Nutrisi

Khasiat dan Kebaikan Buah Rock Melon

Pinterest LinkedIn Tumblr

Buah rock melon (cantaloupe) kian mendapat tempat di Malaysia dek kerana rasa, khasiat dan kebaikannya. Buah ini dikatakan berasal dari kawasan Asia Selatan hingga Afrika (1).

Selain nama rock melon dan cantaloupe, buah ini turut dikenali sebagai musk melon, mush melon dan Persian melon. Buah ini adalah dari keluarga Cucurbitaceae sama seperti buah tembikai.

Di Jepun, buah ini sangatlah istimewa dan mewah. Pada tahun 2016,spesies buah rockmelon yang dikenali sebagai ‘Yubari King’ dijual pada harga RM 115,000.00.

Kini, buah ini banyak diusahakan secara tanaman fertigasi di Malaysia dan membawa pulangan yang lumayan kepada pengusahanya.

Kandungan air, antioksidan, vitamin dan mineral yang terkandung didalam buah rockmelon ini mempunyai banyak kebaikan kepada kesihatan.

khasiat buah rock melon

Berikut adalah 7 khasiat dan kebaikan buah rock melon:

1.Kaya dengan Nutrisi

Dalam 100g buah rock melon terdapat nutrien-nutrien seperti berikut:

  • Tenaga: 34 kcal
  • Protein: 0.84 gram
  • Karbohidrat: 8.16 gram
  • Serat: 0.9 gram
  • Kalsium: 9 miligram
  • Zat besi: 0.21 miligram
  • Magnesium: 12 miligram
  • Kalium: 267 miligram
  • Vitamin C: 36.7 miligram
  • Folat: 21 mikrogram
  • Vitamin A: 169 mikrogram

Buah ini juga turut mengandungi mineral seperti fosforus, zink, tembaga, selenium dan kumpulan vitamin B.

2. Mencegah Kanser

Buah rock melon kaya dengan beta-karotena, alfa-karotena, selenium, vitamin A dan vitamin C yang bertindak sebagai antioksidan.

Antioksidan boleh mencegah kerosakan atau kematian sel akibat radikal bebas dengan meneutralkan mereka.

Sekiranya radikal bebas ini tidak dibendung dan berlebihan dalam badan, ia boleh merosakkan sel-sel terutamanya kerosakan kepada DNA yang boleh menyebabkan kanser (2).

Dalam satu analisis mendapati vitamin C boleh mengurangkan risiko kanser pankreas. Walau bagaimanapun, leih banyak kajian diperlukan untuk menyokong dapatan ini (3).

3.Merendahkan Tekanan Darah

Buah ini juga tinggi dengan kandungan kalium (potassium). Kalium ialah mineral yang penting diperlukan oleh badan untuk berfungsi dengan baik.

Bagi 100gram buah ini, terdapat 267 miligram kalium iaitu 5.7% daripada RNI (recommended nutrient intake) bagi lelaki dan wanita dewasa di Malaysia.

Diet yang tinggi dengan kalium dapat merendahkan tekanan darah kerana kalium boleh mengurangkan kesan natrium (sodium). Selain itu, kalium turut membantu mengurangkan ketegangan di dinding saluran darah yang membantu menurunkan tekanan darah (4).

4. Menghidratkan badan

Buah rock melon tinggi dengan kandungan air. Dalam 100g buah ini, terdapat 90.2 mililiter air.

Pengambilan buah ini dapat mengekalkan badan kita untuk terus terhidrat seterusnya mengelakkan kita daripada dihidrasi dan menyihatkan jantung.

Apabila badan kita terhidrat, jantung kita tidak perlu bekerja dengan teruk untuk mengepam darah. Badan yang terhidrat juga menyokong penghadaman, kesihatan buah pinggang dan tekanan darah.

Kekurangan air dalam badan boleh menyebabkan dihidrasi. Dihidrasi boleh menyebabkan pening kepala, sakit kepala, kulit kering, mulut kering dan sembelit.

5. Kesihatan Kulit dan Rambut

Buah rock melon juga tinggi dengan vitamin A dan C, iaitu dua vitamin yang penting untuk kesihatan kulit dan rambut.

Selain itu,kandungan vitamin A yang tinggi dalam buah ini juga turut menyokong sel-sel kulit yang sihat.

Vitamin A membantu kelenjar kulit menghasilkan minyak yang dikenali sebagai sebum. Sebum melembapkan kulit kepala dan membantu mengekalkan rambut yang sihat (5).

Vitamin C juga membantu badan menghasilkan kolagen iaitu protein yang menyediakan struktur kepada sel, kulit dan rambut.

6. Baik untuk Kesihatan Mata

Khasiat buah rock melon tidak terhenti setakat kesihatan kulit dan rambut.

Buah rock melon juga mengandungi antioksidan seperti lutein dan zeaxantin. Lutein dan zeaxantin mempunyai banyak manfaat kepada kesihatan mata kita.

Gabungan antioksidan ini boleh melindungi mata dari bahaya sinar biru. Satu kajian yang dijalankan pada tahun 2009 menunjukkan lutein dan zeaxantin dapat melindungi mata daripada penyakit degenerasi makular berkaitan usia (6).

Di samping itu, lutein dan zeaxantin juga boleh melambatkan atau mencegah pembentukan katarak (7, 8)

Kesimpulan

Disebalik rasanya yang manis dan ranggup, buah rock melon juga mempunyai banyak khasiat kepada kesihatan kita.

Enak dimakan segar serta dijadikan pencuci mulut. Pastikan buah ini berada dalam senarai belian runcit anda!

Write A Comment