Khasiat Saffron dan kepelbagaian penggunaannya telah lama dimanfaatkan oleh sebahagian masyarakat. Selain digunakan sebagai penawar, saffron juga turut digunakan dalam pembuatan minyak wangi dan pewarna pakaian.

Saffron merupakan antara rempah yang paling mahal di dunia. Rempah ini dibuat daripada stigma bunga Crocus sativus yang dikeringkan. Turut dikenali sebagai ‘Saffron crocus‘. Harganya pula boleh mencapai sehingga RM 41,330 bagi 450g. Kenapa terlalu mahal? Ini kerana bagi setiap satu paun (450g) rempah ini memerlukan kira-kira 75,000 bunga safron. Bunganya pula hanya mekar beberapa minggu setahun dan dituai dengan tangan.

khasiat saffron

Berikut merupakan 5 khasiat dan kebaikan saffron untuk kesihatan wanita dan lelaki:

1) Terapi Kepada Penyakit Alzheimer

Saffron mempunyai sebatian antioksidan yang dinamakan Crocin iaitu karotenoid yang larut air. Kajian menunjukkan Crocin mempamerkan aktiviti perlindungan pelbagai fungsi di dalam otak. Ia boleh digunakan sebagai suplemen atau ubat untuk mencegah atau mengubati penyakit Alzheimer.

2) Menambahbaik Gejala Kemurungan

Kemurungan kini menjadi satu masalah kesihatan yang semakin serius. Gangguan mental ini menyebabkan penghidapnya mengalami gangguan tidur, kepenatan, hilang selera makan, rasa bersalah, kesedihan, tidak mampu memberikan tumpuan dan hilang keinginan untuk melakukan rutin harian. Ia boleh membawa kepada putus asa dan bunuh diri.

Satu kajian yang dijalankan di Iran menunjukkan Saffron menambahbaik gejala kemurungan oleh pesakit, sama seperti ubat-ubatan anti-kemurungan seperti Fluoxetine. Ini menjadikan rempah ini salah satu pilihan yang lebih selamat.

3) Mengurangkan Gejala Sindrom Pramenstruasi (PMS)

Satu kajian terhadap 35 orang wanita yang didedahkan kepada bau Saffron selama 20 minit didapati membantu mengurangkan gejala sindrom pramenstruasi, haid tidak teratur dan senggugut.

Kajian ini juga mendapati setelah terdedah kepada bau ini selama 20 minit, tahap hormon kortisol (hormon stres) dan kebimbangan mengurang secara signifikan.

4) Rawatan Masalah Disfungsi Erektil (Mati Pucuk)

Diabetes merupakan salah satu faktor penyumbang kepada masalah mati pucuk. Satu kajian terhadap pesakit diabetes yang mengalami masalah mati pucuk menggunakan gel saffron mendapati responden menunjukkan penambahbaikan yang signifikan berbanding ubat.

Kajian lain melibatkan 20 orang lelaki dengan masalah mati pucuk diberi satu tablet mengandungi 200mg saffron selama 10 hari. Ia menunjukkan hasil yang positif terhadap fungsi seksual dengan peningkatan bilangan dan durasi erektil pesakit selepas 10 hari mengambil tablet ini.

5) Rawatan Asma

Kajian klinikal terhadap 80 orang pesakit dengan masalah asma yang biasa hingga sederhana mendapati penggunaan saffron menunjukkan penambahbaikan dari segi frekuensi gejala klinikal seperti frekuensi sesak nafas ketika siang hari dan malam, penggunaan semburan salbutamol, dan terjaga akibat gejala asma.

Kesimpulan

Sangat banyak khasiat dan kebaikan rempah yang tinggi dengan antioksidan ini untuk dimanfaatkan dalam kehidupan kita. Saffron secara umumnya selamat untuk kebanyakan orang dan boleh digunakan dalam masakan kita.

Write A Comment