Khasiat labu kuning merangkumi sistem dalaman badan dan juga luaran. Labu kuning juga kaya dengan vitamin dan mineral penting disamping kandungan kalorinya yang rendah.

Labu kuning berasal dari Amerika Utara dan tergolong dalam keluarga Cucurbitaceae. Sesetengah berpandangan labu ialah sayuran. Namun, secara saintifiknya, labu ialah buah kerana mempunyai biji benih.

Labu kuning juga banyak digunakan dalam masakan. Contohnya seperti digunakan dibuat cucur labu, labu masak lemak, kek labu dan lain-lain lagi.

khasiat labu kuning

Berikut adalah 8 khasiat labu kuning yang menakjubkan:

1. Tinggi dengan Vitamin A dan Nutrisi

Profil nutrien labu kuning agak menarik. Dalam 100 gram buah ini, terdapat :

  • Tenaga: 26 kcal
  • Protein: 1 gram
  • Karbohidrat: 6.5 gram
  • Serat: 0.5 gram
  • Kalsium: 21 miligram
  • Magnesium: 12 miligram
  • Fosforus: 44 miligram
  • Kalium: 340 miligram
  • Tembaga: 0.127 miligram
  • Mangan: 0.125 miligram
  • Vitamin C: 9 miligram
  • Folat: 16 mikrogram
  • Vitamin A: 426 mikrogram

Selain itu, labu juga mempunyai sejumlah kecil vitamin-vitamin B , selenium, zat besi dan juga zink.

Selain itu, buah labu kuning juga tinggi dengan kandungan air iaitu kira-kira 92% atau 92 mililiter bagi 100 gram buah ini.

2. Kaya dengan Antioksidan

Radikal bebas berlebihan dalam badan boleh mengakibatkan tekanan pengoksidaan yang seterusnya membawa kepada penyakit kronik atau berbahaya seperti kanser dan penyakit jantung (1).

Buah labu kuning ini tinggi dengan karotenoid iaitu antioksidan seperti alfa-karotena, beta-karotena, lutein dan zeaxantin.

3. Baik untuk Mata

Seperti lobak merah, buah labu kuning juga baik untuk kesihatan mata.

Kandungan lutein dan zeaxantin yang tinggi dalam buah labu ini sangat bermanfaat kepada mata.

Kajian mendapati, lutein dan zeaxantin boleh mengurangkan risiko penyakit makular berkaitan usia dan katarak (2, 3, 4).

Selain itu, vitamin A dalam buah labu ini juga berguna untuk mencegah rabun malam atau buta (5, 6).

4. Mengurangkan Risiko Terkena Kanser

Buah labu juga kaya dengan sebatian karotenoid yang bertindak sebagai antioksidan. Antioksidan ini akan bertindak sebagai peneutral radikal bebas, seterusnya mengurangkan risiko terjadinya kanser.

Dalam analisis terhadap 13 kajian yang dijalankan mendapati pengambilan alfa-karotena dan beta-karotena yang tinggi dapat mengurangkan risiko kanser gastrik (kanser perut) (7).

Di samping itu, terdapat juga analisis dan kajian lain yang mengaitkan peranan karotenoid dalam mengurangkan risiko kanser payudara, pankreas, dan tekak (8, 9, 10).

5. Bermanfaat untuk Kesihatan Jantung

Kandungan kalium, vitamin C dan serat diet dalam buah labu kuning ini berkhasiat untuk kesihatan jantung.

Sebagai contoh, satu analisis mendapati pengambilan kalium (potassium) yang tinggi iaitu kira-kira 3500 miligram sehari boleh menurunkan risiko strok (11).

Kajian oleh pengkaji di Harvard School of Public Health terhadap 43 757 lelaki dewasa mendapati, mereka yang mengambil serat diet yang tinggi dalam diet harian 40% kurang berisiko terkena penyakit jantung koronari (12).

6. Meningkatkan Sistem Imunisasi

Labu kuning juga tinggi dengan beta-karotena. Beta-karotena ditukar oleh badan untuk menghasilkan vitamin A.

Kajian menunjukkan vitamin A boleh menguatkan sistem imun dan melawan jangkitan. Sebaliknya, mereka yang kekurangan vitamin A mempunyai sistem imun yang rendah (13, 14).

Labu kuning juga mengandungi vitamin C, yang boleh membantu meningkatkan penghasilan sel darah putih. Sel darah putih membantu sel imun bekerja dengan efektif dan mempercepatkan penyembuhan luka (15, 16) .

7. Makanan untuk Kurus

Selain sarat dengan nutriennya, buah labu kuning juga boleh dikategorikan sebagai makanan yang mesra dengan mereka yang berdiet untuk kurus.

Dalam 100 gram buah labu ini hanya terdapat 26 kalori dan sangat tinggi dengan kandungan air iaitu 92%. Kandungan karbohidrat buah ini juga rendah iaitu hanya 6.5 gram.

Kandungan air yang tinggi dan juga serat boleh membuatkan kita kenyang lebih lama dan seterusnya mengurangkan pengambilan makanan.

Kesimpulan

Khasiat labu kuning tidak dapat dinafikan lagi. Kajian-kajian telah menunjukkan manfaat labu kuning kepada kesihatan kita seperti kesihatan jantung, antikanser, kesihatan mata, dan juga sistem imun.

Secara umumnya, labu kuning selamat untuk dimakan untuk semua orang. Walau bagaimanapun, terdapat juga sesetengah individu yang alah terhadap labu ini.

Untuk mendapatkan manfaat sebenar buah labu kuning ini, masakan atau menu yang menggunakan labu ini haruslah rendah dengan kandungan gula.

Write A Comment