Mungkin ramai yang masih tidak mengetahui khasiat buah ceri untuk kesihatan kita. Warnanya yang berwarna merah hingga merah gelap amat menarik perhatian. Buah ceri ini berbeza dengan buah ceri kampung yang terdapat di Malaysia.

Buah ceri ini berasal daripada keluarga Rosaceae manakala buah ceri kampung yang digemari oleh kanak-kanak di Malaysia pula dari keluarga Muntingiaceae.

Terdapat dua jenis buah ceri iaitu jenis yang rasanya masam serta tajam (tart cherry) dan jenis rasanya yang manis (sweet cherry). Buah ceri yang manis kebiasaannya di makan segar manakala yang masam dijadikan bahan dalam kek dan masakan atau dibuat jus.

Berikut adalah 6 khasiat buah ceri yang disokong oleh kajian sains:

1. Padat dengan Nutrien

Dalam 100 gram buah ceri jenis manis terdapat nutrien seperti berikut:

  • Tenaga: 63 kcal
  • Protein: 1.06 gram
  • Lemak: 0.2 gram
  • Karbohidrat: 16.01 gram
  • Serat: 2.1 gram
  • Kalsium: 13 miligram
  • Zat Besi: 0.36 miligram
  • Kalium: 222 miligram
  • Vitamin C: 7 miligram
  • Vitamin B6: 0.05 miligram
  • Vitamin K: 2.1 mikrogram

Selain itu, buah ceri juga mempunyai mineral magnesium, fosforus, tembaga dan mangan.

khasiat buah ceri

2. Kaya dengan Antioksidan dan Antiradang

Buah ceri manis kaya dengan sebatian fenolik yang memainkan peranan penting dalam mencegah penyakit kronik (1).

Dalam satu kajian, didapati bahawa kandungan antosianin adalah penyumbang terbesar kepada kapasiti antioksidan dan kesan antiproliferatif (anti percambahan sel kanser) dalam buah ceri manis (2).

Selain itu, daripada 10 kajian terhadap manusia. 8 kajian mendapati buah ceri atau produk ceri boleh mengurangkan tekanan pengoksidaan dan hanya 2 kajian yang tidak menunjukkan apa-apa perubahan (3).

3. Meningkatkan Kualiti Tidur

Makan buah ceri atau minum jus ceri masam boleh membantu meningkatkan kualiti tidur anda.

Hal ini kerana, buah ini mengandungi melatonin iaitu bahan yang membantu mengawal selia kitaran tidur-bangun (4).

Dalam satu kajian terhadap pesakit berumur yang mengalami masalah insomnia (sukar tidur),didapati berlaku peningkatkan masa tidur selama 84 minit dengan pengambilan jus ceri masam sebanyak secawan (240ml) (5).

4. Mempercepatkan Pemulihan Selepas Bersenam

Buah ceri masam (tart cherry) dan jusnya kelihatan lebih berkesan berbanding buah ceri manis walaupun kedua-duanya boleh membantu atlit.

Jus ceri masam didapati boleh mengurangkan kesakitan, mempercepatkan pemulihan kekuatan selepas senaman dan menurunkan tanda keradangan atau tekanan pengoksidaan (6).

Kajian lain terhadap atlit maraton mendapati jus ceri boleh membantu pemulihan terhadap senaman yang berat dengan meningkatkan kapasiti antioksida, mengurangkan keradangan, mengurangkan pengoksidaan lipid dan membantu pemulihan fungsi otot (7).

5. Menambah baik Simptom Artritis dan Gaut

Buah ceri boleh mengurangkan gejala artritis dan gaut kerana kesan sifat antiradangnya. Gaut ialah sejenis artritis yang menyebabkan pengumpulan asid urik yang membawa kepada bengkak, radang dan kesakitan pada sendi.

Satu kajian terhadap 633 individu yang menghidap gaut menunjukkan penurunan sebanyak 35% risiko serangan gaut selepas mengambil buah ceri dan ekstrak ceri selama dua hari. Malahan, sekiranya pengambilan buah ceri digabung dengan ubat gaut, risiko serangan gaut menurun sebanyak 75% (8).

Kajian lain turut mendapati jus buah ceri masam boleh melegakan gejala osteoartritis lutut (9).

6. Baik untuk Menurunkan Tekanan Darah

Dalam satu kajian terhadap 13 individu, pengambilan sebanyak satu dos (300ml) jus buah ceri boleh menurunkan tekanan darah sistolik dan diastolik secara ketara dalam masa 2 jam (10).

Dalam satu kajian terhadap wanita yag menghidap kencing manis, pengambilan selama 6 minggu dengan 40g sehari pati jus ceri masam menurunkan kedua-dua tekanan darah sistolik dan diastolik secara ketara (11).

Kesimpulan

Buah ceri mempunyai banyak khasiat dan kegunaan dalam pemakanan harian kita.

Buah ceri senang ditambah dalam diet harian kita. Sebagai contoh, buah ini boleh dimakan bersama-sama yogurt, puding chia, smoothie atau dijadikan salad buah.

Write A Comment