Khasiat buah aprikot merangkumi kesihatan mata hinggalah kesihatan kulit. Berbentuk bulat dan berwarna kuning kejinggaan, buah aprikot kelihatan seperti buah pic kecil namun rasanya lebih seperti plum ungu.

Prunus armeniaca ialah nama saintifik bagi buah aprikot. Buah aprikot turut dikenali sebagai plum Armenian. Buah ini boleh ditanam di kawasan beriklim sejuk dan panas.

Buah aprikot yang segar mengandungi banyak vitamin, polifenol, flavonoid, karotenoid dan asid lemak. Biji buah ini pula ialah sumber kepada protein bersama-sama dengan jumlah minyak dan serat yang signifikan.

Berikut adalah 7 khasiat buah aprikot berdasarkan bukti sains:

1. Kaya dengan Nutrisi dan Rendah Kalori

Buah aprikot kaya dengan nutrien, vitamin dan mineral.

Dalam sebiji buah aprikot (35g) terdapat (1):

  • Kalori: 16.8 kcal
  • Karbohidrat: 3.9 gram
  • Protein: 0.5 gram
  • Lemak: 0.1 gram
  • Serat: 0.7 gram
  • Vitamin C: 3.5 miligram
  • Vitamin A: 33.6 mikrogram
  • Vitamin K: 1.2 miligram
  • Vitamin E: 0.3 miligram
  • Folat: 3.2 miligram
  • Kalium: 90.6 miligram
  • Fosforus: 8 miligram
  • Kalsium: 4.6 miligram

Selain itu, buah ini juga merupakan sumber kepada antioksidan seperti beta-karotin, lutein dan zeaxantin. Beta-karotin mewakili 50% daripada jumlah karotenoid dalam buah ini.

2. Buah Aprikot Baik untuk Kesihatan Mata

Kandungan vitamin A dan E dalam buah ini penting untuk kesihatan mata.

Vitamin A dapat melindungi mata kita daripada rabun malam, gangguan yang disebabkan kekurangan pigmen cahaya dalam mata. Manakala vitamin E pula merupakan antioksidan yang melindungi mata daripada radikal bebas (2,3).

Lutein dan zeaxantin pula bertindak sebagai pelindung mata daripada cahaya ultraviolet dari cahaya matahari. Tambahan lagi, lutein dan zeaxantin dapat melindungi mata daripada degenerasi berkaitan usia (4).

khasiat buah aprikot

3. Baik untuk Kesihatan Kulit

Kerosakan kulit dan kedutan kebiasaannya disebabkan oleh faktor persekitaran seperti sinaran matahari, pencemaran udara dan asap rokok.

Vitamin C dan E dalam buah aprikot ini boleh membantu kulit kita. Sebagai contoh, vitamin C bertindak sebagai pelindung kulit daripada sinaran UV dan pencemaran persekitaran dengan meneutralkan radikal bebas (5).

Selain itu, vitamin C juga membantu membina kolagen, protein yang memberi keanjalan dan kekuatan kulit. Diet yang tinggi dengan vitamin C dapat merawat kulit dari kerosakan akibat sinaran UV dan kedutan (6).

4. Buah Aprikot juga Tinggi dengan Kalium (Potassium)

Buah aprikot juga kaya dengan mineral kalium (potassium). Mineral ini bertindak sebagai elektrolit dalam badan. Kalium bertanggungjawab untuk menghantar isyarat saraf, mengawal kontraksi otot dan keseimbangan bendalir dalam badan (7,8).

Peningkatan pengambilan kadar kalium mengikut kadar yang disarankan boleh merendahkan tekanan darah sistolik dan diastolik. Selain itu, meningkatkan pengambilan kalium boleh mengurangkan risiko mendapat serangan strok (9).

Sebiji buah aprikot (35 g) membekalkan 90.6 mg mineral ini iaitu 2% daripada RNI (recommended nutrient intake) untuk Malaysia.

5. Boleh Menguatkan Tulang

Buah aprikot mengandungi mineral-mineral yang diperlukan untuk pembentukan tulang seperti kalsium (4.6 mg),protein (0.5 g), fosforus (8 mg) dan magnesium (3.5 mg).

Selain itu, zink (0.07 mg),tembaga (0.03 mg), vitamin K (90.6 mg) dan vitamin C (3.5 mg) juga penting untuk membina ketumpatan tulang, mencegah keretakan dan pereputan tulang serta meningkatkan pembentukan tulang (10).

Oleh itu, pengambilan buah aprikot dalam diet boleh menguatkan tulang dan mengelakkan penyakit berkaitan tulang seperti osteoporosis.

6. Baik untuk Kesihatan Usus

Buah ini juga tinggi dengan kandungan serat diet.

Dalam secawan buah aprikot yang dipotong (165 g), terdapat 3.3 gram serat diet iaitu kira-kira 16.5% daripada RNI.

Serat juga melambatkan pergerakan makanan dalam saluran pencernaan dan memberi makan kepada bakteria baik dalam usus kita. Mikrobiotik yang lebih sihat dikaitkan dengan merendahkan risiko obesiti (11).

7. Buah Aprikot Sangat Menghidratkan

Buah aprikot segar tinggi dengan kandungan air.

Dalam satu cawan aprikot yang dipotong (165 g), terdapat kira-kira 142 ml air.

Buah segar seperti ini boleh membantu menghidratkan badan kita sekiranya kita tidak minum air secukupnya.

Sekiranya badan kita ternyahhidrat, isipadu darah akan menurun, memaksa jantung bekerja dengan lebih kuat untuk mengepam darah. Kekal terhidrat membolehkan darah untuk mengitar bahan kumuh dan nutrien diseluruh badan kita (12).

Kesimpulan

Buah aprikot sarat dengan khasiat dan kebaikannya untuk kesihatan kita.

Selain tinggi dengan khasiatnya, buah ini juga mudah untuk dimakan. Boleh dimakan secara segar atau kering, dijadikan jem, ditambah dalam kek, pai, pastri dan salad.

Write A Comment