Kajian-kajian sains telah berjaya membuktikan khasiat teh hijau untuk kesihatan kita. Teh hijau juga sinonim dengan mereka yang berdiet untuk kurus. Teh hijau (Camellia sinensis) berasal dari negara China dan India dan telah digunakan sejak beribu tahun dahulu. Teh hijau dihasilkan daripada daun teh yang matang dan tanpa fermentasi.

Teh hijau telah digunakan dalam perubatan tradisional China dan India sebagai ubat untuk mengawal pendarahan, menyembuhkan luka, membantu penghadaman, mengingkatkan kesihatan hati dan minda dan juga mengawal suhu badan.

Teh ini kaya dengan antioksidan dan nutrien yang sangat berguna untuk badan kita.

Berikut merupakan 7 khasiat teh hijau yang disokong oleh kajian sains

1. Teh Hijau Meningkatkan Fokus, Ingatan dan Fungsi Otak

Dalam satu ulasan terhadap beberapa kajian mengenai khasiat teh hijau kepada fungsi kognisi dan fungsi otak, mendapati bahan utama dalam teh hijau yang dikenali sebagai EGCG (epigallocatechin gallate) dan L-theanine dapat meningkatkan kedua-dua fungsi ini (1).

Pengambilan teh hijau (minima 100ml) setiap hari juga mempunyai kebaikan jangka panjang seperti menenangkan minda dan mengurangkan risiko penyakit demensia (gangguan mental).

2. Merawat dan Mencegah Penyakit Berjangkit

Penyakit berjangkit adalah penyebab utama kepada kematian dan morbiditi di seluruh dunia. HIV/AIDS dan malaria adalah antara sepuluh teratas penyakit berjangkit di dunia.

Komponen utama yang paling berkaitan dengan perubatan dalam teh hijau ialah catechins. Catechins ialah salah satu daripada sebatian flavonoid dalam teh hijau.

Kajian mendapati catechins ini mempunyai ciri-ciri antimikrob seperti E.coli dan ciri-ciri antivirus seperti HCV, HIV, influenza dan rotavirus (2).

Catechins ini juga dapat boleh mengurangkan bilangan dan pertumbuhan parasit. Antaranya ialah Plasmodium falciparum, Babesia spp., Trypanosoma brucei, Trypanosoma cruzi, dan Leishmania braziliensis (3,4).

Beberapa kajian juga mendapati teh hijau juga boleh mencegah demam dan influenza A atau B (5,6).

khasiat teh hijau

3. Teh Hijau Meningkatkan Pembakaran Lemak dan Kadar Metabolisma

Jika diperhatikan, kebanyakan pembakar lemak tambahan (fat burning supplement) mengandungi ekstrak teh hijau didalamnya.

Hal ini kerana, berdasarkan kajian teh hijau didapati boleh meningkatkan pembakaran lemak dan kadar metabolisma badan (7).

Kajian lain mendapati pengambilan ekstrak teh hijau dapat meningkatkan pengoksidaan lemak sebanyak 17% yang menunjukkan teh hijau boleh membantu dalam meningkatkan pembakaran lemak (8).

Kajian-kajian ini menjawab kepada perkaitan teh hijau dengan pengurangan berat badan.

4. Teh Hijau Mempunyai Ciri-Ciri Antikanser

Dalam satu kajian semula terhadap ciri-ciri antikanser teh hijau terhadap penghidap kanser payudara mendapati teh hijau boleh mencegah dan merawat kanser payudara. Teh ini dilihat dapat mencegah percambahan sel kanser payudara dan menghalang karsinogenesis (proses pembentukan dan perkembangan kanser) (9).

Satu kajian yang dijalankan terhadap lelaki Jepun mendapati pengambilan teh hijau dapat mengurangkan risiko terhadap kanser prostat tahap 4 (10).

5. Mengurangkan Risiko Penyakit Kardiovaskular

Menurut satu kajian yang dijalankan oleh Japan Public Health Center, pengambilan teh hijau dan kopi setiap hari dapat mengurangkan risiko terkena strok atau penyakit kardiovaskular (11).

6. Bagus untuk Kesihatan Tulang

Osteoporosis menjadi satu masalah kesihatan kepada lelaki dan wanita berumur.

Berdasarkan kajian, terdapat beberapa mekanisma teh hijau dalam melindungi pereputan tulang. Antaranya ialah mengurangkan kehilangan tulang melalui (12,13):

  • Tindakan anti-tekanan pengoksidaan.
  • Mengurangkan kehilangan tulang dengan tindakan antiradang.
  • Meningkatkan indeks pembentukan tulang.
  • Mengurangkan indeks penyerapan tulang

7. Baik untuk Penghidap Kencing Manis dan Tekanan Darah Tinggi

Satu kajian yang dijalankan terhadap 100 orang pesakit yang menghidap tekanan darah tinggi dan kencing manis mendapati, teh hijau dapat mengurangkan tekanan darah sistolik dan diastolik (14).

Kajian selama 2 bulan terhadap 63 pesakit diabetes jenis 2 mendapati, pengambilan teh hijau sebanyak 4 cawan sehari dapat mengurangkan berat badan, BMI, ukur lilit pinggang dan tekanan darah sistolik (15).

Kesimpulan

Teh hijau mempunyai khasiat yang banyak untuk kesihatan kita dan sesuai menjadi minuman harian kita. Kajian-kajian sains perubatan membuktikan kebaikannya kepada kita.

Harus diingat juga, pengambilan teh ini adalah terbaik tanpa tambahan gula pasir. Bagi mengurangkan kesan rasa kelat dalam air teh ini, penggunaan pengganti gula semulajadi boleh digunakan.

Write A Comment