Buah jambu batu (Psidium guajava) berasal dari Amerika Tengah.

Buahnya berbentuk bujur hingga bulat yang mempunyai isi berwarna merah jambu atau putih. Daunnya pula boleh dijadikan teh herba dan ekstraknya dijadikan makanan tambahan. Daun jambu ini juga boleh digunakan untuk mengurangkan hanyir ikan.

Khasiat buah jambu merangkumi pelbagai aspek, daripada penyakit kronik hinggalah kepada kebaikan untuk kulit. Nutrien-nutrien yang terdapat dalam buah jambu batu ini memberi banyak manfaat kepada kesihatan.

Berikut adalah 8 khasiat buah dan daun jambu batu:

1) Bermanfaat Kepada Penghidap Kencing Manis

Beberapa kajian mendapati jambu batu boleh mengawal gula darah.

Kajian terhadap haiwan dan tabung uji mendapati ekstrak daun jambu batu boleh menambah baik paras gula darah, kawalan gula darah jangka panjang dan rintangan insulin (1,2,3).

Kajian terhadap manusia juga menunjukkan hasil yang memberangsangkan.

Satu kajian terhadap 19 orang individu, meminum teh daun jambu batu boleh merendahkan paras gula darah selepas makan. Kesan ini bertahan selama 2 jam (3).

Satu kajian lain terhadap 20 penghidap kencing manis (diabetes jenis 2) mendapati meminum teh daun jambu batu mengurangkan paras gula darah lebih 10% selepas makan (3).

khasiat buah jambu batu

2) Mengurangkan Senggugut

Daun jambu batu telah digunakan secara tradisional oleh masyarakat di India untuk kesihatan wanita sejak dahulu lagi.

Dalam satu kajian terhadap 197 orang wanita yang mengalami masalah senggugut mendapati pengambilan ekstrak daun jambu batu sebanyak 6 mg sehari mengurangkan kesakitan. Malahan lebih berkesan berbanding ubat biasa (4).

3) Mencegah Sembelit & Mengurangkan Cirit-birit

Buah jambu batu merupakan sumber terbaik untuk mendapatkan serat diet.

Sebekas buah jambu batu seberat 165 gram boleh membekalkan 30% RNI (recommended nutrient intake) bagi serat diet untuk rakyat Malaysia.

Oleh itu, pemakanan buah jambu batu mempromosikan pergerakan usus yang sihat dan mencegah sembelit.

Tambahan lagi, ekstrak daun jambu batu ini juga boleh mengurangkan keamatan dan tempoh cirit-birit (5 ,6 ,7 ).

4) Meningkatkan Imuniti

Kekurangan vitamin C banyak dikaitkan dengan peningkatan risiko jangkitan dan penyakit.

Menariknya, buah jambu batu juga kaya dengan vitamin C. Bagi 100 gram buah jambu batu terdapat 228 mg iaitu lebih tiga kali ganda RNI (70 mg) untuk vitamin C.

Vitamin C juga mempunyai peranan penting untuk mengekalkan kesihatan sistem imunisasi (8).

Walaupun vitamin C dilihat tidak boleh mencegah demam selesema, namun vitamin C boleh mengurangkan tempoh demam selesema (9).

5) Mempunyai Ciri-ciri Antikanser

Buah jambu juga kaya dengan antioksidan seperti likopina.

Dalam satu kajian mendapati, pengambilan likopina yang tinggi boleh mengurangkan risiko kanser prostat (10).

Ujian tabung uji juga menunjukkan, likopina menghalang perkembangan sel dan memudahkan kematian sel kanser payudara. Likopina juga menunjukkan tidak balas yang sama terhadap sel kanser kolorektal (11, 12).

6) Bagus untuk Kulit

Buah jambu batu ini juga mempunyai ciri-ciri anti penuaan. Kandungan vitamin C, vitamin A dan antioksida yang lain seperti likopina boleh melindungi kulit daripada kedutan dan garis penuaan (13).

Vitamin C yang tinggi dalam buah jambu batu ini juga berguna dalam pembentukan kolagen untuk kulit (14).

Kesimpulan

Banyak khasiat buah jambu batu serta daunnya yang boleh dimanfaatkan oleh kita.

Selain itu, buah ini juga mudah didapati digerai-gerai di bahu jalan ataupun kawasan rehat dan rawat (R&R) dan boleh dinikmati secara segar.

Buah ini rendah kalori, kaya dengan serat diet dan pilihan baik untuk diet yang sihat. Selain buahnya, daun jambu batu ini juga kaya dengan sifat terapeutiknya.

Write A Comment