Nutrisi

Khasiat dan Kebaikan Cuka Epal Untuk Kesihatan

Pinterest LinkedIn Tumblr

Cuka epal mempunyai banyak khasiat dan kebaikan untuk kesihatan yang merangkumi pelbagai aspek. Antaranya cuka epal boleh mengurangkan berat badan, merendahkan kolesterol, baik untuk penyakit kencing manis dan lain-lain lagi.

Cuka ini diperbuat daripada buah epal yang dihancurkan, ditapis dan difermentasi sehingga menjadi cuka. Bahan utama dalam cuka ini ialah asid asetik (pH 2.5).

Cuka epal mungkin kurang popular bagi kebanyakan negara asia kerana negara-negara ini bukan pengeksport atau penanam buah epal. Namun, aktiviti perdagangan seperti import dan eksport membolehkan cuka ini dijual di negara asia seperti Malaysia.

Cuka epal telah digunakan oleh masyarakat barat sejak dahulu lagi. Masyarakat terdahulu menggunakan cuka ini untuk merawat masalah seperti sakit kerongkong dan vena varikos (salur darah yang timbul dan terpintal).

Mutakhir ini, cuka epal ini semakin popular dengan khasiatnya yang mampu membantu menurunkan berat badan dan merendahkan kadar gula dalam darah.

khasiat cuka epal

Berikut adalah beberapa khasiat dan kebaikan cuka epal ini kepada kesihatan kita:

1) Merendahkan Kadar Gula dalam Darah

Kadar gula tinggi dalam darah kebiasaanya berlaku kepada penghidap diabetes jenis 2 yang berpunca daripada sama ada kegagalan menghasilkan insulin atau rintangan kepada insulin.

Kajian mendapati cuka epal mampu menambahbaik kesensitifan insulin ketika makan makanan yang tinggi karbohidrat (1).

Kajian lain yang dilakukan terhadap haiwan turut mendapati cuka epal mempunyai kesan antihiperglisemia (kewujudan glukosa yang berlebihan dalam darah) (13).

2) Membantu dalam Mengurangkan Berat Badan

Cuka epal ini rendah dari segi kalorinya iaitu kira – kira 3 kalori bagi setiap satu sudu besar.

Beberapa kajian mendapati mereka yang mengambil cuka epal dalam rutin diet rendah kalori mereka turun lebih banyak berat mereka berbanding mereka yang mengamalkan diet itu sahaja (2).

Dalam satu kajian terhadap 175 individu yang obesiti, pengambilan cuka epal secara harian didapati membawa kepada penurunan berat badan dan pengurangan lemak perut (3).

3) Merendahkan Kadar Kolesterol dan Trigliserida

Kajian selama 12 minggu oleh pengkaji di Universiti Sains Perubatan Tehran terhadap mereka yang mengamalkan diet rendah kalori dan menambah cuka epal dalam diet mereka. Cuka ini didapati bukan hanya turun berat badan malah turut merendahkan kadar kolesterol dan trigliserida (4).

Kadar kolesterol baik (Kolestrol HDL) dalam badan mereka juga menunjukkan peningkatan yang signifikan. Kolesterol HDL dapat mengurangkan risiko masalah jantung.

Manakala, kadar trigliserida yang tinggi pula boleh menyumbang kepada masalah strok, serangan jantung dan penyakit jantung.

4) Boleh Membunuh Bakteria Berbahaya

Berdasarkan kajian, khasiat cuka epal ini juga termasuklah mempunyai sifat antimikrob yang dapat menghalang bakteria seperti E.Coli daripada terus membesar (5).

Terdapat laporan perubatan juga yang mendapati cuka ini mempunyai sifat antikulat. Ia melibatkan seorang lelaki berpenyakit diabetes jenis 2 yang mendapat serangan kulat dimulut. Pesakit ini mengamalkan penggunaan cuka epal dimulutnya sebanyak 2 kali sehari selama 7 hari. Selepas rawatan, terdapat penggurangan kulat sebanyak 94% di mulutnya (6).

Terdapat juga laporan yang menunjukkan bahawa cuka epal boleh digunakan untuk merawat jangkitan yis pada faraj wanita. Sifat antikulat dalam cuka epal ini boleh menyembuhkan jangkitan kulat jenis Candida albicans (7).

bakteria e.coli
Bakteria E.Coli

5) Boleh Merawat Masalah Kelemumur

Sesetengah masyarakat percaya bahawa petua menggunakan cuka epal untuk merawat masalah kulit kepala seperti gatal-gatal, rambut kusam dan kelemumur.

Walaupun tiada kajian khusus yang dijalankan terhadap cuka epal dan kesannya terhadap kelemumur atau masalah kulit kepala, namun terdapat kajian yang mendapati kesan positif asid asetik terhadap kulit kepala.

