Nutrisi

Khasiat dan Kebaikan Saffron Untuk Wanita dan Lelaki

Pinterest LinkedIn Tumblr

Saffron merupakan antara rempah yang paling mahal di dunia. Rempah ini dibuat daripada stigma bunga Crocus sativus yang dikeringkan. Saffron turut dikenali sebagai Za’faran. Saffron mempunyai banyak khasiat dan kegunaan. Khasiat saffron telah lama dimanfaatkan oleh masyrakat terdahulu terutamanya di Asia Barat.

Harganya pula boleh mencapai sehingga RM 32,000 bagi setiap 1 kilogram. Kenapa terlalu mahal? Ini kerana bagi setiap 100 gram rempah ini memerlukan kira-kira 1000 kuntum bunga safron. Setiap kuntum bunganya pula hanya mempunyai 3 stigma. Bunganya pula hanya mekar beberapa minggu setahun dan dituai dengan tangan.

Selain digunakan sebagai penawar dan rempah dalam masakan, saffron juga turut digunakan dalam pembuatan minyak wangi dan pewarna pakaian.

khasiat saffron

Berikut merupakan 8 khasiat dan kebaikan saffron untuk kesihatan wanita dan lelaki:

1) Terapi Kepada Penyakit Alzheimer

Saffron mempunyai sebatian antioksidan yang dinamakan Crocin iaitu karotenoid yang larut air. Kajian menunjukkan Crocin mempamerkan aktiviti perlindungan pelbagai fungsi di dalam otak. Ia boleh digunakan sebagai suplemen atau ubat untuk mencegah atau mengubati penyakit Alzheimer (1).

Satu kajian klinikal selama 22 minggu yang dijalankan terhadap penghidap Alzheimer ringgan hingga sederhana mendapati saffron mempunyai keberkesanan yang sama dengan ubat Alzheimer iaitu Donepezil (2).

2) Menambahbaik Gejala Kemurungan

Kemurungan kini menjadi satu masalah kesihatan yang semakin serius. Gangguan mental ini menyebabkan penghidapnya mengalami gangguan tidur, kepenatan, hilang selera makan, rasa bersalah, kesedihan, tidak mampu memberikan tumpuan dan hilang keinginan untuk melakukan rutin harian. Ia boleh membawa kepada putus asa dan bunuh diri.

Satu kajian yang dijalankan di Iran menunjukkan Saffron menambahbaik gejala kemurungan oleh pesakit, sama seperti ubat-ubatan anti-kemurungan seperti Fluoxetine. Ini menjadikan rempah ini salah satu pilihan yang lebih selamat (3).

3) Mengurangkan Gejala Sindrom Pramenstruasi (PMS)

Satu kajian terhadap 35 orang wanita yang didedahkan kepada bau Saffron selama 20 minit didapati membantu mengurangkan gejala sindrom pramenstruasi, haid tidak teratur dan senggugut (4).

Kajian ini juga mendapati setelah terdedah kepada bau ini selama 20 minit, tahap hormon kortisol (hormon stres) dan kebimbangan mengurang secara signifikan.

4) Rawatan Masalah Disfungsi Erektil (Mati Pucuk)

Diabetes merupakan salah satu faktor penyumbang kepada masalah mati pucuk. Satu kajian terhadap pesakit diabetes yang mengalami masalah mati pucuk menggunakan gel saffron mendapati responden menunjukkan penambahbaikan yang signifikan berbanding ubat (5).

Kajian lain melibatkan 20 orang lelaki dengan masalah mati pucuk diberi satu tablet mengandungi 200mg saffron selama 10 hari. Ia menunjukkan hasil yang positif terhadap fungsi seksual dengan peningkatan bilangan dan durasi erektil pesakit selepas 10 hari mengambil tablet ini (6).

5) Boleh Merawat Asma

Kajian klinikal terhadap 80 orang pesakit dengan masalah asma yang biasa hingga sederhana mendapati penggunaan saffron menunjukkan penambahbaikan dari segi frekuensi gejala klinikal seperti frekuensi sesak nafas ketika siang hari dan malam, penggunaan semburan salbutamol, dan terjaga akibat gejala asma (7).

