Semua sedia maklum bahawa gula putih mempunyai banyak kesan buruk kepada kita, terutamanya jika diambil secara berlebihan. Hakikatnya, gula putih ini boleh membuat kita ketagih kepadanya.

Gula putih merupakan salah satu kategori dalam karbohidrat bertapis yang boleh membawa masalah seperti kegemukan, penyakit jantung dan kencing manis (diabetes).

Oleh itu, kita perlu mencari pengganti kepada gula putih ini.

pengganti gula putih

1) Stevia

Stevia ialah pemanis semulajadi yang diesktrak daripada daun pokok Stevia rebaudina.

Pemanis ini sifar kalori (1). Stevia juga lebih manis daripada gula putih iaitu kira-kira 100 hingga 300 kali ganda lebih manis. Kini, stevia sudah mudah didapati di Malaysia, yang dijual dalam bentuk tablet ataupun cecair.

Secara saintifiknya, stevia mempunyai kesan positif kepada gula dalam darah bagi mereka yang menghidap diabetes jenis 2 (2). Selain itu, stevia juga mempunyai ciri-ciri antioksidan (3).Selain itu, stevia juga tidak merosakkan gigi kita (4).

Walau bagaimanapun, ada sesetengah orang tidak mengemarinya kerana pemanis ini meninggalkan sedikit rasa pahit selepas meminum atau memakannya.

2) Xylitol

Xylitol ialah gula alkohol (jangan risau ia halal dan boleh dimakan). Rasanya sama seperti gula putih. Namun, ia lebih rendah kalori berbanding gula putih iaitu kira-kira 2/3 daripada nilai kalori gula putih.

Kebiasaanya, xylitol boleh ditemui dalam ubat gigi atau gula-gula penyegar nafas.

Secara saintifiknya, Xylitol mempunyai manfaat bagi mengatasi masalah reput gigi dan kaviti (5). Pemanis ini juga tidak menaikkan tahap insulin dan hanya menyebabkan kenaikan minimum pada gula darah (6). Maka, Xylitol sesuai untuk mereka yang mempunyai penyakit diabetes jenis 2 dan masalah berat badan.

Harus diingat, bagi mereka yang membela anjing, Xylitol adalah sangat toksik dan boleh membawa maut kepada anjing (7).

3) Erythritol

Erythritol juga ialah gula alkohol.

Erythritol ialah gula alkohol yang ditemui secara semulajadi dalam sesetengah buah-buahan. Rasanya hampir sama seperti gula putih dan rendah kalori iaitu 0.24 kalori setiap gram serta meninggalkan rasa sejuk dalam mulut sekiranya dikemam atau hisap.

Kajian saintifik mendapati Erythritol tidak melantunkan gula darah dan tahap insulin. Pemanis ini juga tidak mempunyai sebarang kesan terhadap kolestrol dan triglycerides (sejenis lemak dalam darah) (8).

4) Pemanis Buah Sami (Monk Fruit)

Monk Fruit turut dikenali sebagai Luo Han Guo. Buah ini berasal dari selatan China dan Utara Thailand.

Pemanis buah sami ini diekstrak dari buah sami itu sendiri dan mempunyai kemanisan hampir 300 kali ganda gula putih.

Secara saintifiknya, buah sami ini sifar kalori. Sifatnya yang sifar kalori menjadikan pemanis buah sami ini pilihan yang baik untuk mereka yang ingin menurunkan berat badan (9). Sebatian dalam buah sami ini (mogrosides) juga mempunyai sifat antioksidan yang boleh melawan radikal bebas (10).

Kesimpulannya, bagi mereka yang ingin menurunkan berat badan atau mengamalkan gaya hidup sihat bolehlah memilih pengganti gula putih ini sebagai alternatif dalam diet seharian mereka.

Write A Comment