Asid asetik boleh mengubah kadar pH pada kulit kepala yang menyukarkan jangkitan kulat (salah satu penyebab kelemumur). Kelemumur dikategorikan sebagai penyakit ‘seborrheic dermatitis‘ yang ringan.

Satu kajian yang diterbitkan dalam Galen medical Journal mendapati penggunaan bunga herba Althaea officinalis yang digabungkan dengan cuka boleh merawat masalah ‘seborrheic dermatitis‘ (8).

Cuka epal ini boleh digunakan dengan menyiramnya di rambut hingga sampai ke kulit kepala, dibiarkan beberapa minit dan dibilas. Pastikan cuka ini dicampur dengan air (dicairkan) terlebih dahulu.

6) Menetapkan Kitaran Haid

Sindrom ovari polisistik (polycystic ovarian syndrome) adalah kondisi hormon yang berkaitan dengan kitaran haid yang tidak teratur, hormon androgen yang tinggi, sista ovari dan rintangan insulin.

Kajian yang dijalankan terhadap 7 orang pesakit sindrom ovari polisistik ini mendapati pengambilan cuka epal sebanyak 15ml setiap hari selama 3 hingga 4 bulan boleh mengurangkan kadar hormon dan menetapkan kitaran haid (9).

7) Membantu Penghadaman

Cuka epal juga sesuai dimakan sebelum anda makan hidangan yang tinggi kandungan protein seperti daging merah.

Ideanya adalah cuka epal ini boleh meningkatkan keasidan dalam perut. Ini akan membantu badan menghasilkan lebih banyak pepsin. Pepsin adalah enzim yang menguraikan protein (10).

Walaupun tiada kajian khusus terhadap peranan cuka dalam proses penghadaman,terdapat makanan tambahan seperti betaine HCL boleh meningkatkan keasidan dalam perut (11).

Oleh itu, cuka epal juga mungkin mempunyai kesan yang sama, tetapi lebih banyak kajian diperlukan.

8) Khasiat atau kebaikan yang lain:

  • Melegakan sedu: Berdasarkan satu laporan perubatan, pesakit yang baru menjalani kemoterapi mengalami masalah sedu (singultus). Masalah berjaya diatasi dengan menghirup cuka (12).
  • Melegakan sakit tekak: Ciri-ciri cuka epal yang boleh melawan kuman atau bakteria dikatakan boleh melegakan sakit tekak. Namun, kajian menunjukkan keputusan yang bercampur-campur. Sekiranya ingin mengunakannya, campurkan 1/4 cawan cuka epal dan 1/4 cawan air suam dan berkumur dengan campuran ini.
  • Menghilangkan nafas berbau: Berkumur atau makan sesudu cuka epal dipercayai boleh mengatasi masalah nafas berbau yang berpunca daripada bakteria.

Bagaimana Cara untuk Menggunakannya?

Selain diminum, cuka ini juga boleh digunakan dalam masakan atau salad.

Jika ingin diminum, dicadangkan agar dicairkan terdahulu dalam air minuman (air kosong). Dos atau jumlah yang dicadangkan sekitar 1-2 sudu teh (5-10ml) atau 1-2 sudu besar (15-30ml) sehari.

Untuk merendahkan kadar gula dalam darah, 4 sudu besar (20ml) cuka ini yang dicampur dengan air minuman dan diambil sebelum makan boleh mengurangkan kadar gula dalam darah selepas makan.

Perlu diingati juga, cuka ini mempunyai sifat menghakis kerana kadar keasidannya agak tinggi, jadi ia boleh menghakis gigi peminumnya. Jadi adalah lebih elok jika diminum menggunakan straw minuman atau berkumur selepas minum cuka ini. Cuka epal juga boleh juga digunakan dalam salad.

Beli cuka epal organik online

Kesimpulan

Banyak khasiat cuka epal yang boleh manfaatkan untuk mengatasi masalah-masalah kesihatan kita.

Selain khasiat yang ditemui berdasarkan kajian perubatan, terdapat juga petua-petua atau amalan masyarakat yang menggunakan cuka epal untuk merawat sakit-sakit yang ringan atau dijadikan amalan untuk kesihatam tubuh badan.

Cuka epal yang telah dicairkan boleh diminum sebelum dan selepas makan untuk mendapatkan manfaatnya untuk mengurangkan berat badan, mengawal gula dalam darah dan masalah kitaran haid.

Bagi penggunaan topikal atau sapuan. Harus diingat, sekiranya anda mempunyai kulit yang sensitif elakkan penggunaan cuka ini pada permukaan kulit anda.

Write A Comment