6) Baik untuk Kesihatan Mata

Degenerasi makular berkaitan usia adalah satu penyakit mata yang bertambah teruk selari dengan masa. Penyakit ini boleh menyebabkan buta terutamanya bagi penghidap yang berumur 60 tahun ke atas.

Terdapat beberapa kajian yang menunjukkan khasiat saffron dalam melindungi mata yang mengalami masalah degenerasi makular berkaitan usia. Kajian-kajian ini mendapati pengambilan crocetin iaitu antioksidan dalam saffron mempunyai kesan perlindungan daripada kerosakan retina serta mencegah daripada degenerasi fotoreseptor dan kegagalan retina untuk berfungsi (8, 9, 10).

7) Boleh Melindungi Saraf

Salah satu komplikasi kencing manis atau diabetes ialah kerosakan saraf akibat daripada pengurangan aliran darah. Kira-kira lebih daripada separuh penghidap diabetes mengalami kerosakan saraf sepanjang menghidap penyakit ini (11).

Dalam konteks ini, saffron turut menunjukkan kesan perlindungan terhadap kerosakan saraf. Ini berkemungkinan disebabkan oleh kandungan antioksidannya (12).

Namun, manfaat saffron untuk saraf masih memerlukan banyak kajian klinikal.

8) Mempunyai Ciri-ciri Antikanser

Saffron terkenal dengan kandungan antioksidannya yang tinggi. Antioksidan ini berperanan penting untuk melawan radikal bebas yang turut menjadi antara pencetus kepada penyakit kronik termasuklah kanser.

Dalam satu kajian makmal, ekstrak saffron dan komponennya iaitu crocin boleh menghalang tumbesaran sel kanser kolon tanpa menjejaskan sel yang normal (13).

Kesan yang sama turut dapat dilihat terhadap sel-sel kanser seperti kanser serviks, kulit, paru-paru, payudara, hati dan leukimia (14).

Tambahan lagi, kajian tabung uji turut mendapati crocin iaitu sebatian antioksidan dalam saffron boleh membuatkan sel-sel kanser lebih sensitif terhadap ubat kemoterapi (15).

Walau bagaimanapun, kesan antikanser ini memerlukan kajian-kajian terhadap manusia untuk mengesahkan kesan yang sama.

Risiko dan Dos Yang Sesuai

Umumnya, saffron adalah selamat untuk dimakan.

Kuantiti standard yang digunakan untuk memasak tidak mempunyai sebarang kesan sampingan.

Manakala bagi makanan tambahan daripada saffron pula, dos atau kuantiti di bawah 5 gram sehari adalah selamat untuk dimakan.

Dos yang tinggi melebihi 5 gram sehari boleh mempunyai kesan toksik. Wanita mengandung harus mengelakkan daripada mengambil makanan tambahan (suplemen) saffron pada dos yang tinggi. Ini kerana ia boleh menyebabkan keguguran (16, 17).

Dapatkan nasihat doktor sebelum mengambil saffron dalam bentuk makanan tambahan.

Dimanakah Boleh Dibeli?

Saffron ini kebiasaannya boleh didapati di kedai-kedai Arab atau Timur Tengah. Atau boleh juga dibeli atas talian – Beli saffron online.

Bagaimanakah Cara Menyimpan Saffron?

Saffron boleh disimpan ditempat yang sejuk, kering dan gelap.

Kesimpulan

Saffron yang dikenali sebagai ’emas merah’ ini adalah rempah yang berkhasiat dan tinggi dengan antioksidan.

Saffron dikaitkan dengan pelbagai manfaat kesihatan termasuklah penyakit Alzheimer, masalah seksual, asma, kesihatan mata dan lain-lain. Saffron secara umumnya selamat untuk kebanyakan orang dan senang untuk digunakan dalam masakan kita.

Write A Comment