Daging merah ialah daging yang diperolehi daripada haiwan mamalia yang kebiasaanya berwarna merah ketika mentah. Daging merah telah terjebak dalam kontroversi sejak sekian lama. Terdapat banyak perdebatan dalam kalangan penyelidik mengenai daging merah dan kesihatan. Dalam membincangkan tentang kebaikan dan keburukan daging ini, terdapat beberapa persoalan yang biasa bermain di minda;

Adakah daging merah membawa keburukan kepada kesihatan?

Bukankah daging merah baik untuk kesihatan?

Banyak persoalan dan perbahasan yang dikaitkan dengan daging ini. Oleh itu, artikel ini akan cuba merungkai kebaikan dan keburukan daging merah kepada kesihatan kita.

Adakah Daging Dahulu dan Daging Kini Sama?

Daging telah menjadi sumber protein utama sejak zaman dahulu lagi.

Walau bagaimanapun, daging merah yang kita makan sekarang sudah berbeza dengan daging merah yang dimakan orang zaman dahulu.

Jika dahulu lembu, kambing dan haiwan ternakan lain dibiarkan bebas meragut rumput, tumbuhan hijau yang merupakan makanan semulajadi bagi haiwan-haiwan ini.

Namun kini, haiwan ternakan seperti lembu dan kambing dipelihara secara terkurung dengan diberi makan dedak dan turut diberikan hormon tumbesaran dan antibiotik.

Maka, daging dari haiwan ternakan kini sudah tidak sama dengan haiwan ternakan dahulu.

kebaikan dan keburukan daging merah

Kenali Jenis-Jenis Daging Merah

  • Daging yang diproses: Ini merupakan produk yang dihasilkan daripada daging lembu atau haiwan ternakan yang diternak seperti biasa. Daging jenis ini akan mengalami pelbagai proses dan turut ditambah bahan-bahan pengawet seperti nitrat serta bahan kimia yang lain.
  • Daging Merah Biasa: Daging jenis ini ialah daging segar yang diperolehi daripada haiwan yang dipelihara secara ladang.
  • Daging organik, daging “grass-fed: Daging jenis ini datang daripada haiwan ternakan yang diternak secara organik, diberi makan dengan makanan semulajadi seperti rumput dan serangga serta tidak diberikan hormon tumbesaran atau bahan kimia yang lain.

Oleh itu, harus kita sedar tidak semua daging merah dihasilkan sama.

Namun begitu, seperti situasi sekuriti makanan (food security) di Malaysia yang mana permintaan lebih tinggi dari bekalan menyebabkan kebanyakan haiwan ternakan seperti lembu dipelihara secara ladang.

Kebaikan dan Khasiat dalam Daging Merah

Daging merah sebenarnya kaya dengan mineral, vitamin, antioksidan dan nutrien yang lain.

Dalam 100g daging merah mentah dengan nisbah daging (90%) dan lemak (10%), nutrien yang boleh diperolehi adalah seperti berikut:

NutrienUnitNilai bagi 100g
Proksimat
Airg69.45
Tenagakcal176
Proteing20
Jumlah Lipid (lemak)g10
Karbohidratg0
Seratg0
Gula, Jumlahg0
Mineral
Kalsium, Camg12
Besi, Femg2.24
Magnesium, Mgmg20
Fosforus, Pmg184
Kalium, Kmg321
Natrium, Namg66
Zink, Znmg4.79
Vitamin
Vitamin C, jumlah asid askorbikmg0
Thiaminmg0.042
Riboflavinmg0.151
Niacinmg5.072
Vitamin B-6mg0.369
Folat, DFEµg6
Vitamin B-12µg2.21
Vitamin A, RAEµg4
Vitamin A, IUIU14
Vitamin E (alfa-tokoferol)mg0.17
Vitamin D (D2 + D3)µg0.1
Vitamin DIU3
Vitamin K (filokuinon)µg0.8
Lipid
Asid Lemak, jumlah tepug3.927
Asid Lemak, jumlah mono tak tepug4.194
Asid Lemak, jumlah poli tak tepug0.345
Asid Lemak, jumlah transg0.54
Kolesterolmg65

Selain itu, daging merah juga kaya dengan nutrien seperti kreatina dan karnosina. Kekurangan nutrien ini boleh membawa kesan kepada fungsi otot dan otak (1,2).

