Nutrisi

Khasiat Air Lemon: Adakah Benar Sebagai Detox?

Pinterest LinkedIn Tumblr

Adakah benar air lemon bertindak sebagai detox? Untuk menjawab persoalan ini, mari kita ketahui dengan lebih lanjut mengenai detox dan khasiat air lemon terhadap kesihatan tubuh badan kita.

Sebelum itu, harus diketahui dahulu apakah itu “air detox” yang selalu disebut-sebut ini. Air detox ialah air yang direndam dengan buah-buahan segar, sayur-sayuran atau herba. Detox pula adalah ringkasan daripada bahasa Inggeris, detoxification yang membawa maksud proses menyingkirkan toksin dan kotoran.

Adakah anda perlu detox?

Tidak. Anda tidak memerlukan air detox atau sebarang produk makanan tambahan (suplemen) yang dikatakan boleh menyahtoksik (detox) hati atau tubuh badan anda.

Menurut Dr. Micheal Smith, badan kita adalah pakar dalam menyingkirkan sebarang toksin tidak kira apa yang anda makan. Toksin tidak terbentuk dalam hati, buah piggang atau bahagian badan anda yang lain.

Satu-satunya jenis diet detox yang bermanfaat adalah menghadkan makanan yang diproses, tinggi lemak dan bergula serta menggantikannya dengan makanan seperti buah-buahan dan sayur-sayuran [1].

Harus diketahui juga bahawa badan manusia mempunyai sistem penyahtoksin yang lengkap. Ini termasuklah [2]:

  • Kulit. Kulit bertindak sebagai penghalang kepada bakteria, virus dan bahan-bahan berbahaya seperti bahan toksik dan mineral berat dari memasuki badan.
  • Sistem pernafasan. Bulu hidung menapis kotoran atau partikel-partikel besar semasa bernafas. Partikel-partikel halus pula disingkirkan dalam mukus.
  • Sistem imun. Sistem yang boleh mengenalpasti bendasing dan menyingkirkannya daripada badan.
  • Usus. Tompok Peyer dalam usus kecil menapis parasit dan bendasing sebelum nutrien diserap ke dalam darah.
  • Hati. Penapis utama dalam badan yang boleh meneutralkan bahan logam yang membahayakan seperti merkuri, cadmium dan plumbum sebelum disingkirkan. Hati juga menghasilkan enzim yang boleh melindungi badan daripada bahan kimia berbahaya dan toksin.
  • Buah pinggang. Buah pinggang menyingkirkan kotoran dan toksin.

Jadi, adakah salah untuk mengambil air lemon?

Jawapannya juga adalah Tidak. Cuma, harus dibetulkan pemahaman kita bahawa air lemon bukanlah untuk detox seperti yang dipopularkan. Tetapi air lemon masih boleh diamalkan untuk mendapat manfaat daripada buah lemon tersebut.

Minum air bagus untuk badan kerana ia boleh menghidratkan badan. Manakala menambah buah lemon ke dalam air pula boleh menambah manfaat buah lemon ke dalam air tersebut.

Tidak banyak kajian saintifik yang dijalankan khusus terhadap air lemon, tetapi kajian lebih tertumpu kepada khasiat buah lemon dan air secara berasingan.

khasiat air lemon

Khasiat Air Lemon

Beberapa khasiat yang mungkin boleh diperolehi daripada air lemon berdasarkan kandungan nutriennya adalah seperti berikut:

1. Tinggi dengan vitamin C

Buah lemon adalah buah sitrus yang tinggi dengan vitamin C. Vitamin C adalah salah satu antioksidan yang boleh melindungi sel-sel badan kita daripada radikal bebas yang boleh membawa kepada pelbagai penyakit.

Vitamin C juga berperanan penting dalam menggalakkan pembentukan kolagen. Kolagen ini memberi struktur kepada kulit yang boleh mencegah kedutan kulit [3].

Kajian turut menunjukkan bahawa vitamin C boleh mencegah dan merawat jangkitan pernafasan dan sistemik dengan meningkatkan fungsi-fungsi sel imun [4].

