Nutrisi

Khasiat Anggur untuk Kesihatan: Ketahui 10 Rahsia Ini

Pinterest LinkedIn Tumblr

Anggur adalah buah istimewa yang banyak disebut dalam Al-Quran. Mungkin terdapat rahsia tersembunyi disebalik keistimewaan ini. Dari sudut sainsnya, rupa-rupanya terdapat banyak khasiat anggur yang tersembunyi disebalik rasanya yang enak dan lembut itu. Anggur kini boleh didapati dalam pelbagai bentuk, warna, berbiji atau tidak berbiji dan juga dalam banyak produk makanan.

Menjejaki sejarahnya, anggur telah ditanam sejak 8 000 tahun dahulu lagi di Timur Tengah. Kini anggur telah ditanam di serata dunia termasuklah di Malaysia.

Nama saintifik bagi anggur ialah Vitis vinifera. Terdapat banyak jenis anggur yang boleh didapati seperti anggur hijau (putih), merah, hitam, kuning atau merah jambu.

Kandungan nutrien dan sebatian antioksidan dalam buah ini menjadikannya kaya dengan pelbagai khasiat dan manfaat untuk kesihatan.

khasiat anggur

Berikut adalah beberapa khasiat anggur yang menjadikan buah ini sangat bermanfaat untuk kesihatan.

1. Kaya dengan Nutrisi Penting

Bagi 100 gram buah anggur segar, terdapat nutrien-nutrien seperti berikut (USDA):

  • Tenaga: 69 kcal
  • Protein: 0.72 gram
  • Lemak: 0.16 gram
  • Karbohidrat: 18.1 gram
  • Serat: 0.9 gram
  • Kalsium: 10 miligram
  • Zat besi: 0.36 miligram
  • Magnesium: 7 miligram
  • Fosforus: 20 miligram
  • Kalium: 191 miligram
  • Vitamin C: 3.2 miligram
  • Folat: 2 mikrogram
  • Vitamin E: 0.19 miligram
  • Vitamin K: 14.6 mikrogram

Selain itu, buah anggur turut mengandungi gabungan vitamin B1, B2, B3 dan B6. Mineral seperti zink, tembaga dan selenium juga turut boleh didapati melalui pengambilan buah anggur.

Secara ringkasnya, buah anggur tinggi dengan vitamin C dan K iaitu masing-masing 4.6% dan 22.5% daripada jumlah RNI (recommended nutrient intake) Malaysia bagi 100 gram buah ini.

2. Tinggi dengan Antioksidan

Sebatian antioksidan sangat diperlukan oleh badan bagi mencegah daripada berlaku tekanan pengoksidaan.

Tekanan pengoksidaan boleh menyebabkan penyakit-penyakit kronik seperti penyakit jantung, kanser dan juga kencing manis (diabetes).

Buah anggur sangat tinggi dengan sebatian antioksidan. Antioksidan banyak di bahagian kulit dan bijinya. Oleh itu, jangan kupas kulit buah ini ketika memakannya.

Antara sebatian antioksidan yang terkandung dalam buah anggur adalah vitamin C, beta-karotin, lutein dan zeaxantin, resveratrol, kuersetin, anthocyanins, likopena, dan proanthocyanidins.

3. Boleh Melawan Kanser

Sebatian antioksidan seperti resveratrol adalah antara sebatian yang banyak dikaji akan kesannya terhadap perawatan dan pencegahan kanser.

Sebatian bioaktif ini boleh mencegah pertumbuhan sel-sel kanser, membunuh sel-sel kanser dan mengurangkan keradangan. Kajian-kajian yang telah dijalankan menunjukkan sebatian ini mempunyai kesan antikanser terhadap kanser kolon (usus), prostat, paru-paru, payu dara dan rahim (1).

Resveratrol ini boleh didapati pada kuantiti yang lebih tinggi di bahagian biji dan kulit buah anggur.

4. Baik untuk Kesihatan Kulit

Sinaran UV sama ada daripada sinaran matahari atau sumber buatan secara berlebihan boleh menyebabkan masalah kulit seperti kedutan, selaran matahari (sunburn), kanser kulit, penuaan kulit dan perubahan pigmen.

Terdapat 2 jenis seinaran UV iaitu UV-A dan UV-B. Sinaran UV-A boleh menyebabkan penuaan kulit dan sinaran UV-B boleh menyebabkan selaran kulit (skin burning).

Kajian di peringkat makmal mendapati ekstrak biji anggur merah mempunyai kesan perlindungan terhadap sinaran UV-B pada kulit. Selain itu, ekstrak ini turut mengurangkan pembentukan sel-sel selaran matahari dalam kulit. Ini menunjukkan ekstrak biji anggur ini boleh bertindak sebagai pelindung matahari (2).

