Nutrisi

Kebaikan Diet Tinggi Kalium (Potassium) Untuk Kesihatan

Pinterest LinkedIn Tumblr

Apakah kebaikan diet tinggi kalium (potassium) untuk kesihatan kita? Adakah baik atau tidak jika diambil pada kadar yang tinggi? Mungkin persoalan-persoalan ini bermain difikiran anda. Artikel kali ini akan menjawab persoalan-persoalan ini.

Kalium atau dalam bahasa Inggerisnya, potassium merupakan merupakan salah satu mikromineral yang diperlukan oleh badan. Mineral ini berperanan penting untuk membolehkan sel-sel badan berfungsi dengan baik.

kebaikan diet tinggi kalium (potassium)

Fungsi-fungsi Kalium (Potassium)

Secara umumnya, terdapat beberapa fungsi kalium dalam badan. Antaranya ialah:

1. Membantu Mengimbangkan Bendalir Badan

Badan manusia terdiri daripada 60% air. 40% daripadanya boleh dijumpai dalam sel-sel badan atau dikenali sebagai ICF (intracellular fluid). 20% lagi adalah air yang boleh dijumpai di luar sel seperti darah, diantara sel-sel dan bendalir tulang. Bendalir ini dikenali sebagai ECF (extracellular fluid).

Kalium (potassium) ialah elektrolit utama dalam ICF yang menentukan jumlah air dalam sel-sel. Manakala, natrium (sodium) pula adalah elektrolit utama dalam ECF yang menentukan jumlah air diluar sel.

Jumlah air dalam ICF dan ECF bergantung kepada kepekatan elektrolitnya. Jika berlaku ketidakseimbangan antara dua elektrolit ini, ia boleh menyebabkan sel-sel mengecut atau membengkak.

Oleh sebab itu, adalah penting untuk memastikan anda mengambil elektrolit yang betul bagi mengekalkan keseimbangan ini.

Dehidrasi adalah salah satu tanda ketidakseimbangan bendalir badan dan boleh memberi kesan kepada jantung dan buah pinggang [1].

2. Berperanan dalam Sistem Saraf

Sistem saraf membantu menyampaikan mesej antara otak dan badan. Mesej ini akan dihantar dalam bentuk impuls.

Impuls saraf ini dihasilkan melalui pergerakan ion natrium (sodium) dan kalium (potassium).

Kekurangan kalium dalam darah akan menyebabkan badan tidak mampu untuk menghasilkan impuls saraf.

3. Membantu Mengawal Pengecutan Otot dan Degupan Jantung

Sistem saraf turut berperanan dalam mengawal pengecutan otot dan degupan jantung.

Perubahan kadar kalium dalam darah boleh memberi kesan kepada sistem saraf seterusnya melemahkan pengecutan otot. Begitu juga dengan degupan jantung, sekiranya kadar kalium dalam darah terlalu tinggi dan rendah ia akan menyebabkan degupan jantung yang tidak normal.

Kadar Pengambilan Kalium yang Dibenarkan

Pertama sekali, harus difahami dahulu istilah “tinggi” di sini. Sebanyak mana jumlah pengambilan kalium sehari yang dibenarkan kepada rakyat Malaysia. Menurut laporan panduan nutrisi yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, tiada tahap maksimum pengambilan kalium yang ditetapkan kepada individu sihat namun disarankan pada kadar 4.7 gram sehari.

Namun, bagi mereka yang menghadapi gangguan atau masalah dalam mengumuhkan kalium, pengambilan kalium dibawah 4.7 gram (12 mmol) sehari adalah disarankan bagi mengelak kesan buruk kepada jantung (degupan jantung tidak normal).

Pengambilan makanan tambahan (suplemen) juga dilarang bagi mengelakkan berlakunya keracunan.

Mikromineral ini banyak boleh didapati daripada makanan harian kita seperti sayur kubis, bayam, ikan tuna, kacang gajus, pisang dan betik.

Lihat senarai makanan tinggi potassium (kalium).

Kebaikan Diet Tinggi Kalium dari Sudut Kesihatan

Perubahan kepada gaya hidup dan pemakanan generasi masa kini menjadikan diet tinggi kalium adalah satu kemestian. Berdasarkan kajian, diet tinggi kalium dikaitkan dengan pelbagai manfaat kesihatan termasuklah:

1. Boleh Menurunkan Tekanan Darah Tinggi

Di Malaysia sahaja, berdasarkan Survei Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019 terdapat 6.4 juta rakyat yang menghidap tekanan darah tinggi (hipertensi).

Tekanan darah tinggi boleh membawa kepada terjadinya strok, kegagalan jantung, penyakit jantung koronari dan penyakit buah pinggang.

Pemakanan yang tinggi dengan kandungan kalium dapat menurunkan tekanan darah dengan menyingkirkan lebihan natrium (sodium) [2].

Diet yang tinggi dengan natrium boleh meningkatkan tekanan darah terutamanya kepada mereka yang sememangnya telah menghidap tekanan darah tinggi.

Dalam satu kajian semula yang dijalankan terhadap kajian kohort dan ujian terkawal secara rawak yang melibatkan 128 644 peserta mendapati peningkatan pengambilan kalium (potassium) boleh mengurangkan tekanan darah bagi penghidap hipertensi [3].

