Mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa biji anggur mempunyai banyak kebaikan dan khasiatnya. Kebiasaannya, ramai yang suka membeli buah anggur tanpa biji. Mungkin kerana biji anggur ini menganggu semasa kita makan atau kerana rasa pahit kelat jika termakan atau tergigitnya.

Manakala, ekstrak dari biji anggur pula telah dihasilkan sejak tahun 1970-an lagi. Kini, ekstrak biji anggur (EBA) dijadikan sebagai suplemen dengan membuang rasa pahit, mengeringkan dan mendebukan biji anggur tersebut.

Biji anggur ini mengandungi sebatian antioksida, oligomeric proanthocyanidin (OPC) bersama-sama dengan antioksidan yang lain iaitu asid fenolik, flavonoid, dan anthocyanins.

Berikut merupakan khasiat dan kebaikan biji anggur atau ekstrak biji anggur (EBA) berdasarkan kajian sains:

1) Melancarkan Aliran Darah

EBA dipercayai mampu memulihkan mereka yang mempunyai masalah salur darah. Contohnya seperti masalah salur darah yang tidak dapat menyalurkan darah daripada kaki kembali ke jantung.

Dalam satu kajian di Jepun mendapati, EBA membantu mengurangkan bengkak pada kaki wanita sihat akibat duduk yang terlalu lama (1). Kandungan proanthocyanidin dipercayai memainkan peranan penting dalam penyembuhan ini.

2) Merendahkan Tekanan Darah

Satu kajian mendapati, EBA mempunyai kesan baik kepada tekanan darah. Keseluruhan analisis mendapati penurunan pada tekanan darah sistole dan tekanan darah diastolik selepas rawatan dengan EBA . Kesan ini lebih jelas pada subjek kajian yang muda dan obes (2).

Satu kajian lain terhadap 29 orang dewasa mendapati pengambilan EBA sebanyak 300mg sehari menunjukkan penurunan signifikan terhadap tekanan darah sistole dan diastolik. Tekanan darah sistole menunjukkan penurunan sebanyak 5.6% dan tekanan darah diastolik menurun sebanyak 4.7% selepas 6 minggu pengambilan EBA (3).

3) Melindungi daripada Kerosakan Pengoksidaan

EBA kaya dengan antioksidan. Antioksidan diketahui mempunyai kebolehan untuk mencegah atau melewatnya kerosakan sel akibat radikal bebas. Radikal bebas ini turut menyebabkan “tekanan oksidatif/pengoksidaan” yang membawa kepada kerosakan sel.

Satu kajian mendapati EBA mampu mengurangkan kesan sampingan kardiotoksik yang disebabkan oleh Litium (Li). Litium ini digunakan dalam rawatan depresi dan kecelaruan bipolar (4).

Satu kajian terhadap tikus makmal yang diberikan arsenik trioksida (ketoksidan pembiakan) mendapati EBA bersama proanthocyanidin mampu mengurangkan kerosakan tekanan oksidatif pada testis tikus jantan tersebut (5).

Dalam satu kajian lain, satu kumpulan daripada terhadap 87 orang pesakit yang bakal menjalani pembedahan jantung diberikan EBA sebanyak 400mg, 24jam sebelum pembedahan. Hasil kajian mendapati tahap penanda tekanan oksidatif (tahap malondialdehyde) rendah secara signifikan dalam kumpulan ini. Ini menunjukkan EBA mempunyai ciri-ciri antiperoksidaan (6).

kebaikan biji anggur

4) Menyembuhkan Luka

EBA mempamerkan ciri-ciri penyembuhan luka pada haiwan dan juga manusia (7,8).

Satu kajian yang dijalankan di Iran mendapati, rawatan luka menggunakan krim 2% EBA menunjukkan penyembuhan seawal 8 hari berbanding pesakit yang dirawat menggunakan ubat biasa. Mereka menyimpulkan bahawa kandungan proanthocyanidins dalam EBA ini yang mengalakkan pertumbuhan dalam kulit (9).

5) Baik untuk Penyakit Alzheimer

Beberapa kajian mendapati sebatian polifenol dalam EBA boleh mencegah, merawat atau melambatkan penyakit Alzheimer (10, 11)

Kesan Sampingan

Secara amnya, ekstrak biji anggur selamat digunakan atau dimakan. Dos sekitar 300-800mg sehari selama 8-16 minggu didapati masih selamat. Walau bagaimanapun, bagi yang mengalami masalah pendarahan atau mengambil ubat pencair darah adalah tidak dinasihatkan mengambil EBA.

Write A Comment