Nutrisi

Khasiat Gamat Dan Potensi Untuk Kesihatan

Pinterest LinkedIn Tumblr

Khasiat gamat telah lama dimanfaatkan dalam perubatan tradisional. Gamat atau Timun Laut ialah hidupan laut yang boleh didapati di seluruh dunia namun lebih tertumpu di Asia dan Lautan Pasifik.

Habitat gamat adalah di dasar laut dan kawasan mempunyai terubu karang. Di Malaysia, gamat boleh didapati di perairan Pulau Langkawi dan Pulau Tioman. Hidupan marin ini bersaiz beberapa milimeter dan boleh mencapai saiz sehingga 2 meter.

Gamat sinonim dengan perubatan tradisional masyarakat Melayu. Gamat mentah dijadikan sebagai sumber makanan atau diproses untuk digunakan sebagai perubatan alternatif ataupun untuk tujuan kecantikan.

Gamat yang diproses dan dijadikan minyak boleh digunakan untuk menyembuhkan luka atau merawat penyakit kulit dan juga boleh diminum sebagai tonik kesihatan. Gamat juga boleh disapu pada wajah dan badan untuk mendapatkan kulit yang cantik.

khasiat gamat
Gamat Emas
Kredit imej: sciencedirect

Berikut ialah khasiat gamat serta potensinya dalam kesihatan berdasarkan kajian:

1) Tinggi dengan protein

Gamat merupakan makanan yang tinggi dengan sumber protein dan rendah kalori.

Gamat membekalkan 13 gram protein bagi setiap 110 gram hidupan ini (1).

Iaitu kira-kira 21% daripada RNI (recommended nutrient intake) untuk protein bagi lelaki dewasa di Malaysia.

Ini menjadikan gamat makanan yang sesuai bagi mereka yang ingin mengurangkan berat badan.

Makanan yang tinggi protein boleh membuatkan anda berasa kenyang lebih lama dan turut menstabilkan kadar gula dalam darah (2).

Makanan tinggi protein seperti gamat ini juga sesuai untuk mereka yang mempunyai masalah kencing manis (diabetes).

2) Tinggi dengan antioksidan

Gamat juga kaya dengan kandungan antioksidan seperti flavonoid dan fenol. Sebatian ini sudah terbukti berkesan dalam merawat atau melawan radang (3, 4).

Sebatian ini juga dikaitkan dengan mengurangkan risiko terkena penyakit kronik seperti penyakit jantung, strok dan penyakit Alzheimer (5, 6).

Timun Laut atau Gamat ini juga mengandungi sebatian bioaktif yang dikenali sebagai saponin. Saponin ini mempunyai ciri-ciri seperti antitumor, antihipertensi, menghalang pengumpulan lemak, dan lain-lain lagi (7).

3) Boleh melawan kanser

Gamat mempunyai sebatian aktif yang dikenali sebagai triterpene glycosides yang boleh melawan kanser.

Beberapa kajian menunjukkan sebatian ini boleh menghalang pertumbuhan sel kanser dalam kanser pankreas dan kanser paru-paru (8, 9).

Kajian tabung uji turut menunjukkan triterpene diglycosides ini mempunyai kesan toksik terhadap sel-sel kanser seperti kanser payudara, prostat dan kulit (10).

Kajian makmal lain turut mendapati sebatian ini boleh membunuh sel-sel kanser bagi kanser kolorektum dan leukemia (11).

4) Mempunyai ciri-ciri antikulat

Jangkitan yis atau kulat banyak menyerang golongan wanita.

Kajian menunjukkan ekstrak gamat boleh melawan spesies Candida albicans, fungus yang menyebabkan jangkitan yis terhadap manusia sekiranya bilangannya tidak terkawal (12).

Selain itu, ekstrak gemat dari laut Oman juga menunjukkan sifat antikulat yang hampir sama dengan ubat terhadap spesies kulat jenis Trychophyton mentagrophytes, Sporothrix schenckii dan Aspergillus fumigatus (13).

5) Baik untuk kesihatan jantung dan hati

Kajian terhadap haiwan yang mempunyai masalah tekanan darah tinggi menunjukkan penurunan selepas diberi makan ekstrak gamat (14).

Kajian lain terhadap tikus yang diberikan diet kaya dengan gamat menurunkan jumlah kolesterol, kolestrol-LDL dan trigliserida (15).

Dapatkan air gamat online.

Kesimpulan

Selain menjadi ubat penyembuh luka, khasiat gamat turut merangkumi keupayaannya untuk melawan kanser, bersifat antikulat dan tinggi dengan kandungan antioksidan.

Gamat juga merupakan sumber makanan yang tinggi protein. Walau bagaimanapun, gamat juga mempunyai sifat pencair darah. Maka, mereka yang mengambil ubat pencair darah harus menghindari gamat terutamanya dalam bentuk makanan tambahan.

Write A Comment