Sebelum ini kita berbicara mengenai khasiat kunyit. Siapa sangka selain batang (rizom), daun kunyit juga mempunyai khasiat. Khasiat daun kunyit boleh dimanfaatkan dalam masakan atau dijadikan minyak pati untuk pelbagai kegunaan.

Dalam masyarakat Melayu, daun kunyit turut menjadi salah satu bahan dalam masakan mereka. Sebagai contoh dalam masakan rendang daging dan ayam, hirisan daun kunyit dalam masakan ini menaikkan lagi aroma dan rasanya.

Ada juga menu masakan yang membalut ikan menggunakan daun kunyit. Ikan ini dibakar atau digoreng.

Daun kunyit juga popular bagi masyarakat India. Dalam masakan masyarakat Mangalore, daun kunyit digunakan untuk memasak nasi manis yang dikenali sebagai Patholi.

khasiat daun kunyit

Berikut adalah beberapa khasiat daun kunyit yang boleh dimanfaatkan oleh kita:

1. Fakta Nutrisi

Dalam 100 gram daun kunyit ini terdapat komposisi nutrien seperti berikut (1):

  • Tenaga: 359.19 kcal
  • Protein: 39.5 gram
  • Karbohidrat: 44.74 gram
  • Serat: 34.47 gram
  • Abu: 13.81 gram
  • Lipid: 2.47 gram

Pengeringan daun kunyit secara gelombang mikro dapat mengekalkan sebatian bioaktif dan antioksidan tertinggi.

2. Mempunyai ciri-ciri antikulat

Daun kunyit boleh dijadikan sebagai minyak pati (essential oil).

Minyak pati ini boleh digunakan untuk menghalang pertumbuhan kulat dan penghasilan toksin yang disebabkan oleh kulat (2).

3. Boleh menjadi produk pengawal lalat

Daun kunyit juga berpotensi dijadikan produk untuk mengawal lalat.

Kajian pada tahun 2019 mendapati minyak pati dari daun kunyit menunjukkan minyak pati daun kunyit ini boleh membunuh larva lalat.

Kajian ini juga turut mencadangkan minyak pati ini boleh digunakan sebagai bio-produk untuk mengawal lalat dari jenis C. macellaria yang boleh menyebabkan miasis (3).

4. Baik untuk kulit

Minyak pati yang dihasilkan daripada daun kunyit juga turut menunjukkan ciri-ciri antiradang pada kulit.

Kajian yang dijalankan oleh pengkaji di India mendapati minyak pati daun kunyit boleh mengurangkan keradangan kulit yang teruk dengan mengawal keradangan dan tekanan pengoksidaan (4).

Pengkaji turut mencadangkan, minyak pati ini boleh digunakan dalam penghasilan produk penjagaan kulit.

5. Mempunyai ciri-ciri antioksidan

Minyak pati yang diekstrak daripada daun kunyit turut menunjukkan ciri-ciri antioksidan.

Keupayaan antioksidan dalam minyak pati ini dicirikan oleh kebolehannya menghapus radikal bebas dan kuasa penurunannya.

Maka, minyak pati daun kunyit berpotensi digunakan sebagai antioksidan yang boleh mencegah kerosakan akibat tekanan pengoksidaan (5).

Kesimpulan

Sebelum ini, secara umumnya daun kunyit akan dibuang setelah batangnya (rizom) diambil.

Beberapa kajian telah menunjukkan khasiat daun kunyit yang boleh dimanfaatkan untuk pelbagai produk kesihatan. Selain baik untuk kulit, daun kunyit juga boleh digunakan untuk mengawal serangga perosak seperti lalat dan bersifat antikulat.

Walau bagaimanapun, kajian-kajian saintifik mengenai daun kunyit masih terhad.

Write A Comment