Nutrisi

Khasiat Madu Kelulut untuk Kesihatan Berdasarkan Kajian

Pinterest LinkedIn Tumblr

Madu kelulut ialah madu yang dihasilkan oleh lebah kelulut. Madu ini mempunyai nilai pasaran yang tinggi. Beberapa kajian telah membuktikan khasiat madu kelulut dalam perubatan dan untuk kesihatan.

Terdapat kira-kira 500 spesies lebah kelulut di dunia yang berada di Amerika Latin, Afrika, Australia dan Timur dan Selatan Asia. Di Malaysia, terdapat kira-kira 38 spesies lebah kelulut dan 4 daripadanya diusahakan secara komersial.

Komposisi madu kelulut terdiri daripada gula dalam bentuk fruktosa dan glukosa, asid organik, sebatian fenolik seperti asid fenolik dan flavonoid, protein, asid amino, enzim, vitamin dan mineral.

Kandungan polifenolik (antioksidan) dalam madu kelulut adalah 10 kali ganda lebih tinggi berbanding madu lebah biasa. Selain itu, madu kelulut juga sangat berpotensi untuk mencegah penyakit-penyakit kronik.

khasiat madu kelulut
Lebah Kelulut

Berikut ialah khasiat madu kelulut untuk kesihatan kita berdasarkan kajian-kajian sains perubatan:

1. Penyembuh Luka Semulajadi

Madu telah digunakan oleh pakar bedah era Mesir kuno untuk merawat luka yang terbuka. Madu juga boleh mencegah jangkitan dan mempercepatkan penyembuhan luka (1).

Dalam satu kajian yang dijalankan oleh pengkaji dari fakulti farmasi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia mendapati madu kelulut turut berupaya menyembuhkan luka (2).

Antioksidan dalam madu kelulut bertindak memutuskan rantaian radikal bebas yang boleh mendatangkan kesan buruk pada kawasan luka. Manakala, sifat antibakteria dalam madu kelulut mencegah jangkitan bakteria dan mempercepatkan penyembuhan.

2. Baik untuk Kencing Manis

Kandungan gula dalam darah yang tinggi, profil lipid (lemak) yang mengila dan penghasilan insulin yang tidak mencukupi oleh pankreas adalah tanda-tanda kepada penyakit kencing manis (diabetes mellitus).

Banyak kajian yang dijalankan mendapati madu lebah mempunyai kesan antidiabetis.

Pada tahun 2017, kajian yang dijalankan oleh pengkaji dari Universiti Malaysia Kelantan dan Universiti Malaya mendapati madu kelulut juga turut mempunyai ciri-ciri antidiabetes dan turut berpotensi melindungi pankreas daripada rosak atau gagal berfungsi (3).

Madu kelulut juga didapati mampu mencegah enzim-enzim yang menyebabkan peningkatan gula dalam darah lebih baik daripada madu lebah biasa (4).

3. Boleh Digunakan untuk Merawat Sakit Mata

Madu kelulut juga boleh digunakan untuk merawat sakit mata seperti konjunktivitis.

Konjunktivitis ialah keradangan pada membran halus yang menutupi bola mata dan lapisan kelopak mata. Tanda-tanda konjunktivitis ini termasuklah mata menjadi merah, gatal pada mata dan mata berair.

Satu kajian makmal yang dijalankan di University of Cape Coast, Ghana mendapati madu kelulut dapat menyingkatkan tempoh jangkitan pada mata akibat daripada bakteria Staphylococcus aureus and Pseudomonas aeruginosa (5).

Selain itu, satu kajian makmal mendapati titisan madu kelulut kepada tikus yang mempunyai katarak mata menunjukkan kelewatan dari segi perkembangan katarak (6).

Namun, fakta ini memerlukan kajian klinikal yang lebih banyak terhadap manusia.

4. Bersifat Antikanser

Madu kelulut juga didapati boleh mencegah perkembangan kanser kolon. Dalam kajian ini, madu kelulut diberikan secara makan kepada tikus makmal dan hasilnya menunjukkan pengurangan pada perkembangan kanser ini (7).

Kajian makmal yang lain juga mendapati madu kelulut menunjukkan keupayaan untuk membunuh sel kanser dalam hati (8).

Sabatian fenolik dalam madu kelulut turut mempunyai ciri-ciri antikanser.

Kuersetin, apigenin, krisin dan luteolin adalah sebatian polifenol dalam madu kelulut yang mempunyai kesan antikanser (9).

5. Baik untuk Kesuburan

Secara umumnya, madu mempunyai khasiat kepada kesuburan dengan menambahbaik hormon yang berkaitan dengan kesuburan.

