Nutrisi

Khasiat dan Kebaikan Buah Pisang untuk Kesihatan

Pinterest LinkedIn Tumblr

Khasiat buah pisang serta keenakannya menjadikan buah ini pilihan di seluruh dunia. Buah pisang cukup terkenal dengan kebolehannya untuk membekalkan tenaga pantas. Dalam kalangan atlet, pisang merupakan makanan pilihan sewaktu kejohanan bagi membekalkan tenaga dan mengelakkan perut kosong.

Nama saintifik bagi pisang ialah Musa spp. Pisang ditanam di 135 buah negara dan menyumbang kepada USD 8 bilion nilai eksport dunia. Terdapat pelbagai jenis pisang di Malaysia. Contohnya seperti Pisang Kapas, Pisang Emas, Pisang Berangan, Pisang Tanduk dan banyak lagi.

Buah pisang kaya dengan pelbagai mineral dan vitamin yang berguna untuk kesihatan jantung, penghadaman dan juga tekanan darah.

khasiat buah pisang

Antara khasiat dan kebaikan buah pisang adalah seperti berikut:

1) Baik untuk Tekanan Darah

Buah pisang kaya dengan mineral kalium (potassium). Bagi sebiji buah pisang bersaiz besar (136g), terdapat 487mg kalium di dalamnya iaitu kira-kira 10% daripada keperluan kalium harian kita.

Kalium amat penting untuk membolehkan badan kita berfungsi dengan baik. Selain itu, kalium juga mengekalkan degupan jantung secara normal dan mengurangkan kesan natrium (sodium) terhadap tekanan darah.

Hipertensi atau darah tinggi merupakan faktor yang membawa kepada penyakit kardiovaskular, strok, dan penyakit buah pinggang. Kajian mendapati pengambilan kalium dapat menurunkan tekanan darah (1).

2) Bagus untuk Pencernaan

Pisang juga kaya dengan serat.

Serat larut atau serat tak larut kedua-duanya memainkan peranan penting kepada kesihatan kita. Serat larut membantu badan mengawal gula darah dan menyingkirkan bahan berlemak seperti kolesterol. Serat tak larut pula menambah berat dan kelembutan pada najis, membolehkan kita mempunyai pergerakan usus yang normal (2).

Pisang yang belum masak mempunyai kanji yang tahan kepada pencernaan dalam usus kecil. Kanji ini akan bertindak sebagai makanan kepada pertumbuhan mikrob yang bermanfaat dalam saluran penghadaman. Mikrob ini akan menghasilkan asid lemak rantaian pendek yang berperanan mencegah penyakit kronik (3).

3) Mengurangkan Risiko Asma

Satu kajian yang dijalankan oleh pengkaji dari National Heart and Lung Institute, Imperial College London mendapati pengambilan sebiji buah pisang sehari mengurangkan risiko menghidap asma dalam kalangan kanak-kanak (4).

4) Baik untuk Kesihatan Jantung

Pisang mengandungi mineral kalium (potassium) dan magnesium yang menjadi sumber penting untuk kesihatan jantung (5).

Selain merendahkan tekanan darah, pengambilan kalium juga dapat merendahkan risiko penyakit jantung sebanyak 27% (6).

5) Membekalkan Tenaga

Pisang boleh menggantikan semula tenaga dan elektrolit sama seperti minuman tenaga.

Kajian yang diterbitkan dalam PLOS One terhadap atlet lumba basikal menunjukkan pengambilan pisang dan air dapat mengembalikan tenaga dan elektrolit kepada pelumba ini sama seperti minum tenaga (7).

6) Mengandungi Antioksidan yang Hebat

Antioksidan boleh didapati daripada sayur-sayuran dan buah-buahan. Pisang adalah salah satu daripada buah yang mengandungi antioksidan yang hebat.

Selain daripada vitamin C dan antioksidan yang lain, buah pisang turut mengandungi antioksidan yang kuat seperti dopamin, katekin dan kuersetin yang boleh mengurangkan risiko penyakit jantung dan penyakit degeneratif (8, 9).

7) Senang Disertakan dalam Diet

Buah pisang boleh dijadikan kudapan dalam diet harian kita.

Selain itu, pisang juga mudah ditambah dalam yogurt, minuman smoothie atau dalam bijirin.

Pisang juga sesuai kepada semua lapisan umur. Tekstur isinya yang lembut membolehkan kanak-kanak hingga orang dewasa dapat menikmati buah yang berkhasiat ini.

Kesimpulan

Buah pisang kaya dengan khasiat yang berguna untuk kesihatan dan tenaga. Buah ini juga boleh dimanfaatkan untuk kesihatan jantung, tekanan darah, penyakit asma dan juga untuk pencernaan yang lancar.

Kemaskini terakhir pada 29 Jun 2020

Write A Comment