Khasiat buah pelaga bukan sahaja menambah rasa dalam masakan. Malahan, buah pelaga mempunyai banyak khasiat dalam dunia perubatan. Buah pelaga kebiasaannya boleh dijumpai dalam masakan Melayu dan India seperti gulai ataupun kari.

Buah pelaga atau nama saintifiknya Elettaria cardamomum L. dipercayai berasal dari negara benua India dan Indonesia. Tetapi kini, rempah ini telah ditanam di nega-negara lain seperti Malaysia, Guatemala dan Tanzania.

Terdapat dua jenis buah pelaga iaitu buah pelaga hijau dan buah pelaga hitam.

Kedua-dua jenis buah pelaga ini mempunyai khasiatnya masing-masing.

Berikut ialah 7 khasiat buah pelaga berdasarkan kajian sains:

1. Boleh Merendahkan Tekanan Darah

Buah pelaga mempunyai khasiat kepada penghidap tekanan darah tinggi.

Kajian menunjukkan serbuk buah pelaga dapat menurunkan paras tekanan darah tinggi kepada paras normal terhadap 20 individu dewasa yang baru menghidap tekanan darah tinggi (1).

Pengkaji percaya keupayaan menurunkan tekanan darah dalam buah pelaga adalah disebabkan kandungan antioksidan dan kesan diuretik.

Ekstrak buah pelaga turut menunjukkan peningkatan pengumuhan (kencing) dan penurunan tekanan darah terhadap tikus (2).

2. Bersifat antibiotik (antimikrob)

Minyak yang diperolehi daripada biji buah pelaga boleh membunuh bakteria dan fungus.

Kajian mendapati minyak pati buah pelaga berkesan dalam membunuh beberapa jenis bakteria dan fungus seperti P. aeruginosa dan C. violaceum (3).

Kajian lain juga turut mendapati minyak pati buah pelaga turut menunjukkan aktiviti antimikrob terhadap hampir kesemua mikroorganisma yang diuji (4).

khasiat buah pelaga

3. Baik untuk kesihatan jantung

Rempah ini juga mempunyai manfaat untuk kesihatan jantung.

Satu kajian terhadap haiwan mendapati buah pelaga boleh melindungi jantung dan mempamerkan kesan perlindungan terhadap jantung dengan memusnahkan radikal bebas dan aktiviti antioksidan (5).

Kajian lain pula mendapati, buah pelaga hitam dapat menambah baik profil lipid (lemak), mengelakkan pembekuan darah dan meningkatkan aktiviti antioksidan dalam kalangan pesakit jantung iskemia (6).

4. Boleh menghilangkan bau mulut

Selain pudina atau kayu manis, buah pelaga juga boleh digunakan untuk menghilangkan bau mulut.

Buah pelaga boleh membantu melawan bakteria dalam mulut yang selalunya menyebabkan mulut berbau, kaviti dan penyakit gusi.

Kajian menunjukkan biji pelaga dan buahnya boleh membantu meningkatkan kesihatan mulut kerana ciri-ciri antiradang dan antioksidannya. Ekstrak buah pelaga mencegah tumbesaran bakteria yang boleh menyebabkan penyakit gusi (7).

5. Mungkin boleh merendahkan kadar gula dalam darah

Serbuk buah pelaga mungkin boleh merendahkan kadar gula dalam darah.

Satu kajian terhadap tikus makmal mencadangkan bahawa buah pelaga boleh membantu mengurangkan kadar gula dalam darah (8).

Walau bagaimanapun, kajian pada manusia tidak menunjukkan kesan yang sama (9).

Kesan buah pelaga terhadap kadar gula dalam darah bagi manusia memerlukan kajian yang lebih banyak.

6. Baik untuk pencernaan

Buah pelaga telah digunakan untuk memulihkan masalah penghadaman sejak dahulu lagi.

Buah pelaga telah digunakan dalam perubatan tradisional seperti Ayurveda, perubatan Cina dan sistem Unani.

Ekstrak metanolik daripada pelaga dikatakan bahan yang membantu mengawal ketidakselesaan gastrousus seperti keasidan, kekejangan perut dan kembung (10).

Buah pelaga juga turut didapati boleh melawan bakteria Helicobacter pylori, bakteria yang menyebabkan ulser dalam perut (11).

7. Berpotensi untuk kesihatan kulit

Buah pelaga juga berpotensi untuk digunakan untuk mencegah kanser kulit.

Satu kajian pada tahun 2012 mendapati serbuk buah pelaga menunjukkan rempah ini boleh bertindak sebagai ejen mencegah atau melambatkan kanser kulit (12).

Walau bagaimanapun, terdapat laporan mengenai alahan dermatitis akibat terdedah kepada sebatian yang terkandung dalam biji buah pelaga ini (13).

Banyak kajian lagi diperlukan untuk mengenalpasti khasiat buah pelaga ini kepada kulit manusia.

Kesimpulan

Buah pelaga adalah rempah yang boleh menambah rasa dalam masakan dan kaya dengan nilai perubatan.

Buah pelaga berkhasiat merendahkan tekanan darah, menghilangkan bau mulut, dan baik untuk jantung serta kulit.

Penggunaan buah pelaga dalam masakan harus dikekalkan supaya khasiat buah pelaga ini dapat dimanfaatkan dalam diet harian kita.

Write A Comment