Manakala, daging merah organik atau grass-fed juga kaya dengan asid lemak omega-3, asid lemak CLA dan tinggi dengan vitamin A dan E (3).

Dalam satu kajian dijalankan di Purdue University, pengambilan daging merah 0.5 hidangan daripada jumlah hidangan daging merah sehari tidak memberi kesan kepada lipid darah dan tekanan darah (4).

Satu analisis berdasarkan bukti di seluruh dunia mendapati tiada perkaitan antara daging merah yang tidak diproses dengan penyakit jantung koronari (5).

Daging merah juga merupakan sumber protein yang bermanfaat kepada tumbesaran otot bagi mereka yang melakukan senaman bina badan.

Adakah Daging Merah Meningkatkan Risiko Kanser?

Banyak kajian observasi menunjukkan pengambilan daging merah berkaitan dengan peningkatan risiko penyakit dan kanser (6,7, 8).

Kanser yang sering dikaitkan dengan pengambilan daging merah ialah kanser kolon, kanser yang keempat tertinggi di dunia.

Walau bagaimanapun, pengkaji-pengkaji mula berpendapat pentingnya membezakan antara daging merah yang diproses dengan daging merah yang tidak diproses serta daging merah organik atau grass-fed.

Beberapa kajian terbaru yang dijalankan di Eropah dan Utara Amerika melaporkan tiada perkaitan antara pengambilan daging merah yang tidak diproses dengan punca kematian termasuklah penyakit kardiovaskular atau kanser (9,10).

Kebanyakan kajian yang menyifatkan daging merah mempunyai kaitan dengan penyakit dan kanser adalah kajian jenis observasi. Kajian jenis ini hanya boleh menunjukkan perkaitan tetapi tidak dapat membuktikan bahawa daging merah sebagai punca.

Dalam konteks yang lain pula, daging merah yang diproses sememangnya mempunyai kesan negatif kepada badan kita. Daging merah yang diproses mempunyai nitrat 50% lebih tinggi berbanding daging merah yang tidak diproses. Kandungan nitrat ini mempunyai banyak kesan negatif seperti penyakit diabetes jenis 2 dan mengurangkan rembesan insulin (11).

Selain itu, cara masakan daging merah ini juga mungkin boleh menjadi faktor penyumbang kepada masalah kesihatan. Sebagai contoh, daging yang dimasak pada suhu yang tinggi boleh menghasilkan sebatian yang berbahaya seperti heterosiklik amina (HA), polisiklik aromatik hidrokarbon (PAH) dan advanced glycation end-products (AGE). Sebatian-sebatian ini boleh menyebabkan kanser kepada haiwan ujikaji (12).

Kesimpulan

Menjawab kepada persoalan-persoalan yang timbul, pada hakikatnya tiada bukti yang cukup kukuh untuk mengaitkan daging merah dengan penyakit kepada manusia.

Selain itu, perbezaan antara daging merah yang diproses, tidak diproses, dan organik adalah ketara. Oleh itu, kajian yang lebih spesifik harus dilakukan.

Pengambilan daging merah yang tidak diproses atau organik secara sederhana seharusnya tidak membawa sebarang kemudaratan kepada kesihatan kita.

Agama Islam juga mengalakkan kita untuk makan dan minum secara sederhana. Sebagaimana firman Allah s.w.t yang berbunyi ” Makan dan minumlah, dan jangan berlebih-lebihan” (al-Araaf:31).

Write A Comment