Yogurt dihasilkan melalui proses fermentasi susu dengan kultur bakteria asid laktik seperti Lactobacillus, Lactococcus dan Leuconostoc. Terdapat beberapa jenis yogurt dan salah satunya ialah greek yogurt. Greek yogurt kaya dengan nutrien yang mempunyai banyak khasiat kepada tubuh badan manusia.

Berbanding yogurt biasa, greek yogurt melalui proses tambahan iaitu lebihan air, laktosa dan mineral diperah keluar. Ia membuatkan yogurt ini lebih berkrim, kurang manis, dan rendah karbohidrat.

Greek yogurt merupakan sumber yang baik untuk mendapatkan kalsium, kalium (potassium), zink , vitamin B6 dan vitamin B12.

khasiat greek yogurt

Antara khasiat greek yogurt adalah:

1) Baik untuk Tulang

Kandungan kalsium dan protein yang tinggi dalam greek yogurt dapat membantu kesihatan tulang kita.

Kalsium mengalakkan kesihatan tulang dan mengurangkan risiko pereputan tulang (1).

Kandungan protein yang tinggi dalam yogut ini juga baik untuk kesihatan tulang. Sebagai contoh, protein ini membantu penyerapan kalsium dan peningkatan otot badan (2).

2) Baik untuk Kesihatan Perut

Greek yogurt juga mengandungi probiotik. Probiotik ialah bakteria yang boleh meningkatkan sistem imun dan mengurangkan masalah perut seperti sakit perut, jangkitan di vagina, jangkitan di saluran kencing, cirit-birit dan banyak lagi (3).

3) Sumber kepada Vitamin B12

Vitamin B12 juga boleh didapati dalam greek yogurt. Vitamin B12 merupakan salah satu daripada vitamin B kompleks. Kekurangan vitamin ini boleh membawa kepada penyakit anemia (kekurangan darah) dan risiko osteoporosis (4).

Selain itu, vitamin B12 ini juga diperlukan untuk fungsi otak dan sintesis DNA.

4) Merendahkan Tekanan Darah

Satu analisis mendapati probiotik yang terdapat dalam susu yang difermentasi seperti yogurt dapat merendahkan tekanan darah bagi penghidap hipertensi (5).

Dalam satu kajian di Jepun, pesakit hipertensi sederhana diberikan 100ml susu difermentasi dengan GABA (asid amino) selama 12 minggu menunjukkan penurunan tekanan darah tanpa menganggu degupan jantung (6).

5) Merendahkan Kolesterol

Satu analisis terhadap 485 peserta melaporkan pengambilan yogurt yang mengandungi probiotik merendahkan kolesterol dan kolesterol-LDL secara signifikan (7).

Satu kajian lain juga mendapati, pengambilan suplemen dengan probiotik mengurangkan jumlah kolesterol, kolesterol-LDL (kolesterol jahat) dan juga trigliserida serta menaikkan kadar kolesterol-HDL (kolesterol baik) (8).

Kadar kolesterol-LDL dan trigliserida yang tinggi boleh meningkatkan risiko terkena penyakit kardiovaskular seperti penyakit jantung atau strok.

Kesimpulan

Kajian sains telah menunjukkan khasiat greek yogurt untuk badan kita. Jika dibandingkan dengan yogurt biasa, greek yogurt asli yang kaya dengan sumber protein dan rendah karbohidrat dapat mengurangkan rasa lapar, meningkatkan metabolisma dan membina otot.

Tanpa menambah gula atau buah-buahan, greek yogurt boleh menjadi salah satu menu dalam diet untuk menurunkan berat badan.

Write A Comment