Buah kurma ialah makanan terbaik dan sarat dengan khasiat untuk kesihatan kita. Buah kurma mempunyai banyak jenisnya. Buah ini mempunyai beberapa fasa kematangan (masak) yang berbeza-beza. Kurma masak dalam empat peringkat, masing-masing dikenali dengan nama Arabnya di seluruh dunia, iaitu kimri (matang), khalal (saiz-penuh, rangup), rutab (masak, lembut), dan tamr (masak, keringan matahari).

khasiat buah kurma

Beberapa khasiat buah kurma adalah seperti berikut:

1) Sangat Bernutrisi

Buah kurma sangat kaya dengan kandungan mineral seperti fosforus, kalsium, magnesium, zat besi, sodium, potassium, zink, dan manganese.

100g kurma mengandungi (1):

  • Jumlah kalori: 1660kJ
  • Jumlah karbohidrat: 75g
    • Serat: 6.7g
    • Gula: 66.5g
  • Jumlah lemak: 0.2g
  • Protein: 1.8g
  • Vitamin A: 149 IU
  • Vitamin K: 2.7 mcg
  • Thiamin: 0.1mg
  • Riboflavin: 0.1mg
  • Niacin1.6mg
  • Vitamin B6: 0.2mg
  • Folat: 15.0mcg
  • Asid Pantotenik: 0.8mg
  • Kolina: 9.9mg
  • Betaina: 0.4mg
  • Kalsium: 64.0mg
  • Zat Besi: 0.9mg
  • Magnesium: 54.0mg
  • Fosforus: 62.0mg
  • Potasium/Kalium: 696mg
  • Sodium: 1.0mg
  • Zink: 0.4mg
  • Tembaga: 0.4mg
  • Manganese: 0.3mg

2) Melegakan Sembelit

Buah kurma kaya dengan serat. Berdasarkan kajian, buah yang kaya dengan serat penting dalam mengalakkan pergerakan usus dan memastikan laluan yang selesa kepada makanan semasa melalui saluran usus.

Rawatan tradisional Tunisia menggunakan kurma dalam rawatan sembelit.

3) Mencegah Penyakit Jantung

Asid fenolik dikenali oleh ciri-cirinya yang anti-radang yang dapat merendahkan risiko sakit jantung dan kanser. Kajian mendapati buah kurma kaya dengan sebatian fenolik terutamanya pada fasa khalal.

4) Sumber Tenaga Pantas

Kandungan gula semulajadinya yang terdiri daripada glukosa, fruktosa, dan sukrosa menjadikan kurma merupakan salah satu buah yang dapat memberi tenaga segera.

Oleh kerana itu, adalah sunnah untuk berbuka dengan buah tamar atau kurma bagi mereka yang berpuasa.

5) Memudahkan Bersalin

Satu kajian dijalankan oleh Jordan University of Science and Technology terhadap 114 orang wanita mengandung. Mereka dibahagikan kepada dua kumpulan. Satu kumpulan seramai 69 orang mengambil 6 biji kurma sehari selama 4 minggu sebelum tarikh jangkaan bersalin. Manakala, kumpulan kedua seramai 45 orang tidak mengambil buah kurma sebelum tarikh jangkaan bersalin.

Hasil kajian mendapati wanita yang memakan kurma selama 4 minggu sebelum tarikh jangkaan bersalin mempunyai bukaan servik lebih tinggi semasa dimasukkan ke wad. 95% daripada mereka bersalin secara spontan berbanding 75% daripada mereka yang tidak memakan kurma.

Penggunaan ubat atau hormon (prostin/oxytocin) juga lebih rendah bagi wanita yang mengambil kurma (26%) berbanding mereka yang tidak (47%).

6) Mencegah Rabun Malam

Rabun malam dikatakan berpunca daripada kekurangan vitamin A dalam badan kita (2). Vitamin A boleh terbahagi kepada dua iaitu Provitamin A dan Vitamin A siap bentuk. Provitamin A karotenoid terdapat dalam tumbuhan. Buah kurma adalah kaya dengan karotenoid (3).

Maka, mereka yang mengambil banyak kurma dalam diet mereka jarang mengalami masalah rabun malam.

7) Makanan Sunnah

Diriwayatkan dari kedua putera Bisr as-Sulamayyain, keduanya mengatakan, “Rasulullah s.a.w telah bertamu kepada kami, lalu kami menghidangkan kepada baginda sari susu dan buah kurma, dan baginda sangat menyukai keduanya.”

HR Abu Daud dalam sunan Abu Daud, kitab Al-At’imah

Diriwayatkan daripada Siti Aisyah r.a., ia berkata , “Rasulullah s.a.w menyebut buah kurma dan susu dengan sebutan al-Atyaban yang ertinya dua makanan terbaik.”

HR Hakim

Kajian sains juga telah membuktikan khasiat buah kurma kepada kita semua. Peredaran masa dan teknologi serta kerancakan ekonomi telah membuatkan makanan sunnah ini semakin mudah didapati di negara ini. Maka, janganlah kita lepaskan peluang untuk beramal dengannya.

2 Comments

  1. Kurma memang makanan sunnah terbaik yang bagus di amalkan. Semasa Nina mengandung, setiap hari makan kurma. Alhamdulillah BP cantik dan sentiasa bertenaga.

Write A Comment