Indeks glisemik (GI) ialah indikator yang menunjukkan berapa cepat makanan yang dimakan dihadam dan ditukar kepada glukosa ke dalam salur darah. Ini bermakna makanan yang tinggi GI meningkatkan gula darah lebih tinggi berbanding makanan yang rendah GI.

Muatan glisemik (GL) ialah sistem ranking untuk makanan kaya karbohidrat yang mengukur jumlah karbohidrat dalam makanan. Makanan yang rendah muatan glisemik dibawah 10 dikira makanan rendah-GL dan mempunyai kesan rendah kepada gula darah. Antara 10 hingga 20 makanan sederhana-GL, lebih 20 ialah makanan tinggi-GL yang menyebabkan gula darah naik dan turun mendadak.

Muatan glisemik, GL = [GI x karbohidrat (g)]/100 …. (1)

indeks glisemik & muatan glisemik

Bagaimana Makanan yang Tinggi GI Tetapi Rendah GL Memberi Kesan Kepada Gula Darah?

Indeks glisemik tidak memberitahu berapa tinggi gula darah kita akan naik sekiranya kita betul-betul makan makanan tersebut. Untuk mengetahui kesan keseluruhan makanan terhadap gula darah kita, kita harus mengetahui berapa cepat ia menjadi glukosa dan masuk ke dalam salur darah. Serta berapa banyak glukosa dalam satu hidangan makanan itu boleh hasilkan. Maka, di sini muatan glisemik (GL) memainkan peranannya.

Sebagai contoh makanan tinggi GI (80) dan rendah GL (5) ialah tembikai.

Nilai GL yang rendah ini menunjukkan bahawa satu hidangan tembikai ini memberikan kesan minima kepada tahap gula darah.

Kaitan Diet GI, GL dan Obesiti

Kajian menunjukkan tiada perkaitan yang signifikan di antara diet GI dan GL dengan obesiti secara umum. Kajian ini hanya mendapati perkaitan signifikan pada diet GI dengan obesiti abdomen dalam kalangan wanita.

Kajian lain juga turut mendapati tiada perkaitan antara GI, GL dan peningkatan berat badan. Tetapi pengambilan roti putih iaitu karbohidrat bertapis mempunyai perkaitan langsung dengan risiko menjadi terlebih berat atau obesiti.

Kaitan Diet GI, GL dan Diabetes

Kajian mendapati diet yang tinggi GI dan GL berasosiasi dengan risiko penyakit diabetes jenis 2.

Kajian lain mendapati diet yang tinggi dengan karbohidrat yang senang hadam dan rendah serat meningkatkan risiko menghidap penyakit diabetes jenis 2. Kajian ini turut menyatakan indeks glisemik sangat berkaitan dengan peningkatan risiko diabetes.

Selain itu, kajian kohort mendapati diet yang tinggi dengan GI dan GL dalam kalangan orang dewasa sangat berkait dengan kejadian diabetes jenis 2 (2).

Kesimpulannya, indeks glisemik dan muatan glisemik dalam makanan sangat sesuai dijadikan rujukan bagi mereka yang menghidap diabetes jenis 2 dan juga untuk mengawal kandungan gula dalam darah.

Write A Comment