Terdapat persoalan-persoalan seperti apakah khasiat kismis untuk kita? Apakah kebaikan kismis untuk mandi? Berapa bijikah perlu makan kismis sehari?

Artikel ini akan menjawab persoalan-persoalan yang mungkin bermain di minda kita.

Kismis ialah buah anggur yang dikeringkan. Dalam kebanyakan negara, kismis dibahagikan kepada tiga jenis iaitu raisin, sultana dan currant.

Raisin: Merujuk kepada kismis yang berwarna gelap yang dihasilkan daripada buah anggur yang bersaiz besar. Lebih besar dari kismis sultana.

Sultana: Merujuk kepada kismis yang berwarna kuning keemasan. Kebiasaannya dihasilkan daripada buah anggur hijau tanpa biji terutamanya dari jenis Thompson.

Currant: Merujuk kepada kismis yang dihasilkan daripada anggur tanpa biji bersaiz kecil yang dipanggil “Black Corinth” dan “Carina“.

Kismis juga adalah makanan sunnah yang disarankan oleh Rasulullah s.a.w.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w diberi hadiah berupa kismis. Ketika baginda meletakkan di hadapannya, kepada para sahabatnya baginda bersabda, ” Makanlah (kismis) ini kerana kismis adalah sebaik-baik makanan yang dapat menghilangkan lelah, meredakan kemarahan, menguatkan urat saraf, mewangikan bau mulut, menghilangkan kahak dan menjernihkan warna.”

At-Tib An-Nabawi hal. 294

Berikut adalah khasiat dan kebaikan kismis berdasarkan sains:

1) Padat dengan Nutrien

Profil nutrien bagi jenis-jenis kismis ini pada dasarnya adalah sama kerana perbezaannya hanyalah sedikit. Dalam 100 gram kismis, terdapat nutrien seperti berikut:

  • Tenaga: 299 kcal
  • Protein: 3.3 gram
  • Lemak: 0.25 gram
  • Karbohidrat: 79.32 gram
  • Serat: 4.4 gram
  • Gula (Glukosa & Fruktosa): 65.18 gram
  • Kalsium: 62 miligram
  • Zat Besi: 1.79 miligram
  • Magnesium: 36 miligram
  • Fosforus: 98 miligram
  • Kalium: 744 miligram
  • Vitamin C: 2.3 miligram
  • Vitamin B6: 0.17 miligram
  • Vitamin E: 0.12 miligram

Selain itu,kismis juga mempunyai mineral seperti zink, tembaga, mangan, selenium dan florida.

khasiat kismis

2) Baik untuk Kesihatan Mulut

Kismis mempunyai ciri-ciri antibakteria yang boleh mengurangkan bakteria dan virus dalam mulut.

Dalam satu kajian oleh University of Illinois, 8 sebatian telah diekstrak dari kismis (sultana) dan dikaji aktiviti antibakterianya terhadap bakteria dan virus dalam mulut. Hasil kajian mendapati 2 sebatian dalam kismis ini mempunyai ciri-ciri antimikrob yang boleh mengekang pertumbuhan bakteria dalam mulut yang mempunyai perkaitan dengan penyakit gigi (1).

3) Mengurangkan Risiko Penyakit Kardiovaskular

Penyakit kardiovaskular seperti strok,penyakit jantung, serangan jantung, dan kegagalan jantung merupakan antara pembunuh tertinggi di seluruh dunia.

Pengambilan kismis juga menunjukkan penambahbaikan terhadap glukosa darah dan mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular.

Dalam satu kajian mendapati pengambilan kismis 100 gram sehari menurunkan paras LDL teroksida secara ketara. LDL (low-density lipoproteins) teroksida adalah penanda kepada risiko penyakit arteri koronari (2).

Kajian yang ketuai oleh Prof. (Emeritus) Dr. Anderson mendapati pengambilan kismis secara kerap boleh mengurangkan paras gula dalam darah, merendahkan tekanan darah dan mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular (3).

4) Kaya dengan Antioksidan

Kismis juga merupakan sumber kepada sebatian yang terbentuk secara semulajadi yang dikenali sebagai fitonutrien seperti fenol dan polifenol. Nutrien-nutrien ini dikaji mempunyai kapasiti antioksida (4).

Antioksidan boleh membantu menyingkirkan atau meneutralkan radikal bebas daripada darah dan menghalang daripada merosakkan sel dan DNA. Kerosakan akibat radikal bebas ini boleh membawa kepada kanser, penyakit jantung dan strok.

5) Baik untuk Minda

Kismis mengandungi sebatian polifenol yang dikenali sebagai flavonoid (5).

Flavonoid ini memainkan peranan dalam menghalang pengurangan ingatan dan pembelajaran akibat peningkatan usia (6).

Kajian lain terhadap kesan flavonoid terhadap daya ingatan dan kognisi (pembelajaran) mendapati flavonoid boleh melindungi neuron daripada kecederaan akibat daripada neurotoksin dan keradangan-neuro (7).

Perkara 1 hingga 5 telah menjawab persoalan tentang khasiat dan kebaikan kismis untuk kesihatan kita serta kebaikan kismis untuk minda.

Berapa Bijikah Perlu Makan Kismis Sehari?

Rasulullah s.a.w bersabda, “Siapa yang makan 21 buah kismis merah setiap hari maka dalam tubuhnya tidak akan terdapat hal yang tidak disukai.”

At-Tib An-Nabawi hal. 105

Hadis ini menjawab kepada persoalan ini. Maka, pengambilan yang disarankan menurut sunnah adalah 21 biji.

Akhir sekali, kismis adalah makanan yang sihat tidak kira daripada jenis raisin,sultana atau currant. Namun, harus diingat bahawa buah kering ini tinggi dengan kandungan gula dan kalori serta mudah untuk terlebih makan.

1 Comment

Write A Comment