Malah, diet tinggi kalium juga dikaitkan dengan pengurangan risiko strok sebanyak 24% [3].

2. Baik untuk Buah Pinggang dan Mencegah Berlakunya Batu Karang

Buah pinggang berperanan untuk mengawal keseimbangan kalium dalam badan dengan menyingkirkan lebihan kalium.

Beberapa kajian terhadap haiwan menunjukkan kalium boleh melambatkan perkembangan penyakit buah pinggang [4,5].

Kalsium adalah mineral biasa yang membentuk batu karang. Kajian klinikal yang dijalankan di Amerika Syarikat menunjukkan gabungan kalium-magnesium sitrat boleh mencegah pembentukan semula batu karang yang terdiri daripada kalsium oksalat [6].

3. Baik untuk Kesihatan Tulang

Kebaikan diet tinggi kalium bukan terhenti setakat di situ sahaja. Mineral ini juga bermanfaat kepada kesihatan tulang.

Osteoporosis adalah penyakit pereputan tulang yang diakibatkan oleh kehilangan jisim tulang yang selari dengan peingkatan usia.

Kehilangan kalsium melalui perkumuhan yang membawa kepada rendah kalsium adalah salah satu punca berlakunya osteoporosis.

Menariknya, diet tinggi kalium didapati boleh mencegah osteoporosis dengan mengurangkan jumlah kalsium yang hilang daripada badan [7,8].

Kajian lain terhadap 52 lelaki dan wanita mendapati pengambilan kalium sitrat sebanyak 90 mmol sehari selama 6 bulan boleh meningkatkan keseimbangan kalsium secara ketara [9].

Kesimpulan

Kalium adalah mineral yang penting untuk kesihatan tubuh badan kita. Mineral ini boleh didapati daripada diet harian yang terdiri daripada sayur dan buah.

Diet tinggi kalium dapat membantu menurunkan tekanan darah yang seterusnya menurunkan risiko terkena strok atau penyakit jantung, mencegah pereputan tulang, mencegah penyakit buah pinggang dan batu karang.

Rujukan

  1. Scales K, Pilsworth J. The importance of fluid balance in clinical practice. Nurs Stand. 2008 Jul 30-Aug 5;22(47) 50-7; quiz 58, 60. doi:10.7748/ns2008.07.22.47.50.c6634. PMID: 18777823.
  2. American Heart Association. 2016. How Potassium can Help Control High Blood Pressure. https://www.heart.org/en/health-topics/high-blood-pressure/changes-you-can-make-to-manage-high-blood-pressure/how-potassium-can-help-control-high-blood-pressure [diakses pada 18 Ogos 2020].
  3. Aburto, N. J., Hanson, S., Gutierrez, H., Hooper, L., Elliott, P., & Cappuccio, F. P. (2013). Effect of increased potassium intake on cardiovascular risk factors and disease: systematic review and meta-analyses. BMJ (Clinical research ed.)346, f1378. https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/23558164/
  4. Tobian, L., MacNeill, D., Johnson, M. A., Ganguli, M. C., & Iwai, J. (1984). Potassium protection against lesions of the renal tubules, arteries, and glomeruli and nephron loss in salt-loaded hypertensive Dahl S rats. Hypertension (Dallas, Tex. : 1979)6(2 Pt 2), I170–I176. https://doi.org/10.1161/01.hyp.6.2_pt_2.i170
  5. Wang, W., Soltero, L., Zhang, P., Huang, X. R., Lan, H. Y., & Adrogue, H. J. (2007). Renal inflammation is modulated by potassium in chronic kidney disease: possible role of Smad7. American journal of physiology. Renal physiology293(4), F1123–F1130. https://doi.org/10.1152/ajprenal.00104.2007
  6. Ettinger, B., Pak, C. Y., Citron, J. T., Thomas, C., Adams-Huet, B., & Vangessel, A. (1997). Potassium-magnesium citrate is an effective prophylaxis against recurrent calcium oxalate nephrolithiasis. The Journal of urology158(6), 2069–2073. https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/9366314/
  7. Sebastian, A., Harris, S. T., Ottaway, J. H., Todd, K. M., & Morris, R. C., Jr (1994). Improved mineral balance and skeletal metabolism in postmenopausal women treated with potassium bicarbonate. The New England journal of medicine330(25), 1776–1781. https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/8190153/
  8. Dawson-Hughes, B., Harris, S. S., Palermo, N. J., Castaneda-Sceppa, C., Rasmussen, H. M., & Dallal, G. E. (2009). Treatment with potassium bicarbonate lowers calcium excretion and bone resorption in older men and women. The Journal of clinical endocrinology and metabolism94(1), 96–102. https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/18940881/
  9. Moseley, K. F., Weaver, C. M., Appel, L., Sebastian, A., & Sellmeyer, D. E. (2013). Potassium citrate supplementation results in sustained improvement in calcium balance in older men and women. Journal of bone and mineral research : the official journal of the American Society for Bone and Mineral Research28(3), 497–504. https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/22991267/

Write A Comment