Bawang putih menjadi salah satu kemestian dalam kebanyakan masakan tempatan. Dek kerana khasiat dan manfaatnya, bawang putih ini telah digunakan sejak 5,000 tahun dahulu. Bapa Perubatan Barat iaitu Hippocrates telah banyak menggunakan bawang putih untuk merawat pesakitnya.

khasiat bawang putih

Walau bagaimanapun, bawang putih ini lebih enak dimakan setelah dimasak dek kerana aromanya yang sangat menyengat. Rasulullah s.a.w tidak menyukainya kerana aromanya.

Dari Abu Ayyub al-Ansary ia berkata, “Rasullullah s.a.w jika diberi suatu makanan maka baginda makan makanan itu, dan baginda menyisihkan sebahagiannya kepadaku. Dan bahawasanya suatu hari baginda mengirimkan kepadaku makanan yang baginda belum memakannya sama sekali kerana di dalamnya terdapat bawang putih. Lalu aku bertanya kepada baginda, “Apakah bawang putih itu diharamkan?” Baginda menjawab, “Tidak. Akan tetapi Aku membencinya kerana aromanya.” Selanjutnya baginda melanjutkan perkataannya, “Sesungguhnya Aku membenci sesuatu yang memang Aku tidak suka.”

HR Muslim dalam Sahih Muslim, kitab al-Asyribah

1 ) Mencegah Kanser Paru-paru

Kajian di China mendapati pengambilan bawang putih mentah berkemungkinan bertindak sebagai ajen pencegah-kemo bagi kanser paru-paru.

2) Mencegah Kanser dalam Perut

Satu kajian di India mendapati bawang putih mempunyai sifat antikarsinogen. Peranan antikarsinogen dalam bawang ini menonjol dalam pencegahan kanser berkaitan perut dan usus. Ia menjadi salah satu pilihan diet antikarsinogen dalam pencegahan kanser.

3) Anti-obesiti

Minyak bawang putih (BP) juga mempunyai kesan anti-obesiti. Satu kajian makmal yang dijalankan mendapati minyak BP mempunyai kesan yang signifikan terhadap tikus makmal yang obes dengan mengurangkan berat badan dan melindungi hatinya daripada rosak.

4) Menyahtoksik dalam Badan

Kajian oleh Mashhad University of Medical Sciences, Iran selama 4 minggu terhadap 114 pekerja kilang pembuat bateri kereta yang terdedah kepada plumbum. Kajian mendapati terdapat satu penurunan yang signifikan kepekatan plumbum dalam darah iaitu hampir 19% setelah penggunaan bawang putih.

Oleh itu, ia disarankan sebagai rawatan kepada keracunan plumbum pada kadar rendah hingga sederhana.

5) Bertindak sebagai Antibiotik Semulajadi

Sebatian dalam bawang putih iaitu “diallyl sulphide” didapati mempunyai keberkesanan 100 kali lebih baik berbanding dua antibiotik yang popular dalam melawan bakteria Campylobacter jejuni, bakteria yang menyebabkan penyakit usus.

Menurut kajian yang dijalankan oleh Xionan Lu yang diterbitkan dalam Journal of Antimicrobial Chemotherapy.

Sains telah membuktikan bahawa bawang putih mempunyai nilai perubatannya yang tersendiri. Banyak khasiat bawang putih yang boleh digunakan untuk kesihatan tubuh badan kita. Walau bagaimanapun, bawang ini haruslah dimasak terlebih dahulu sebelum dimakan bagi mengelakkan bau mulut yang akan menganggu orang lain. Sekiranya dimakan mentah, seseorang itu disarankan membasuh mulutnya dengan baik bagi mengelakkan baunya.

Write A Comment

error: Content is protected !!