Nutrisi

Khasiat Bunga Cengkih Yang Anda Perlu Tahu

Pinterest LinkedIn Tumblr

Kemaskini Terakhir Pada

Pernahkah kita terfikir akan khasiat bunga cengkih? Atau kita sekadar beranggapan bunga cengkih hanyalah rempah penyedap masakan? Tahukah anda bahawa bunga cengkih mempunyai banyak khasiat untuk kesihatan kita.

Nama saintifik bagi bunga cengkih adalah Syzygium aromaticum. Rempah ini berasal dari Kepulauan Maluku, Indonesia. Kini, rempah ini ditanam di merata-rata tempat di seluruh dunia.

Bunga cengkih banyak digunakan dalam masakan orang Asia, Afrika, Timur Tengah dan Mediterranean.

Selain aroma yang menarik, bunga cengkih turut didapati mempunyai banyak potensi dalam perubatan.

khasiat bunga cengkih

Berikut adalah beberapa khasiat bunga cengkih untuk kesihatan berdasarkan kajian sains:

1. Mengandungi Nutrien Penting

Sesudu (2.1 gram) serbuk bunga cengkih mengandungi nutrien-nutrien seperti berikut (1):

  • Kalori: 5.75 kcal
  • Protein: 0.13 gram
  • Lemak: 0.27 gram
  • Karbohidrat: 1.38 gram
  • Serat: 0.71 gram
  • Kalsium: 13.3 miligram
  • Magnesium: 5.44 miligram
  • Kalium: 21.4 miligram
  • Mangan: 1.26 miligram
  • Folat: 0.53 mikrogram

Selain itu, bunga cengkih mengandungi nutrien-nutrien seperti vitamin B, vitamin C, vitamin A, vitamin K, vitamin E, mineral zink dan juga mineral tembaga.

2. Tinggi dengan Antioksidan

Antioksidan ialah sebatian yang boleh mengurangkan tekanan pengoksidaan yang boleh menyebabkan penyakit-penyakit kronik.

Bunga cengkih mengandungi sebatian yang dikenali sebagai eugenol. Eugenol ini di dapati boleh bertindak sebagai antioksidan.

Kajian makmal mendapati eugenol boleh menghalang pengoksidaan yang disebabkan oleh radikal bebas lima kali lebih baik daripada vitamin E (2).

3. Bersifat Antibakteria

Khasiat bunga cengkih juga agak terkenal dengan sifat antibakterianya yang boleh melawan bakteria dan virus yang boleh mendatangkan masalah kesihatan kepada manusia.

Kajian makmal yang dijalankan menunjukkan ekstrak bunga cengkih dalam bentuk air atau serbuk menunjukkan ciri-ciri antibakteria terhadap bakteria E. coli, S. aureus, Brochothrix thermosphacta (B. thermosphacta), Lactobacillus rhamnosus (L. rhamnosus), dan Pseudomonas fluorescens (P. fluorescens) (3).

Selain itu, eugenol juga turut mempunyai ciri-ciri antibakteria terhadap mikroorganisma daripada makanan yang mereput dan patogen (bakteria dan virus) manusia (4).

4. Mungkin Boleh Mencegah Kanser

Terdapat kajian yang menunjukkan sebatian yang dijumpai dalam bunga cengkih boleh membantu mencegah kanser.

Satu ujian makmal yang diterbitkan pada 2014 mendapati ekstrak bunga cengkih boleh membantu menghentikan tumbesaran tumor dan mengalakkan kematian sel dalam sel-sel kanser (5).

Selain itu, eugenol dalam bunga cengkih ini juga turut mempunyai ciri-ciri antikanser.

Satu kajian tabung uji mendapati eugenol secara berkesan menggalakkan kematian sel dalam sel-sel kanser serviks (6).

Walau bagaimanapun, kajian klinikal masih diperlukan untuk mengetahui dos yang selamat kerana eugenol ini toksid pada kadar yang tinggi dan terlebih dos minyak bunga cengkih boleh menyebabkan kerosakan hati (7).

5. Baik Untuk Kesihatan Dalam Mulut

Minyak pati bunga cengkih boleh dimanfaatkan dalam produk pembilas mulut.

Kajian klinikal yang dijalankan mendapati pembilas mulut yang mengandungi herba seperti bunga cengkih efektif untuk mencegah plak, gingivitis dan bakteria dalam mulut (8).

Dapatkan ubat gigi bunga cengkih online

6. Boleh Mengawal Gula Dalam Darah

Bunga cengkih juga berpotensi dimanfaatkan untuk membantu mengawal gula dalam darah.

Kajian terhadap haiwan mendapati ekstrak bunga cengkih dan nigericin (komponen dalam ekstrak cengkih) boleh mengurangkan kerintangan insulin dalam sel-sel otot haiwan tersebut (9).

Di samping itu, kajian lain terhadap tikus yang menghadapi masalah diabetes menunjukkan ekstrak bunga cengkih dapat mengurangkan peningkatan gula dalam darah dalam kalangan tikus ini (10)

7. Mengurangkan Ulser dalam Perut

Beberapa kajian telah mendapati bunga cengkih mempunyai khasiat dalam merawat ulser dalam perut.

Dalam satu kajian terhadap haiwan mendapati minyak pati bunga cengkih meningkatkan penghasilan mukus gastrik (11).

Mukus ini bertindak sebagai penghadang yang boleh mencegah hakisan pada lapisan perut.

Kajian lain terhadap haiwan juga mendapati ekstrak tunas cengkih yang dikenali sebagai Clovinol menunjukkan sifat anti-ulser terhadap ulser perut. Clovinol ini juga mengurangkan pengoksidaan dalam kalangan tikus yang menghidap ulser seterusnya meningkatkan kesihatan perut dan usus (12).

Kesimpulan

Bunga cengkih mempunyai banyak potensi untuk dimanfaatkan dalam perubatan. Khasiat bunga cengkih merangkumi kesihatan perut, kesihatan mulut, baik untuk diabetes, bersifat antibakteria dan juga antikanser.

Justeru, amalan penggunaan bunga cengkih dalam masakan adalah amalan yang baik.

Write A Comment