Seperti buah kurma, cuka kurma juga penuh dengan khasiat dan kebaikannya. Khasiat cuka kurma merangkumi kandungannya yang tinggi antioksidan, mencegah penyakit mata dan lain-lain lagi.

Walau bagaimanapun, cuka kurma mungkin kurang popular di Malaysia. Kita mungkin lebih terbiasa dengan cuka sintetik dan cuka epal.

Tetapi jika anda pernah berkunjung ke kedai-kedai arab atau kedai yang menjual barangan dari timur tengah, mungkin pernah terjumpa dengan cuka kurma.

Buah kurma digunakan untuk membuat cuka kurma yang berkhasiat

Cuka kurma dihasilkan melalui proses fermentasi buah kurma. Seperti buah kurma, cuka kurma juga kaya dengan khasiatnya.

Cuka kurma juga tinggi dengan kandungan mikronutrien seperti kalium (potassium), magnesium, kalsium dan zat besi (8).

Berikut ialah beberapa khasiat cuka kurma:

1) Kaya Antioksidan

Kajian oleh beberapa pengkaji di Pakistan mendapati, cuka kurma kaya dengan antioksidan. Dalam kajian mereka, cuka daripada kurma merah mempunyai antioksidan lebih tinggi berbanding kurma hitam (1).

Antioksidan melindungi sel dalam tubuh badan kita daripada radikal bebas. Radikal bebas ini mempunyai peranan dalam penyakit kanser, penyakit jantung dan lain-lain lagi.

2) Mencegah Penyakit Mata

Kandungan karotenoid yang tinggi dalam cuka kurma terutamanya dari kurma hitam mampu mencegah daripada penyakit mata dan kanser. Karotenoid dapat mencegah daripada penyakit mata dengan menyerap cahaya biru yang berbahaya yang memasuki mata (2).

3) Merendahkan Kadar Kolestrol

Satu kajian terhadap kesan penggunaan cuka kurma terhadap pesakit diabetes jenis 2 menunjukkan pengurangan kadar kolestrol dalam darah. Hasil daripada kajian itu menunjukkan penurunan signifikan terhadap kolestrol dan LDL (kolestrol jahat) dan peningkatan dalam folat dan HDL (kolestrol baik) (3).

4) Baik untuk sistem kardiovaskular

Kajian makmal mendapati, pengambilan cuka sebanyak 0.86 mmol (milimole) sehari selama 6 minggu dapat menurunkan tekanan darah sistolik (4).

Selain itu, kajian mendapati mereka yang mengambil salad yang mengandungi minyak dan cuka dapat mengurangkan risiko kematian akibat penyakit jantung iskemia (5).

5) Mengawal tekanan darah

Kandungan kalium dan magnesium dalam cuka kurma bermanfaat untuk mengawal tekanan darah.

Selain dapat mengimbangi kesan negatif garam (sodium), kalium juga boleh menurunkan tekanan darah tinggi (6).

Mineral seperti kalsium dan magnesium juga turut membantu mengawal tekanan darah. Magnesium diperlukan untuk mengendurkan saluran darah dan kalsium pula diperlukan untuk saluran darah menegang dan mengendur (7).

Kesimpulan

Seperti buahnya, cuka kurma juga mempunyai khasiat yang baik untuk kesihatan kita. Selain tinggi dengan kandungan antioksidan, cuka kurma juga bermanfaat untuk mengawal tekanan darah, merendahkan kadar kolesterol, mencegah penyakit mata dan baik untuk jantung.

Write A Comment