akarnya juga mempunyai khasiat kepada kesihatan kita.

Kita beruntung kerana di Malaysia, buah nangka mudah untuk didapati dan telah mempunyai klon atau jenis nangka yang sedap seperti nangka madu.

Khasiat nangka harus dimanfaatkan sepenuhnya oleh kita.

Write A Comment