Nutrisi

Khasiat Buah Nona yang Ramai Tidak Tahu

Pinterest LinkedIn Tumblr

Mungkin ramai tidak mengetahui akan khasiat buah nona. Mungkin juga ramai tidak mengenalinya. Buah nona berasal dari tropika Amerika dan negara-negara berdekatan lautan Carribbean.

Buah nona atau dalam bahasa inggerisnya dikenali sebagai sugar apple atau custard apple adalah dari genus Annona dan keluarga Annonaceae.

Kebiasaannya, buah ini dimakan segar atau dijadikan smoothie. Isinya berbau harum dan manis, berwarna putih hingga kuning cerah dan rasanya seperti kustard.

Buah nona juga tinggi dengan nutrien-nutrien penting seperti kalium (potassium), magnesium, zat besi, vitamin B6 , tembaga dan vitamin C.

khasiat buah nona

Berikut ialah 7 khasiat buah nona untuk manfaat kesihatan:

1. Kaya dengan antioksidan

Buah nona kaya dengan antioksidan yang boleh melawan radikal bebas dalam badan.

Radikal bebas yang tinggi boleh menyebabkan tekanan pengoksidaan yang seterusnya membawa kepada penyakit kronik.

Sebatian seperti flavonoid, karotenoid, asid kaurenoik dan vitamin C mempunyai kesan antioksidan yang tinggi (1, 2).

2. Baik untuk kesihatan mata

Selain itu, buah nona juga berkhasiat untuk kesihatan mata kerana mengandungi antioksidan yang dikenali sebagai lutein dan zeaxantin (3).

Dalam 100g buah ini, terdapat kira-kira 6 mikrogram lutein dan zeaxantin (4).

Beberapa kajian menunjukkan pengambilan makanan mengandungi lutein dan zeaxantin baik untuk kesihatan mata dan dapat mencegah daripada penyakit degenerasi makular berkaitan usia yang boleh menyebabkan kerosakanmata dan buta (5, 6, 7).

3. Mengawal tekanan darah

Khasiat buah nona juga merangkumi kebolehannya untuk membantu mengawal tekanan darah.

Buah ini kaya dengan nutrien seperti kalium (potassium) dan magnesium.

Kalium dan magnesium membantu pengembangan salur darah, seterusnya membantu menurunkan tekanan darah. Tekanan darah tinggi meningkatkan risiko terkena serangan strok dan serangan jantung (8, 9).

Kalium juga dapat mengimbangkan kesan negatif yang disebabkan oleh natrium (garam).

4. Boleh mencegah kemurungan

Buah nona juga merupakan sumber yang baik untuk mendapatkan vitamin B6 (pyridoxine).

Dalam 100 g buah ini, terdapat kira-kira 0.257 mg vitamin B6 iaitu 15% RNI (recommended nutrient intake) bagi orang dewasa di Malaysia.

Vitamin B6 ini memainkan peranan penting dalam penghasilan neurotransmitter seperti dopamin dan serotonin. Hormon-hormon ini membantu mengawal selia mood atau emosi seseorang itu (10, 11).

Malahan, kekurangan vitamin B6 dikaitkan dengan kemurungan, terutamanya bagi individu berusia (10).

5. Membantu sistem penghadaman

Seperti kebanyakkan buah yang lain, buah nona juga turut bagus untuk sistem penghadaman.

100g buah ini mengandungi 3g serat diet iaitu kira-kira 10% daripada RNI.

Oleh kerana serat diet tidak boleh dihadam atau diserap, ia akan menambah saiz pada najis dan memudahkan pergerakan najis melalui saluran usus (11).

6. Mempunyai ciri-ciri antikanser

Sesetengah sebatian dalam buah nona boleh melawan kanser.

Flavonoid dalam buah nona seperti catechin, epicatechin dan epigallocatechin didapati boleh menghentikan tumbesaran sel kanser dalam kajian makmal (12)

Dalam satu kajian yang dijalankan di India pada tahun 2019, ekstrak biji buah nona dalam pelarut petroleum ether menunjukkan kesan toksik kepada sel-sel kanser (13).

Kajian lain juga menunjukkan ekstrak biji buah nona mempunyai kesan anti-tumor terhadap sel-sel kanser hati manusia. Ini menunjukkan potensi ekstrak ini untuk dijadikan ubat untuk kanser hati (19).

7. Mempunyai ciri-ciri antiradang

Asid kaurenoik dalam buah nona mengandungi kesan antiradang yang kuat.

Kajian menunjukkan asid ini mampu mengurangkan keradangan dalam kajian terhadap haiwan (14, 15).

Selain itu, kajian lain turut menunjukkan sifat antiradang buah nona ini dengan menghalang penghasilan sebatian pro-radang (16).

Kesan Sampingan

Walaupun buah nona mempunyai banyak khasiat kepada kesihatan, namun buah ini turut mengandungi sedikit sebatian toksik.

Amalan tradisional terutamanya masyarakat dari India, mereka menggunakan serbuk biji buah nona sebagai anti-kelemumur atau penghapus kutu. Namun, biji buah ini mempunyai bahan aktif yang boleh menyebabkan radang kepada mata seperti keratitis jika terkena mata (17, 18).

Write A Comment