Bayam Brazil ialah salah satu keluarga bayam yang mempunyai banyak khasiat. Khasiat bayam Brazil merangkumi kesihatan mata, tulang dan juga membekalkan nutrien-nutrien penting yang diperlukan oleh badan.

Bayam Brazil atau nama saintifiknya Alternanthera Sissoo dipercayai berasal dari Brazil kerana paling banyak dijumpai di negara ini. Nama lain bagi bayam ini ialah Sissoo spinach, Samba lettuce dan Poor Man’s Spinach.

Sayur ini boleh dimakan segar atau dicampur dalam masakan. Di Malaysia, cara masakan sayur ini sudah mula dipelbagaikan.

Resepi-resepi seperti bayam Brazil goreng belacan, bayam Brazil celup tepung, bayam Brazil masak lemak dan macam-macam lagi mula mendapat tempat dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Sebelum melihat khasiat sayur ini, kita harus kenali dahulu ciri-ciri atau rupa bentuk bayam ini. Ciri-ciri bayam Brazil adalah seperti berikut:

  • Daunnya hampir bulat, berwarna hijau dan berkedut.
  • Bunganya kecil dan berwarna putih.
  • Tumbuh dalam bentuk membukit sehingga ketinggian kira-kira 30 cm.
  • Tumbuh di kawasan subtropika dan tropika.
khasiat bayam brazil

Bayam Brazil adalah daripada keluarga Amaranthaceae iaitu sama dengan jenis sayur bayam yang lain.

Pada asasnya, bayam brazil mempunyai nutrien-nutrien dan khasiat yang hampir sama dengan sayur bayam yang lain, cuma berbeza kuantiti sahaja. Hal ini kerana tiada kajian khusus yang dijalankan terhadap bayam Brazil ini.

Berikut ialah khasiat bayam Brazil yang baik untuk kesihatan:

1. Kandungan Nutrisi

Dalam 100g sayur bayam terdapat nutrien-nutrien seperti berikut (USDA):

  • Air: 91%
  • Kalori: 23 kcal
  • Protein: 2.86 gram
  • Karbohidrat: 3.63 gram
  • Kalsium: 99 miligram
  • Zat besi: 2.71 miligram
  • Magnesium: 79 miligram
  • Kalium: 558 miligram
  • Vitamin C: 28.1 miligram
  • Folat: 194 mikrogram
  • Vitamin A: 469 mikrogram

Selain itu, sayur bayam turut mengandungi mikronutrien seperti fosforus, zink, tembaga, mangan, selenium dan vitamin B serta vitamin K.

2. Berkhasiat kepada bakal ibu dan ibu mengandung

Sayur bayam seperti bayam Brazil kaya dengan folat atau asid folik.

Bagi 100gram sayur bayam, terdapat kira-kira 48.5% folat yang dibekalkan berdasarkan RNI (recommended nutrient intake) Malaysia.

Folat penting kepada ibu mengandung atau bakal ibu bagi mengelakkan kecacatan tiub saraf kepada anak dalam kandungan (1).

3. Baik untuk kesihatan mata

Bayam juga tinggi dengan kandungan lutein dan zeaxantin. Dua sebatian karotenoid ini terkandung dalam retina mata.

Beberapa kajian mendapati lutein dan zeaxantin boleh mencegah berlakunya peyakit makular berkaitan usia dan katarak, yang menjadi penyebab kepada buta (2 , 3).

4. Sesuai untuk penghidap kencing manis

Sayur bayam mengandungi antioksidan yang dikenali sebagai asid alfa-lipoik.

Asid ini dipercayai dapat menurunkan kadar glukosa, meningkatkan kesensitifan insulin dan mencegah tekanan pengoksidaan (4, 5, 6).

Kajian pada tahun 2006 oleh pengkaji dari Jerman mendapati pengambilan asid ini sebanyak 600mg sekali sehari selama 5 minggu, menambah baik gejala penyakit saraf (7).

5. Merendahkan tekanan darah

Sayur ini juga tinggi dengan kandungan kalium (potassium). Oleh itu, ia sangat disarankan kepada mereka yang mempunyai penyakit darah tinggi.

Kalium boleh mengurangkan kesan negatif daripada garam (sodium) dalam badan. Diet yang tinggi dengan garam dan rendah kalium menjadi antara punca kepada tekanan darah tinggi (8).

Kira-kira 77% hingga 90% kalium yang dimakan akan dikumuhkan melalui air kencing dan sebahagian kecil lain melalui najis dan peluh.

Walaupun pada kadar yang kurang, buang pinggang tetap akan mengumuhkan kalium. Maka amat penting untuk kita mengamalkan pemakanan yang tinggi dengan kandungan kalium.

6. Baik untuk kesihatan tulang

Sayur bayam juga tinggi dengan vitamin K.

Terdapat kira-kira 482 mikrogram vitamin K dalam 100g sayur ini iaitu lebih daripada 100% daripada RNI.

Vitamin K ini sangat berguna untuk kekuatan tulang. Kekurangan vitamin K meningkatkan risiko pereputan tulang (9).

7. Sumber kepada zat besi

100g sayur bayam membekalkan 2.71mg zat besi iaitu kira-kira 30% RNI bagi kanak-kanak berumur 7 hingga 9 tahun.

Zat besi penting untuk penghasilan darah merah. kekurangan zat besi boleh membawa kepada penyakit anemia (kekurangan darah) (10).

Keperluan kepada zat besi semakin meningkat kepada wanita yang mengandung. Oleh itu, sayur bayam merupakan pilihan yang baik untuk membekalkan zat besi dalam diet harian golongan ibu atau bakal menjadi ibu.

Kesimpulan

Secara ringkasnya, bayam Brazil mempunyai banyak khasiat yang sangat berguna untuk kesihatan badan. Sayur bayam ini berguna untuk ibu mengandung dan juga semua lapisan umur.

Khasiat sayur ini boleh dimanfaatkan oleh penghidap kencing manis,penghidap darah tinggi serta untuk kesihatan tulang dan mata.

Write A Comment