Madu lebah asli sememangnya telah popular dengan khasiat dan kebaikannya sejak dahulu lagi kepada kesihatan manusia. Muktahir ini, madu lebah kelulut pula menjadi satu komoditi penting masyarakat di Malaysia.

Diriwayatkan oleh Saidatina Aishah r.a. ia berkata, ” Rasulullah s.a.w sangat menyukai manisan dan madu.” (HR. Bukhari dalam sahih Bukhari).

khasiat madu lebah

Kelebihan madu lebah asli yang menjadi penawar kepada manusia menyebabkan terdapat madu lebah yang tidak asli dijual di pasaran. Permintaan yang tinggi dan persaingan menyebabkan ada sesetengah pihak yang mencampurkan madu lebah ini dengan campuran lain seperti air dan gula dan menjualnya dengan harga yang lebih murah. Namun bukanlah isu ini yang akan dikongsikan di sini. Hanya madu lebah yang asli selayaknya dikaitkan dengan khasiat-khasiat yang dikongsikan di sini.

Berdasarkan surah an-Nahl ayat 68-69,ertinya:

Dan Tuhanmu mewahyukan kepada lebah, “Buatlah sarang-sarang di bukit-bukit, di pohon-pohon kayu, dan di tempat-tempat yang dibuat manusia , kemudian makanlah dari tiap-tiap (macam) buah-buhan dan tempuhlah jalan Tuhanmu yang telah dimudahkan (bagimu). Dari perut lebah itu keluar minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat ubat yang menyembuhkan bagi manusia.”

Dalam Al-Quran sendiri telah dinyatakan bahawa madu lebah adalah ubat yang menyembuhkan manusia. Maka tidak hairan sekiranya terdapat banyak khasiat daripada madu lebah.

Antara khasiat madu lebah asli mengandungi vitamin B1, B2, B3, B5, B6, C dan karotin serta beberapa mineral dan zat yang lain.

1) Kaya dengan Antioksidan

Madu lebah asli kaya dengan antioksidan yang penting. Contohnya seperti sebatian fenolik (1).

Antioksidan dikaitkan dengan keupayaannya mengurangkan risiko serangan jantung, strok dan beberapa jenis kanser. Ia juga turut membantu menyihatkan mata (2).

2) Menyembuhkan Luka dan Melecur

Berdasarkan kajian, madu menyembuhkan luka melecur lebih cepat berbanding kaedah konvensional dan ia juga menyembuhkan luka selepas pembedahan lebih cepat berbanding antiseptik dan kain kasa.

3) Mengurangkan dan Menyembuhkan Cirit – Birit

Satu kajian yang dijalankan di Nigeria mendapati madu pekat dan madu yang dicairkan sehingga 40% bertindak menghalang bakteria cirit-birit.

Madu juga mengalakkan peningkatan pengambilan kalium dan air yang sangat membantu bagi mereka yang mengalami masalah cirit-birit.

Sifat penyembuhan madu terhadap masalah cirit-birit ini juga ada diriwayatkan dalam sahih Muslim (kitab as-Salaam) dan sahih Bukhari (fii kitab at-Tibb,bab ad-Dawaa’ bil-‘asal)

4) Melegakan Batuk

Satu kajian terhadap kanak-kanak dan remaja berusia 2 hingga 18 tahun mendapati madu dapat mengurangkan batuk pada waktu malam dan mengatasi masalah kesukaran untuk tidur akibat jangkitan pada saluran pernafasan.

The World Health Organization (WHO) juga menyarankan penggunaan madu sebagai penyembuh kepada batuk.

5) Merendahkan Kolestrol “Jahat” dan Meningkatkan Kolestrol “Baik”

Kolestrol “jahat” yang dikenali sebagai lipoprotein kolestrol (kolestrol-LDL) pada kadar yang tinggi boleh menjerumus kepada penyakit jantung.

Satu kajian yang dijalankan mendapati madu menyebabkan penurunan jumlah kolestrol sebanyak 3%. Menurunkan kolestrol- LDL sebanyak 5.8% dan meningkatkan kolestrol “baik” (kolestrol-HDL) sebanyak 3.3%. Kajian ini juga turut merumuskan bahawa madu asli dapat mengurangkan faktor risiko kardiovaskular dan tidak meningkatkan berat badan bagi mereka yang obesiti dan terlebih berat.

Kesimpulan

Madu lebah asli sangat kaya dengan khasiatnya.

Baik untuk manfaat luaran badan hinggalah manfaat dalaman badan. Oleh itu, madu lebah asli baik untuk dijadikan sebagai makanan rutin harian.

Write A Comment