Apa itu Antioksidan?

Antioksidan ialah bahan semulajadi atau buatan manusia yang boleh mencegah atau melambatkan beberapa jenis kerosakan sel akibat radikal bebas. Radikal bebas ialah molekul yang tidak stabil yang terbentuk secara semulajadi apabila kita bersenam dan apabila badan menukarkan makanan kepada tenaga.

Badan juga boleh terdedah kepada radikal bebas yang datang dari sumber persekitaran seperti asap rokok, pencemaran udara dan cahaya matahari. Radikal bebas ini boleh menyebabkan tekanan okidatif atau tekanan pengoksidaan yang boleh mencetus kepada kerosakan sel.

Tekanan oksidatif atau tekanan pengoksidaan terjadi apabila jumlah radikal bebas melebihi jumlah antioksida.

sel rosak akibat kekurangan antioksida
Sel yang rosak akibat tekanan pengoksidaan (oxidative stress)

Sumber Antioksidan

Diet yang kaya dengan sayur-sayuran dan buah-buahan merupakan sumber antioksidan yang baik. Antara contoh antioksidan ialah vitamin C, vitamin E, selenium, beta-karotena, likopena, lutein dan zeaxantin.

  1. Vitamin C – vitamin larut air yang banyak ditemui dalam buah-buahan citrus dan jusnya seperti buah lemon, buah oren, kiwi, kranberi serta sayuran seperti bayam, brokoli,kubis dan cili hijau.
  2. Vitamin E – vitamin larut lemak yang turut dikenali sebagai alfa-tokoferol. Vitamin ini memainkan peranan dalam sistem imunisasi dan proses metabolisma. Boleh dijumpai dalam minyak sayuran, kekacang dan bijiran dan sayuran berdaun.
  3. Selenium – mineral dan merupakan komponen enzim antioksida. Selenium berperanan dalam sistem pembiakan, fungsi kelenjar tiroid, dan penghasilan DNA. Selenium boleh didapati dalam makanan laut, daging, telur, roti dan bijirin.
  4. Beta-karotena – merupakan salah satu kumpulan pigmen merah, jingga dan kuning yang dipanggil karotenoid. Beta-karotena boleh didapati dalam buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin. Contohnya seperti aprikot, lobak merah, labu, mangga dan ubi keledek.
  5. Likopena (Lycopene) – Likopena juga merupakan salah satu kumpulan pigmen merah yang dipanggil karatenoid. Likopena berperanan memberi warna merah kepada buah-buahan dan sayur-sayuran. Likopena boleh dijumpai dalam tomato, tembikai, aprikot dan jambu batu.
  6. Lutein dan zeaxantin – juga merupakan dua jenis karotenoid. Boleh dijumpai dalam sayur-sayuran dan buah-buahan. Lutein dan zeaxantin banyak dalam sayuran berdaun seperti bayam, kubis dan kailan. Manakala, dalam buah-buahan, dua antioksida ini boleh dijumpai dalam buah seperti kiwi, anggur, buah tembikai susu, dan oren.

Kegunaan Antioksidan

Kekurangan antioksidan boleh membawa kepada tekanan oksidatif atau pengoksidaan. Tekanan pengoksidaan ini memainkan peranan dalam beberapa jenis penyakit seperti kanser, penyakit kardiovaskular (seperti penyakit jantung dan strok), diabetes, penyakit Alzheimer, penyakit Parkinson dan peyakit mata (seperti katarak dan deginerasi makular berkaitan usia).

Write A Comment