Ekstrak anggur yang digunakan dalam krim penuaan juga menunjukkan kesan positif terhadap kesemua peserta wanita yang mengambil bahagian dalam satu ujian klinikal (3).

5. Baik untuk Kesihatan Mata

Khasiat anggur turut meliputi kesannya terhadap kesihatan mata. Sebatian-sebatian aktif dalam buah ini didapati boleh mencegah daripada penyakit mata.

Sebatian aktif seperti resveratrol didapati boleh melindungi sel retina daripada rosak akibat sinaran UV-A. Keadaan ini boleh mengurangkan risiko pembentukan penyakit degenerasi makular berkaitan usia (4).

Terdapat juga kajian yang mendapati resveratrol ini boleh melindungi mata daripada penyakit seperti glaukoma, katarak dan penyakit mata akibat diabetes (5).

Di samping itu juga, kandungan sebatian seperti lutein dan zeaxantin juga boleh melindungi mata daripada rosak akibat penyakit degenerasi makular berkaitan usia dan katarak (6).

6. Boleh Membantu Mengawal Kadar Gula Darah

Walaupun anggur agak tinggi dari segi kandungan gulanya iaitu 15.5 gram bagi setiap 100 gram, tetapi buah ini mempunyai indeks glisemik yang rendah iaitu 53.

Menariknya lagi, sebatian polifenol dan serat dalam buah anggur ini boleh menurunkan kadar gula dalam darah. Berdasarkan kajian yang dijalankan terhadap 38 individu lelaki yang mengambil ekstrak anggur sebanyak 20 gram sehari selama 4 bulan (7).

Selain itu, resveratrol juga boleh meningkatkan kepekaan insulin yang membolehkan badan menggunakan glukosa dengan lebih baik. Seterusnya merendahkan gula dalam darah (8).

7. Membantu Meningkatkan Fungsi Otak

Peningkatan usia akan turut menyebabkan peningkatan kemerosotan fungsi motor dan kognitif yang menyebabkan badan seseorang itu terdedah kepada tekanan pengoksidaan dan keradangan.

Pengambilan jus anggur selama 3 bulan menunjukkan perkembangan positif dari segi percakapan dan ingatan bagi golongan berumur yang mempunyai masalah kemerosotan ingatan (9).

Kajian terhadap golongan muda yang sihat pula mendapati pengambilan jus anggur sebanyak 230 mililiter menambah baik memori dan mood selepas 20 minit meminum jus tersebut (10).

8. Meningkatkan Sistem Imun

Selain baik untuk kulit, kandungan vitamin C dalam buah anggur juga turut membantu meningkatkan sistem pertahanan badan (sistem imun).

Vitamin C berperanan untuk mengalakkan penghasilan sel-sel darah putih yang boleh melindungi badan daripada jangkitan.

Tambahan lagi, dalam kajian klinikal terhadap 85 individu mendapati pengambilan jus anggur selama 9 minggu meningkatkan bilangan sel-sel darah putih dan kadar serum vitamin C. Ini menunjukkan kebaikan buah anggur terhadap sistem imun badan manusia (11).

9. Boleh Membantu Menguatkan Tulang

Buah anggur juga mengandungi mineral dan vitamin yang penting untuk kesihatan tulang seperti kalsium, magnesium, fosforus, kalium dan vitamin K.

Kajian terhadap haiwan menunjukkan resveratrol boleh meningkatkan ketumpatan tulang, namun tiada sokongan daripada kajian terhadap manusia (12).

10. Boleh Membantu Mengurangkan Kadar Kolesterol

Sebatian aktif dalam buah anggur turut menyumbang kepada pengurangan kadar kolesterol terhadap pemakannya.

Kajian yang dijalankan terhadap 69 orang pesakit kolesterol tinggi menunjukkan pengambilan anggur merah sebanyak 500 gram sehari selama 2 bulan boleh merendahkan jumlah kolesterol dan kolesterol-LDL (kolesterol jahat). Namun, anggur putih tidak mempunyai kesan yang sama (13).

Kesimpulan

Anggur adalah buah yang enak dan mudah untuk dimakan. Kaya dengan nutrien dan sebatian bioaktif yang sangat bermanfaat untuk kesihatan.

Walaupun agak tinggi dengan gula, tetapi buah ini mempunyai indeks glisemik yang rendah menandakan buah ini tidak menaikkan kadar gula dalam darah dengan cepat.

Kajian-kajian telah membuktikan khasiat anggur dalam membantu mencegah kanser, melindungi kulit, mata, otak serta baik untuk penghidap kencing manis dan kolesterol tinggi.

Anggur juga mudah untuk dimakan sama ada dimakan segar, sejuk atau dibuat jus.

Write A Comment