Nutrisi

Khasiat Durian Belanda Untuk Kesihatan Berdasarkan Kajian

Pinterest LinkedIn Tumblr

Betulkah khasiat durian belanda boleh membunuh sel kanser? Betulkah khasiatnya 200 kali ganda lebih baik daripada kemoterapi? Sebelum-sebelum ini ada dihebahkan mengenai khasiat durian belanda ini untuk mengubati penyakit kanser. Adakah benar? Teruskan membaca.

Durian belanda atau nama saintifiknya Annona muricata adalah tumbuhan yang berasal dari Selatan dan Amerika dan kini boleh didapati di negara-negara subtropika seperti Malaysia, India dan Nigeria.

Dalam bahasa inggeris, durian belanda dipanggil Soursop atau Graviola. Buah ini juga adalah dalam keluarga yang sama dengan buah nona iaitu keluarga Annonaceae.

Buah durian belanda kebiasaannya dimakan secara segar dan apabila sudah masak isinya lebih lembut berbanding yang masih muda.

Dalam perubatan tradisional, buah durian belanda dipercayai boleh mengubati sakit sendi, cirit-birit, demam, malaria, parasit, sakit-sakit otot, ruam kulit dan cacing dan untuk meningkatkan susu ibu selepas bersalin.

Daunnya pula dipercayai boleh kencing manis, sakit kepala, insomnia dan sistitis.

khasiat durian belanda
Author: Muhammad Mahdi Karim melalui Wikimedia

Berikut adalah beberapa khasiat durian belanda yang disokong oleh kajian-kajian sains:

1. Kaya dengan nutrisi penting

Dalam 100 gram buah ini, terdapat nutrien-nutrien seperti berikut (1):

  • Air: 81%
  • Tenaga: 66 kcal
  • Protein: 1 gram
  • Karbohidrat: 16.8 gram
  • Serat: 3.3 gram
  • Kalsium: 14 miligram
  • Zat besi: 0.6 miligram
  • Magnesium: 21 miligram
  • Kalium: 278 miligram
  • Vitamin C: 20.6 miligram
  • Folat: 14 mikrogram

Buah ini juga turut mempunyai mineral dan vitamin seperti fosforus, zink, tembaga, selenium dan vitamin B.

2. Mungkin boleh melawan kanser

Kanser adalah penyebab kedua tertinggi kematian di seluruh dunia.

Pelbagai kajian yang dijalankan terhadap durian belanda menunjukkan kesan antikanser. Durian belanda mempunyai sebatian yang dikenali sebagai annonaceous acetogenin. Sebatian ini dikaitkan dengan banyak aktiviti antikanser.

Kajian makmal mendapati ekstrak daun durian belanda ini boleh membunuh sel-sel kanser dalam kanser kolon dan kanser paru-paru. (2, 3, 4).

Selain itu, kajian terhadap haiwan juga menunjukkan keupayaan ekstrak daun durian belanda dalam menghalang sel-sel kanser dari bercambah atau merebak (5).

Terdapat juga kajian yang menunjukkan ekstrak air daun durian belanda boleh mengecilkan saiz kanser prostat kemungkinan melalui kematian sel kanser tersebut (6).

Satu kajian kes terhadap wanita berumur 60 tahun yang menghidap kanser payudara mendapati pengambilan air rebusan daun durian belanda dapat menstabilkan penyakit wanita tersebut tanpa mengalami kesan sampingan (7).

Walau bagaimanapun, kajian klinikal terhadap manusia masih kurang. Lebih banyak kajian klinikal terhadap penghidap kanser perlu dilakukan untuk mengesahkan kajian-kajian makmal ini.

3. Mungkin boleh melawan bakteria

Durian belanda telah digunakan sebagai ejen antimikrob dan antiparasit oleh perubatan tradisional.

Ekstrak daun durian belanda didapati berkesan untuk membunuh beberapa jenis bakteria termasuklah yang mengakibatkan pereputan gigi, gingivitis (radang pada gusi) dan jangkitan kulat (8).

Biji buah durian belanda juga menunjukkan kesan antiparasit dengan menghalang tumbesaran parasit jenis E. histolytica, N. brasiliensis, M. dessetae dan A. salina (9).

Kebanyakan kajian ini ialah daripada kajian makmal atau kajian tabung uji. Justeru memerlukan kajian klinikal terhadap manusia untuk menyokong dapatan ini.

4. Boleh menstabilkan gula dalam darah

Kajian terhadap haiwan menunjukkan ekstrak durian belanda boleh merendahkan kadar gula dalam darah.

Dalam satu kajian yang dijalankan terhadap tikus makmal yang menghidap diabetes mendapati tikus yang diberikan ekstrak durian belanda mempunyai kadar gula dalam darah 5 kali lebih rendah berbanding yang lain (10).

Kajian lain turut menunjukkan potensi yang sama. Haiwan yang diberikan air ekstrak daun durian belanda menunjukkan kesan antidiabetes iaitu penurunan gula dalam darah, peningkatan insulin darah, penurunan kolesterol LDL (kolesterol jahat) dan trigliserida (11).

5. Mempunyai ciri-ciri antiradang

Buah durian belanda muda mempunyai ciri-ciri antiradang dan analgesik (bahan yang melegakan kesakitan). Buah durian belanda muda ini telah digunakan dalam perubatan tradisional Afrika untuk melegakan kesakitan sakit sendi, otot-otot dan saraf.

Satu kajian mendapati ekstrak buah durian belanda yang muda ini mempunyai ciri-ciri antiradang dan analgesik (12).

Kajian lain juga turut menunjukkan hasil yang sama di mana ekstrak buah durian belanda boleh mencegah keradangan (13).

6. Boleh mencegah ulser

Ulser boleh berlaku didalam perut,usus dan esofagus.

Satu kajian terhadap haiwan menunjukkan daun durian belanda boleh melindungi bahagian perut daripada berlakunya ulser (14).

Kesimpulan

Durian belanda sememangnya mempunyai banyak potensi dalam dunia perubatan. Khasiat durian belanda boleh didapati daripada buah, biji, akar dan juga daunnya.

Banyak kajian makmal dan kajian terhadap haiwan menyokong khasiat durian belanda ini. Walau bagaimanapun, kajian keberkesanan khasiatnya masih kurang dari segi ujian klinikal terhadap manusia.

Write A Comment