Lada hitam ialah rempah yang banyak digunakan di seluruh dunia. Selain kegunaannya, lada hitam juga penuh dengan khasiat dan kebaikannya. Rempah ini digunakan untuk memasak atau digunakan sebagai penambah perisa makanan. Mempunyai pasaran dan penggunaan yang luas, lada hitam boleh dikatakan sebagai ‘Raja Rempah’.

Kandungan piperina (alkaloid) membuatkan rasa pedas dalam lada hitam. Alkaloid merupakan sebatian semulajadi yang mengan­dungi nitrogen, yang biasanya terdapat di dalam tumbuhan, dan digunakan dalam ubat-ubatan.

khasiat lada hitam

Disebalik butir-butir hitam ini terkandung pelbagai khasiat yang berguna untuk kesihatan manusia.

5 khasiat lada hitam yang disokong oleh kajian sains ialah:

1) Antikanser

Kajian mendapati, piperina mempunyai keupayaan untuk mencegah pertumbuhan sel kanser prostat (1).

Kajian lain turut mendapati piperina ini juga boleh menjadi ejen terapeutik dalam rawatan osteosarcoma (tumor pada tulang) (2).

2) Antioksida

Radikal bebas ialah molekul yang tidak stabil yang boleh merosakkan sel badan kita. Sesetengah radikal bebas terbentuk secara semulajadi dan ada juga yang terbentuk akibat terdedah kepada asap rokok, pencemaran dan sinaran matahari (3).

Satu kajian telah mendapati piperina mempunyai aktiviti antioksida terhadap radikal bebas. Ini menunjukkan piperina boleh menghalang tisu daripada rosak akibat peroksida (4).

3) Antiradang

Satu kajian yang dijalankan oleh Chungnam National University dan Korea International University mendapati piperina mempunyai ciri-ciri antiradang (5).

Selain itu, dalam kajian terhadap tikus makmal, didapati piperina boleh mengurangkan keradangan pada saluran pernafasan akibat asma dan alergik (6,7).

Walau bagaimanapun, sifat antiradang oleh piperina ini masih belum dijalankan secara giat terhadap manusia.

4) Melindungi Hati

Satu kajian dijalankan untuk mengesahkan peranan piperina terhadap hati manusia. Piperina digunakan pada masa lampau sebagai ubat kepada penyakit hati. Kajian mendapati piperina mempunyai sifat pelindung terhadap kerosakan hati (8).

5) Baik untuk Otak

Lada hitam mempunyai sifat farmakologi yang penting kepada sistem saraf pusat. Agen neurotoksik seperti Aluminium Klorida (AlCl3) boleh menyebabkan tekanan oksidatif dan menyebabkan pengumpulan plak amiloid yang membawa kepada penyakit Alzheimer.

Kajian dijalankan terhadap tikus makmal mendapati, lada hitam dapat menambahbaik memori spesimen yang dipengaruhi oleh neurotoksik, AlCl3 secara signifikan (9).

Kesimpulannya

Sains telah membuktikan bahawa lada hitam mempunyai banyak khasiat terhadap kesihatan manusia. Walau bagaimanapun, penyelidikan berterusan terhadap manfaatnya kepada manusia harus diteruskan.

Write A Comment

error: Content is protected !!