Sayur kubis ialah sayur berdaun dari keluarga Brassica termasuklah sayuran seperti brokoli dan kubis bunga. Pernahkah kita tertanya-tanya apakah khasiat sayur kubis untuk diri kita? Mungkin ramai yang tidak sedar bahawa sayur kubis mempunyai banyak keistimewaan dan khasiat untuk tubuh badan kita.

Sayur kubis boleh didapati dalam beberapa bentuk dan warna. Terdapat kubis berwarna merah, ungu, hijau dan putih. Manakala, daun sayuran ini boleh berkedut ataupun licin.

Sayur kubis merupakan antara bahan utama untuk menghasilkan kimchi, coleslaw dan juga rojak sayur.

Artikel ini menyingkap khasiat sayur kubis yang mungkin tidak diketahui oleh ramai daripada kita.

1) Kaya dengan Nutrien

Bagi 100g kubis mentah, terdapat nutrien seperti berikut:

NutrienUnitNilai bagi 100g
Proksimat
Airg92.18
Tenagakcal25
Proteing1.28
Jumlah Lipid (lemak)g0.1
Karbohidratg5.8
Seratg2.5
Gula, Jumlahg3.2
Mineral
Kalsium, Camg40
Besi, Femg0.47
Magnesium, Mgmg12
Fosforus, Pmg26
Kalium, Kmg170
Natrium, Namg18
Zink, Znmg0.18
Vitamin
Vitamin C, jumlah asid askorbikmg36.6
Thiaminmg0.061
Riboflavinmg0.04
Niacinmg0.234
Vitamin B-6mg0.124
Folat, DFEµg43
Vitamin B-12µg0
Vitamin A, RAEµg5
Vitamin A, IUIU98
Vitamin E (alfa-tokoferol)mg0.15
Vitamin D (D2 + D3)µg0
Vitamin DIU0
Vitamin K (filokuinon)µg76
Lipid
Asid Lemak, jumlah tepug0.034
Asid Lemak, jumlah mono tak tepug0.017
Asid Lemak, jumlah poli tak tepug0.017
Asid Lemak, jumlah transg0
Kolesterolmg0
khasiat sayur kubis

2) Antikanser

Sayuran daripada keluarga Brassica seperti sayur kubis mempunyai ciri-ciri antikanser. Hal ini dipercayai kerana kandungan glukosinolat yang tinggi.

Berdasarkan 7 kajian kohort dan 87 kajian kes, dapat disimpulkan bahawa pengambilan sayuran dari keluarga Brassica dapat mengurangkan risiko kanser (1).

3) Baik untuk Kulit

Kubis kaya dengan antioksida seperti vitamin C dan antiosianin. Antioksida memainkan peranan penting untuk kesihatan kulit dan badan.

Vitamin C mengalakkan penghasilan kolagen. Vitamin C juga dapat meneutralkan atau membuang pengoksidaan yang berpunca daripada pencemaran sekeliling dan sinaran UV (2).

4) Mempunyai Ciri-ciri Antioksida

Antioksida berperanan untuk meneutralkan radikal bebas daripada terus merosakkan sel dalam badan kita. Radikal bebas boleh membawa ancaman pelbagai penyakit termasuklah kanser dan penyakit kardiovaskular.

Dalam satu kajian di University of Parma, Itali, ekstrak daripada sayuran segar dari keluarga kubis menunjukkan aktiviti antioksida dan antiproliferatif serta tiada aktiviti genotoksik yang dikenalpasti dalam sampel yang diuji (3).

Selain itu, kubis ungu juga menunjukkan kandungan sebatian fenolik, kandungan antosianin dan aktiviti antioksida yang tinggi (4).

Antosianin ialah pigmen larut air berwarna merah, biru dan ungu dalam buah-buahan dan sayur-sayuran. Kajian-kajian mendapati antosianin berpotensi dalam mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular, kanser, kolesterol tinggi dan penyakit kronik yang lain (5).

5) Boleh Merendahkan Kadar Kolesterol

Tidak semua kolesterol dalam badan adalah tidak baik untuk kita. Kolesterol juga diperlukan oleh badan untuk berfungsi dengan baik.

Secara umumnya, terdapat dua jenis kolesterol yang dikenali sebagai kolesterol-LDL atau kolesterol “jahat” dan kolesterol-HDL atau kolesterol “baik”.

Walau bagaimanapun, kandungan kolesterol yang terlalu tinggi terutamanya kolesterol-LDL boleh membawa kepada risiko penyakit jantung (6).

Kandungan serat dalam sayur kubis boleh membantu merendahkan kadar kolesterol-LDL dengan mengikat kolesterol dalam perut dan mengelakkan kolesterol ini daripada diserap ke dalam darah.

Dalam satu kajian, pengambilan serat larut sebanyak 2-10g sehari dikaitkan dengan penurunan jumlah kolesterol dan kolesterol-LDL (7).

6) Baik untuk Merendahkan Tekanan Darah

Tekanan darah tinggi merupakan ancaman kepada kesihatan manusia di seluruh dunia. Selain peranannya memastikan sel berfungsi dengan baik, kalium (potassium) juga mampu merendahkan tekanan darah.

Dalam satu kajian, pengambilan kalium yang tinggi dilihat dapat menurunkan kadar tekanan darah dalam kalangan mereka yang menghidap penyakit darah tinggi atau hipertensi. Selain itu, pengambilan kalium yang tinggi ini mengurangkan risiko terkena strok sebanyak 24% (8).

Kubis mempunyai kandungan kalium yang tinggi iaitu 170mg bagi setiap 100g sayur kubis iaitu 3.6% RNI (recommended nutrient intakes) bagi lelaki dan wanita dewasa di Malaysia.

7) Menguatkan Tulang

Sayur kubis juga merupakan sumber kepada vitamin K. Bagi 100g kubis mentah, vitamin K yang dibekalkan melebihi 100% RNI bagi lelaki dan wanita dewasa di Malaysia.

Selain fungsinya dalam pembekuan darah, vitamin K juga boleh meningkatkan ketumpatan mineral dalam pesakit osteoporosis dan juga mengurangkan kadar keretakan (9).

Selain itu, vitamin K juga membantu dalam penghasilan tulang (10).

8) Mudah untuk Dimasak & Dimakan

Sayur kubis juga enak dimakan mentah atau dimasak.

Jika secara mentah, sayur kubis boleh dibuat salad seperti coleslaw. Jika dimasak, sayur kubis boleh dibuat sup, digoreng, direbus, dicelur dan banyak lagi.

Sayur ini boleh dikatakan sayur yang “versatile” dan harganya juga tidaklah mahal.

Kesimpulan

Sayur kubis merupakan makanan yang sihat dan berkhasiat.

Kaya dengan nutrien yang diperlukan oleh badan untuk mengelakkan daripada penyakit kronik dan juga baik untuk kulit.

Oleh kerana khasiat sayur kubis yang banyak, sayur ini seharusnya menjadi menu harian dalam makanan harian kita.

1 Comment

Write A Comment

error: Content is protected !!