Buah markisa (passion fruit) ialah buah tropika yang mempunyai banyak khasiat dan manfaatnya.

Buah markisa kaya dengan antioksidan, vitamin dan sebatian tumbuhan yang boleh memberikan manfaat kepada kesihatan.

Buah ini adalah berasal dari keluarga Passiflora dan ditanam di kawasan beriklim sederhana seperti di Amerika Selatan, Australia, Afrika Selatan dan India.

Terdapat tiga jenis buah markisa iaitu buah markisa berwarna ungu, buah markisa berwarna kuning dan giant granadilla (1).

khasiat & manfaat buah markisa

Berikut adalah khasiat dan manfaat buah markisa untuk kesihatan kita:

1. Kaya dengan Nutrien

Buah markisa mempunyai profil nutrisi yang baik dengan kandungan mikronutrien yang menarik.

Bagi 100 gram buah markisa, terdapat nutrien seperti berikut:

  • Tenaga: 97 kcal
  • Protein: 2.2 gram
  • Karbohidrat: 23.38 gram
  • Serat: 10.4 gram
  • Kalsium: 12 miligram
  • Zat besi: 1.6 miligram
  • Magnesium: 29 miligram
  • Fosforus: 68 miligram
  • Kalium: 348 miligram
  • Vitamin C: 30 miligram
  • Vitamin A: 64 mikrogram
  • Folat: 14 mikrogram

Buah markisa juga tinggi dengan beta-karotina, kolina dan beta-kriptoxantin. Kesemua ini ialah antioksidan yang baik untuk menyelamatkan sel-sel dalam badan daripada kerosakan akibat radikal bebas.

Malahan satu kajian mendapati buah markisa mempunyai polifenol yang lebih banyak berbanding buah laici, pisang, mangga, betik dan buah nanas (2).

2. Baik untuk Kulit dan Wajah

Buah markisa mengandungi antioksidan seperti vitamin A, vitamin C dan beta-karotina yang baik untuk kesihatan kulit dan wajah.

Sebagai contoh, vitamin C ialah vitamin yang paling tinggi kepekatannya di dalam kulit yang normal. Vitamin C ini berperanan untuk menghasilkan kolagen dan bertindak sebagai antioksidan yang melindungi kulit. Seterusnya dapat mengurangkan kedutan kulit di wajah dan kerosakan kulit akibat sinaran UV (3).

Selain itu, vitamin A dan karotenoid seperti beta-karotina juga baik untuk kesihatan kulit. Mikronutrien ini boleh mengalakkan penghasilan kolagen, mengurangkan kedutan, mencegah kerosakn sel, penuaan kulit dan penyakit kulit (4, 5)

3. Baik untuk Penghadaman

Buah markisa juga tinggi dengan kandungan air dan serat diet.

Terdapat kira-kira 73 mililiter air bagi 100 gram buah ini. Seratnya pula membekalkan 35% RNI (recommended nutrient intake) bagi penduduk di Malaysia.

Serat diet dan air adalah dua komponen utama yang memainkan peranan untuk sistem penghadaman.

Serat diet dan air dapat mencegah daripada sembelit, merawat sembelit dan melancarkan proses penghadaman (6, 7, 8).

4. Baik untuk Penghidap Kencing Manis

Buah ini juga baik untuk penghidap kencing manis atau diabetes kerana mempunyai nilai indeks glisemik yang rendah.

Ini bermakna pengambilan buah ini tidak akan meningkatkan kadar gula dalam secara mendadak selepas memakannya. Ini membuatkan buah ini satu pilihan makanan yang baik bagi mereka yang menghidap kencing manis.

5. Menyokong Kesihatan Jantung

Buah markisa juga turut tinggi dengan kandungan mineral kalium (potassium) iaitu kira-kira 7.4% RNI bagi 100gram buah ini.

Kalium diperlukan untuk sel berfungsi dengan normal dan juga dapat mengimbangi kesan negatif daripada garam (natrium) (9, 10).

Kajian juga menunjukkan pengambilan kalium juga menyumbang kepada penurunan tekanan darah. Ini dapat mengurangkan risiko tekanan darah tinggi (hipertensi) yang seterusnya boleh membawa kepada sakit jantung atau serangan jantung (11).

7. Mengurangkan Kerisauan

Buah markisa juga mengandungi mineral magnesium yang dikaitkan boleh mengurangkan tekanan (stres) dan kerisauan (anxiety).

Kajian pada tahun 2016 dan 2017 menunjukkan potensi magnesium untuk digunakan sebagai rawatan kepada masalah kerisauan dan stres. Namun, memerlukan kajian-kajian yang lebih lanjut (12, 13).

Kesimpulan

Seperti buah-buahan yang lain, buah markisa juga tidak kurang hebatnya dari segi khasiat dan manfaat untuk kesihatan kita.

Namun, mungkin segelintir individu mempunyai alahan terhadap getah akan bertindak balas terhadap buah ini. Hal ini kerana, terdapat struktur protein dalam buah ini yang sama dengan struktur protein getah (14).

Write A Comment