Buah epal (Malus domestica) adalah antara buah yang paling popular di dunia. Banyak khasiat buah epal yang telah berjaya dibuktikan dengan kajian-kajian sains dan perubatan.

Pepatah inggeris yang popular “An apple a day keeps the doctor away” juga mencerminkan manfaat kesihatan yang boleh kita perolehi dari buah epal.

Pelbagai kajian telah dijalankan untuk mengetahui manfaat buah epal, fitokimia buah epal, jus epal, ekstrak epal dan juga kulitnya. Kajian-kajian mendapati khasiat buah epal termasuklah mengurangkan risiko kanser, penyakit jantung, kencing manis, asma, penyakit Alzheimer dan banyak lagi.

Berikut adalah antara 7 khasiat buah epal berdasarkan kajian-kajian.

1. Kaya dengan Nutrien Penting

Sebiji buah epal saiz sederhana (3 inci diameter) dengan berat 182 gram mengandungi:

  • Tenaga: 94.6 kcal
  • Protein: 0.47 gram
  • Lemak: 0.31 gram
  • Karbohidrat: 25.1 gram
  • Serat: 4.4 gram
  • Gula: 18.9 gram
  • Kalsium: 10.9 miligram
  • Zat besi: 0.22 miligram
  • Magnesium: 9.1 miligram
  • Fosforus: 20 miligram
  • Kalium: 195 miligram
  • Vitamin C: 8.4 miligram
  • Folat: 5.5 mikrogram
  • Vitamin A: 5.5 mikrogram

Selain itu, buah epal juga mengandungi nutrien lain seperti tembaga, zink, vitamin B, vitamin K dan juga sedikit asid lemak.

Buah epal juga kaya dengan polifenol, sebatian yang biasa dijumpai dalam buah-buahan, sayur-sayuran, herba, rempah, teh dan juga coklat gelap. Sebatian ini boleh bertindak sebagai antioksidan.

Untuk mendapatkan manfaat khasiat buah epal ini secara keseluruhannya, jangan kupas kulit buah ini kerana kulitnya mengandungi separuh daripada serat dan banyak polifenol.

khasiat buah epal

2. Baik untuk Kesihatan Otak

Buah epal kaya dengan salah satu antioksidan yang dikenali sebagai kuersetin.

Berdasarkan satu kajian yang dijalankan di Kanada, kuersetin merupakan salah satu sebatian yang boleh membantu mengurangkan kematian sel yang disebabkan oleh pengoksidaan dan radang neuron (1).

Kajian lain mendapati jus epal boleh membantu memelihara asetilkolina, pengutus neuro (pengantar impuls dari sel saraf ke otot,kelenjar atau sel saraf lain) yang boleh berkurang dengan peningkatan usia. Kadar asetilkolina yang rendah dikaitkan dengan penyakit Alzheimer (2).

3. Baik untuk Kesihatan Tulang

Para pengkaji percaya bahawa sebatian antioksidan dan antiradang dalam buah-buahan boleh membantu meningkatkan ketumpatan dan kekuatan tulang.

Kajian menunjukkan buah epal berkemungkinan mempunyai kesan positif terhadap kesihatan tulang (3).

Dalam satu kajian terhadap 15 orang wanita yang dibekalkan dengan hidangan epal segar, sos epal yang diproses, dan tanda produk epal. Mereka yang mengambil buah atau produk berasaskan epal dilihat kurang kehilangan kalsium dari badan mereka berbanding kumpulan kawalan (4).

4. Mengurangkan Risiko Kencing Manis

Kencing manis atau diabetes jenis 2 ialah penyakit yang semakin meningkat di seluruh dunia.

Dalam satu kajian, pengambilan epal sebiji atau lebih sehari mengurangkan risiko diabetes jenis 2 sebanyak 28% berbanding dengan mereka yang tidak mengambil buah epal (5).

5. Boleh Mencegah Kanser

Dianggarkan satu pertiga daripada kematian akibat kanser boleh dicegah dengan memperbaiki diet terutamanya meningkatkan pengambilan buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin penuh.

Satu kajian kes yang dijalankan di Itali terhadap 6000 individu mendapati diet dengan buah epal sebiji atau lebih sehari dapat mengurangkan risiko pelbagai kanser berbanding mereka yang kurang mengambil buah epal (6).

Selain itu, kajian makmal mendapati buah epal atau produk epal boleh mencegah kanser (7).

Kajian makmal terhadap haiwan mendapati jus epal keruh itu sendiri mempunyai kesan pencegahan kanser kolon lebih tinggi berbanding ekstrak polifenol epal atau komponen-komponen individu jus epal tersebut (8).

6. Bermanfaat untuk Melawan Asma

Penyakit asma menunjukkan peningkatan di seluruh dunia beberapa dekad ini. Ada yang berpendapat masalah ini meningkat disebabkan persekitaran dan gaya hidup seperti pengurangan mengambil makanan mengandungi antioksidan (9).

Satu kajian awal yang dijalankan di Australia mendapati buah epal juga boleh melindungi daripada asma (10).

Kajian terhadap 10 054 lelaki dan wanita warga Finland mendapati, kejadian asma adalah rendah dalam kalangan mereka yang tinggi pengambilan kuersetin (flavonoid dalam buah epal) (11).

7. Baik untuk Kesihatan Jantung

Buah epal dikaitkan dengan pengurangan risiko penyakit jantung (12).

Satu kajian terhadap sekumpulan wanita warga Finland yang mengambil 71 gram atau lebih buah epal sehari mengalami pengurangan sebanyak 43% kematian akibat serangan jantung berbanding mereka yang tidak makan buah epal. Manakala bagi kaum lelaki, terdapat pengurangan sebanyak 19% berbanding kumpulan yang tidak makan buah epal (13).

Dapatan ini konsisten dengan kajian yang dijalankan di Belanda. Warga tua Belanda yang makan buah epal (purata 69 gram sehari) menunjukkan pengurangan kematian akibat serangan jantung berbanding mereka yang tidak makan buah epal (14).

Adakah Nutrisi Epal Merah Berbeza Dengan Epal Hijau?

Jawapannya ialah Ya. Tetapi perbezaannya adalah sedikit.

Secara keseluruhannya buah epal kaya dengan antioksidan, vitamin dan mineral yang sangat bermanfaat untuk badan.

Bagi mereka ynag menitikberatkan kandungan karbohidrat dan gula, buah epal hijau adalah pilihan utama berbanding buah epal merah. Buah epal hijau mempunyai lebih serat dan kurang gula dan karbohidrat.

Manakala, buah epal merah pula tinggi dengan kandungan antioksidan (antosianin) pada kulitnya yang berwarna merah.

Perbezaan kandungan nutrisi antara dua jenis buah epal ini adalah sedikit. Maka secara kesimpulannya, dua-dua jenis buah epal ini baik untuk kesihatan.

Write A Comment