Nutrisi

Khasiat Ikan Haruan: Baik Untuk Menyembuh Luka?

Pinterest LinkedIn Tumblr

Kemaskini Terakhir Pada

Khasiat ikan haruan telah lama dimanfaatkan oleh orang-orang tua kita. Mereka mempercayai ikan haruan dapat memberi banyak manfaat termasuklah mempercepatkan penyembuhan luka.

Adakah benar tanggapan ini? Teruskan membaca.

Ikan haruan ialah spesies ikan air tawar yang terkenal di Asia Tenggara. Nama saintifik bagi ikan haruan ialah Channa striatus.

Banyak kajian saintifik mendapati potensi perubatan ikan ini seperti antiradang, antimikrob (antibiotik), antikanser dan antinosiseptif.

khasiat ikan haruan
Kredit penulis: Wie 146 melalui Wikimedia

Berikut adalah beberapa khasiat ikan haruan untuk kesihatan berdasarkan kajian saintifik:

1. Baik untuk penyembuhan luka

Sejak dahulu lagi ikan haruan dipercayai mempunyai khasiat dalam penyembuhan luka.

Kajian pada tahun 2015 yang dijalankan oleh Universiti Sains Malaysia mendapati ekstrak ikan mempunyai kesan penyembuhan luka yang sama dengan ubat disamping ekstrak ikan haruan ini menjadikan kesan parut luka yang lebih baik (1).

Dalam satu kajian lain yang dijalankan oleh Universiti Malaysia Sabah, ekstrak ikan haruan menunjukkan pengurangan dari segi tahap kesakitan terhadap luka pembedahan dan kesan parut juga adalah lebih baik (2).

Selain itu, ikan haruan ini juga mengandungi arginine yang didapati meningkatkan jumlah kolagen terkumpul dikawasan luka yang seterusnya mempercepatkan penyembuhan luka (4, 5).

2. Baik Untuk sakit sendi

Sakit sendi yang melibatkan kehilangan rawan di antara tulang sendi (osteoartritis) adalah antara masalah kesihatan yang sering berlaku dalam kalangan orang berumur.

Dalam satu kajian yang dijalankan pada tahun 2019, ekstrak ikan haruan menunjukkan tindakan perlindungan yang boleh melambatkan pengurangan ruang antara tulang sendi. Contohnya seperti menghalang atau melambatkan degradasi rawan (3).

3. Baik untuk kesihatan kulit

Masalah kulit seperti jerawat, alahan, proriasis, sclerosis dan jangkitan pada kulit adalah antara masalah kulit yang sering menyerang masyarakat di negara-negara Asia Tenggara.

Ikan haruan dipercayai boleh membantu menambah baik masalah atau penyakit kulit ini. Ikan haruan mengandungi decosahexaenoic acid (DHA) yang mampu merawat kulit. Asid lemak perlu (essential fatty acid) ini penting untuk mengurangkan keradangan pada kulit (4).

4. Mempunyai ciri-ciri antimikrob & antikulat

Ikan haruan juga mempunyai ciri-ciri antimikrob atau antibiotik dan antikulat.

Kulit dan mukus dari usus ikan haruan menunjukkan ciri-ciri antibakteria terhadap bakteria jenis Vibrio anguillarum, P. aeruginosaand V. fischeri , Aeromonas hydrophila, Psedomonas aeruginosa (6, 7).

Ekstrak ikan haruan juga turut menunjukkan ciri-ciri antikulat terhadap kulat jenis Neurospora crassa, Aleurisma keratinophilum dan Cordyceps militaris serta mencegah kulat jenis Botrytis pyramidal dan Paecilomyces fumosoroseus secara jangka pendek (6).

5. Mempunyai ciri-ciri antinosiseptif

Nosiseptif ialah kesakitan yang disebabkan oleh adanya rangsangan noksius seperti trauma, penyakit atau radang.

Ciri-ciri antinosiseptif dalam ikan haruan dipercayai disebabkan oleh kandungan glisina (glycine) dan asid arakidonik (arachidonic acid).

Ekstrak ikan haruan setara dengan morfin dari segi mengurangkan kesakitan dan ciri-ciri anti-nosiseptif yang tidak menyebabkan ketagihan (8, 9).

6. Berpotensi menjadi ubat kemurungan

Kemurungan menjadi satu masalah atau gangguan mental yang membimbangkan pada masa kini.

Kemurungan membawa kepada bunuh diri. WHO menganggarkan kira-kira 800 000 orang mati akibat bunuh diri setiap hari.

Satu kajian yang dijalankan pada tahun 2014 mendapati ekstrak kulit ikan haruan mempengaruhi sistem reseptor serotonergik, maka ekstrak ini boleh bertindak sebagai anti-depresi atau anti-kemurungan (10).

Kajian makmal juga menunjukkan kesan seperti anti-kemurungan dalam ekstrak lipid (lemak) ikan haruan (11).

7. Mempunyai ciri-ciri antiradang

Ikan haruan juga mempunyai ciri-ciri antiradang.

Dalam satu kajian yang menggunakan ekstrak ikan haruan berasaskan air dan lipid (lemak) menunjukkan aktiviti antiradang (12).

Kajian makmal juga menunjukkan, krim sapuan yang diperbuat daripada ikan haruan juga menunjukkan keberkesannya sebagai agen antiradang terhadap radang kulit yang dicetuskan pada haiwan (13).

Dapatkan pati ikan haruan online

Kesimpulan

Ikan haruan ialah ikan air tawar atau “ikan darat” yang sangat mempunyai nilai tinggi dalam perubatan.

Keupayaannya merawat luka, mengurangkan kesakitan dan manfaat lain harus dimanfaat dalam dunia perubatan.

Write A Comment