Nutrisi

Kebaikan Bekam atau Berbekam Dari Sudut Sains

Pinterest LinkedIn Tumblr

Bekam atau berbekam merupakan satu terapi rawatan yang dipercayai untuk menyingkirkan darah kotor. Terapi ini juga turut menjadi amalan sunnah. Kebaikan bekam ini ada diriwayatkan dalam beberapa hadith.

Dari sudut sains perubatan, terdapat kajian yang menyokong akan manfaat terapi bekam ini dalam merawat sesetengah penyakit. Ada juga yang menyatakan kajian-kajian lanjut harus dijalankan untuk membuat kesimpulan yang kukuh.

Bekam Dari Sudut Islam

Bekam dari segi istilah Arab dipanggil Al-Hijamah. Al-Hijamah ini merujuk kepada kaedah penyedutan, pencalaran dan penyedutan (teknik 3 kali S).

Terdapat beberapa hadith yang diriwayatkan mengandungi saranan dan perihal mengenai berbekam. Antaranya adalah seperti berikut:

Dari Anas bin Malik, Rasulullah s.a.w., bersabda:

Siapa yang ingin berbekam, lakukanlah pada tanggal tujuh belas , sembilan belas, atau dua puluh satu; jangan sampai darah keluar deras hingga membuatkan salah seorang di antara kamu meninggal.

Hadith Riwayat Ibnu Majah no. 1135, 3486

Dalam satu riwayat lain, dari Ibnu Abbas;

Rasulullah s.a.w. membekam kepalanya pada ketika ihram kerana migrain (sakit sebelah kepala dan wajah) menyerangnya.

Hadith Riwayat al-Bukhari no. 5701

Manakala, hadith lain yang memperihalkan kebaikan bekam ini adalah:

Dari Shuhaib, ia berkata, Rasulullah s.a.w bersabda:

Lakukanlah bekam pada tengkukmu; ia boleh mengubati 72 penyakit dan lima penyakit seperti gila, kusta, lepra dan sakit gigi.

Hadith Riwayat Al-Tabrani, al-Muqata bab 27.

Demikianlah beberapa hadith yang melibatkan perubatan yang menerangkan mengenai berbekam. Sesungguhnya, dalam Islam telah diajar akan kesesuaian hari untuk berbekam dan khasiatnya yang boleh dikaji selanjutnya oleh sains.

kebaikan bekam

Bekam Dari Sudut Sains Perubatan

Masyarakat moden percaya bahawa terapi bekam ini berasal dari negara Mesir, China atau Timur Tengah. Buku perubatan tertua di dunia “Ebbers Papyrus” menyatakan bahawa terapi bekam telah digunakan oleh masyarakat Mesir Kuno sejak 1550 B.C.

Ada juga yang mengatakan bahawa terapi bekam ini adalah rawatan tradisional orang China kerana ia turut melibatkan titik-titik akupunktur. Antara dokumen lama mengenai bekam yang dijumpai adalah buku yang ditulis oleh Ge Hong, “A Handbook of Prescriptions for Emergencies” yang berusia AD 300.

Ramai orang menggunakan terapi bekam untuk mengubati kesakitan, keradangan, melancarkan aliran darah, merehatkan badan dan untuk kesihatan.

Terapi bekam ini dijalankan menggunakan cawan atau bekas yang diperbuat daripada kaca, tembikar, silicon dan juga buluh.

Secara umumnya, terdapat 2 kaedah utama berbekam iaitu:

  • Bekam kering (bekam yang hanya melibatkan penyedutan sahaja)
  • Bekam basah (bekam yang melibatkan penyedutan dan pendarahan terkawal)

Kajian-kajian Sains Perubatan Mengenai Bekam

Seperti mana hadith Rasulullah s.a.w., kajian-kajian sains perubatan juga turut menunjukkan kebaikan bekam yang selari dengan saranan Baginda.

Satu kajian semula yang diterbitkan di Journal PLoS One, pengkaji mendapati berbekam boleh membantu bagi masalah-masalah seperti berikut (1):

  • jerawat
  • batuk dan dispnea (kesukaran pernafasan yang disebabkan oleh ketidaklancaran aliran udara ke dalam dan keluar paru-paru).
  • lumpuh dimuka
  • kayap
  • hernia cakra lumbar (slipped disc)
  • spondilosis servikal atau turut dikenali artritis leher atau osteoartritis (sakit sendi)

Satu kajian lain yang dijalankan terhadap 70 orang pesakit yang menghidap migrain dan sakit kepala kronik jenis tegangan menunjukkan pengurangan kepada sakit ini sebanyak 66%.

Pesakit juga melaporkan kurang mengalami sakit kepala kira-kira 13 hari sebulan (2).

Selain itu, kajian semula yang diterbitkan dalam Acupuncture in Medicine menunjukkan, bekam boleh mengurangkan kesakitan dan kebergantungan kepada ubat tahan sakit dan berpotensi sebagai terapi kepada pesakit pinggang (3).

Terdapat juga kajian yang menyatakan akan peningkatan penggunaan terapi bekam dalam kalangan atlet sebagai salah satu amalan pemulihan mereka. Namun, kajian ini menyarankan kajian lanjut kerana tidak menjumpai bukti yang konsisten untuk menunjukkan terapi ini berkesan dalam proses pemulihan sesuatu sukan (4).

Terdapat beberapa perkara yang perlu diambil perhatian semasa ingin mendapatkan rawatan ini. Contohnya seperti mendapatkan terapi bekam dari mereka yang bertauliah dan mengamalkan kebersihan yang tinggi. Ini bagi mengelakkan jangkitan atau kesan sampingan yang berlebihan.

Kesimpulan

Bekam atau berbekam sememangnya mempunyai banyak kebaikan untuk kesihatan. Seperti saranan baginda Rasulullah s.a.w., sains perubatan juga turut menunjukkan kebaikan bekam untuk kesihatan manusia.

Walaupun sesetengahnya mengatakan tiada bukti kukuh, namun kesan dan manfaatnya telah dirasai oleh ramai masyarakat sejak sekalian lama. Mungkin dengan kemajuan teknologi pada masa akan datang, rahsia disebalik terapi bekam ini dapat dirungkai.

Write A Comment