Kajian yang dijalankan terhadap madu kelulut mendapati madu kelulut boleh meningkatkan kualiti sperma dalam tikus yang mempunyai masalah kencing manis (10).

Selain itu, madu kelulut juga turut menunjukkan khasiatnya dalam meningkatkan jumlah, pergerakan dan daya maju sperma dalam tikus yang tidak mempunyai masalah kencing manis (10).

Kajian-kajian makmal ini menunjukkan potensi madu kelulut yang boleh memberi manfaat kepada manusia. Kajian-kajian klinikal yang lebih lanjut harus dijalankan untuk mengesahkan kesan yang sama terhadap manusia.

6. Boleh Mengurangkan Berat Badan

Dalam satu kajian yang dijalankan pada tahun 2018 oleh pengkaji dari Universiti Putra Malaysia dan Universiti Sains Malaysia, madu kelulut didapati berkebolehan untuk mengurangkan berat badan tikus ujikaji yang mengalami obesiti (11).

Tikus yang obes ini diberikan madu kelulut selama 6 minggu. Hasil kajian menunjukkan penurunan berat badan serta penurunan kadar trigliserida dan kolesterol -LDL (kolestrerol jahat).

Selain itu, madu kelulut juga turut menunjukkan sifat perlindungan daripada kerosakan hati dalam kalangan tikus yang obes tersebut.

7. Boleh Mencegah Jangkitan Bakteria

Seperti madu lebah biasa, madu kelulut juga boleh mencegah jangkitan bakteria.

Kajian yang dijalankan oleh pengkaji dari Universiti Malaya mendapati madu kelulut menunjukkan aktiviti antibakteria terhadap bakteria jenis S. aureus, E. coli dan P. aeruginosa. Bakteria-bakteria ini boleh menyebabkan jangkitan pada kulit, cirit-birit dan juga jangkitan pada paru-paru atau darah (12).

Terdapat juga kajian lain yang menunjukkan kesan antibakteria madu kelulut terhadap bakteria S. aureus, E. faecalis, E. coli dan P. aeruginosa.

Menariknya lagi, madu ini menunjukkan kesan antibakteria tanpa pengaruh daripada hidrogen peroksida. Ini menunjukkan sifat antibakteria madu kelulut ini adalah kuat,malahan lebih kuat jika dibandingkan dengan madu manuka (13).

Madu manuka adalah madu lebah yang terkemuka dari New Zealand dan Australia.

8. Boleh Membantu Menyembuhkan Luka

Sifat antiradang dalam madu kelulut menjadikan madu ini sebagai penyembuh luka semulajadi. Sebatian fenolik dalam madu kelulut ini turut berperanan mempercepatkan kadar penyembuhan luka dan mengurangkan keradangan.

Selain itu, madu kelulut juga bertindak sebagai pelembap semulajadi kepada luka. Madu kelulut mempunyai lembapan yang lebih tinggi daripada madu lebah biasa. Lembapan disekeliling luka penting bagi mencegah jangkitan baru dan mewujudkan kitaran oksigen yang berkesan (14).

9. Baik untuk Kesihatan Otak

Seperti madu lebah, madu kelulut juga menunjukkan potensi yang baik untuk kesihatan otak.

Kajian tingkah laku terhadap haiwan mendapati madu kelulut boleh mengurangkan keresahan dan melemahkan penyakit berkaitan otak seperti penyakit Parkinson dan Alzheimer melalui aktiviti antioksidannya (15).

Namun begitu, dapatan ini masih memerlukan banyak kajian lanjut untuk mengesahkan kesan madu kelulut terhadap kesihatan otak manusia.

Bagaimana Cara Untuk Mendapatkan Madu Kelulut?

Madu kelulut boleh didapati di kedai-kedai yang menjual makanan kesihatan atau secara atas talian – Dapatkan madu kelulut online

Kesimpulan

Pada asasnya, terdapat khasiat madu kelulut yang hampir sama dengan madu lebah biasa.

Tetapi ada juga kajian yang menunjukkan madu kelulut lebih kuat atau lebih berkesan dalam merawat sesuatu penyakit atau masalah kesihatan.

Madu kelulut sesuai digunakan untuk merawat luka hinggalah kepada mencegah obesiti. Khasiat madu kelulut ini boleh dimanfaatkan oleh kita semua.

Kajian-kajian klinikal harus diperbanyakkan lagi untuk menyokong dapatan-dapatan dari kajian makmal yang telah dijalankan.

Madu kelulut juga kini semakin mendapat tempat dalam pasaran madu.

Write A Comment