2. Kaya antioksidan

Selain vitamin C, air lemon juga turut mengandungi manfaat antioksidan lain seperti Hesperidin, Diosmin dan Eriocitrin. Hesperidin berguna untuk menguatkan salur darah anda dan mengelakkan terbentuknya plak pada arteri [5].

Diosmin pula boleh meningkatkan tona otot dan mengurangkan keradangan kronik pada salur darah. Eriocitrin yang boleh dijumpai pada jus dan kulit buah lemon pula bermanfaat untuk mencegah kerosakan pengoksidaan [5,6].

3. Mencegah Batu Karang

Asid sitrik ialah asid yang paling banyak dalam buah lemon. Terdapat kajian yang menunjukkan asid sitrik boleh membantu menghalang pembentukan batu karang [7].

Selain itu, minum air yang mencukupi juga boleh menghalang pembentukan batu karang.

4. Membantu dalam penghadaman

Kekal terhidrat boleh mengelakkan daripada berlakunya sembelit dan melancarkan pergerakan dalam usus. Dehidrasi yang kronik boleh menyebabkan sembelit.

Terdapat juga mereka yang percaya minum air lemon pada setiap pagi boleh bertindak seperti laksatif dan mencegah sembelit.

5. Menyegarkan Nafas

Air lemon dipercayai boleh menghilangkan bau mulut akibat makan makanan yang kuat berbau seperti bawang putih, bawang atau hanyir ikan.

Air lemon juga boleh mengelakkan mulut kering yang seterusnya boleh menyebabkan nafas berbau.

Kesimpulan

Khasiat air lemon adalah berkait rapat dengan khasiat buah lemon itu sendiri. Tuntutan bahawa air lemon adalah untuk ‘detox‘ adalah tidak benar. Badan manusia telah mempunyai sistem penyahtoksin yang lengkap.

Namun begitu, amalan meminum air lemon adalah tidak salah dan boleh diamalkan untuk membolehkan badan terus terhidarat dan memperolehi manfaat daripada buah lemon seperti vitamin C dan kandungan antioksidannya.

Rujukan

  1. Kathleen M. Zelman. 2020. The Truth About Detox Diets. https://www.webmd.com/diet/a-z/detox-diets [diakses pada 24 Ogos 2020].
  2. Harvard Health Publishing. 2008. The dubious practice of detox. https://www.health.harvard.edu/staying-healthy/the-dubious-practice-of-detox [diakses pada 24 Ogos 2020].
  3. Pullar, J. M., Carr, A. C., & Vissers, M. (2017). The Roles of Vitamin C in Skin Health. Nutrients9(8), 866. https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/28805671/
  4. Carr, A. C., & Maggini, S. (2017). Vitamin C and Immune Function. Nutrients9(11), 1211. https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/29099763/
  5. J.A. Del Rı́o, M.D. Fuster, P. Gómez, I. Porras, A. Garcı́a-Lidón, A. Ortuño.2004. Citrus limon: a source of flavonoids of pharmaceutical interest. Food Chemistry 84 (3) : 457-461. https://doi.org/10.1016/S0308-8146(03)00272-3.
  6. Ken-ichiro Minato, Yoshiaki Miyake, Syuichi Fukumoto, Kanefumi Yamamoto, Yoji Kato, Yoshiharu Shimomura & Toshihiko Osawa.2003.Lemon flavonoid, eriocitrin, suppresses exercise-induced oxidative damage in rat liver.Life Sciences 72(14):1609-1616. https://doi.org/10.1016/S0024-3205(02)02443-8.
  7. Prezioso, D., Strazzullo, P., Lotti, T., Bianchi, G., Borghi, L., Caione, P., Carini, M., Caudarella, R., Ferraro, M., Gambaro, G., Gelosa, M., Guttilla, A., Illiano, E., Martino, M., Meschi, T., Messa, P., Miano, R., Napodano, G., Nouvenne, A., Rendina, D., … CLU Working Group (2015). Dietary treatment of urinary risk factors for renal stone formation. A review of CLU Working Group. Archivio italiano di urologia, andrologia : organo ufficiale [di] Societa italiana di ecografia urologica e nefrologica87(2), 105–120. https://doi.org/10.4081/aiua.2015.2.105.

Write A Comment