Disebalik rupanya yang tidak menarik, buah avokado (avocado) menyimpan 1001 khasiat untuk kesihatan manusia. Buah avokado berasal daripada pokok avokado yang secara saintifiknya dikenali sebagai Persea americana.

Berbeza dengan buah-buahan yang lain, buah avokado kaya dengan lemak sihat.

Buah yang turut dikenali sebagai buah mentega atau alligator pear berpotensi sebagai pencegah kanser, membantu dalam penghadaman, penyakit jantung dan mengurangkan risiko obesiti.

Berikut merupakan 10 khasiat buah avokado yang disokong oleh sains:

1. Avokado Kaya dengan Nutrien

Dalam satu hidangan buah ini (100 gram) terdapat:

  • 167 kalori tenaga
  • 15.4 gram lemak
  • 8.6 gram karbohidrat
  • 6.8 gram serat
  • 0.3 gram gula

Selain itu, buah avokado kaya dengan vitamin dan mineral seperti kalium, fosforus, magnesium, vitamin K, vitamin A,vitamin E, folat, vitamin B1,B2,B3 dan lain-lain lagi.

2. Makanan untuk Kurus

Pemakanan memainkan peranan yang besar dalam diet untuk menurunkan berat badan. Dua komponen utama iaitu karbohidrat dan gula adalah musuh utama bagi mereka yang ingin mengurangkan berat badan.

Bagi 100gram buah ini, terdapat 8.6 gram karbohidrat yang terdiri daripada 6.8 gram serat. Ini bermakna karbohidrat bersih hanyalah sebanyak 1.8 gram sahaja. Oleh sebab itu, buah avokado dikenali sebagai buah rendah karbohidrat “low-carbs“.

Disamping karbohidrat yang rendah, buah ini juga tinggi dengan lemak sihat iaitu asid lemak monotaktepu (MUFA). Lemak yang sihat ini dapat membuatkan kita rasa kenyang.

Selain itu, dengan memakan lemak, otak kita akan menerima isyarat untuk menutup selera makan. Maka, secara tidak langsung dapat mengurangkan kekerapan untuk sesorang itu makan serta akan mempercepatkan proses penurunan berat badan.

khasiat buah avocado

3. Buah Avokado Boleh Merendahkan Tekanan Darah

Buah avokado mengandungi kandungan kalium (potassium) yang tinggi. Malahan lebih tinggi daripada buah pisang. Bagi 100 gram buah ini, terdapat 507 miligram kalium.

Kajian mendapati pengambilan kalium yang tinggi boleh mengurangkan tekanan darah dalam kalangan mereka yang mengalami masalah tekanan darah tinggi atau hipertensi yang menjadi faktor utama kepada strok, serangan jantung dan kegagalan buah pinggan (1).

Selain itu, kalium berfungsi untuk mengurangkan kesan natrium (sodium). Makin banyak kita mengambil kalium, makin banyak natrium kita disingkirkan melalui air kencing (2).

4. Buah Avokado Boleh Merendahkan Kadar Kolesterol dan Trigliserida

Kolesterol yang tinggi, kadar trigliserida yang tinggi, dan tekanan darah yang tinggi merupakan antara punya kepada penyakit atau serangan jantung.

Beberapa kajian mendapati, buah avokado yang kaya dengan asid lemak monotaktepu (MUFA) dapat mengurangkan kadar jumlah kolesterol sebanyak 17%, merendahkan kolesterol-LDL (kolesterol jahat) sebanyak 22%, menurunkan kadar trigliserida sebanyak 22% dan meningkatkan kolesterol-HDL (kolesterol baik) sebanyak 11% (3).

5. Boleh Membantu Proses Penghadaman

Selain tinggi dengan asid lemak, buah ini juga tinggi dengan serabut diet (serat). Terdapat kira-kira 6-7 gram serat dalam 100 gram buah ini.

Pengambilan makanan yang kaya dengan serat semulajadi boleh membantu proses penghadaman. Selain dapat mengelakkan sembelit, serat juga boleh mengekalkan kesihatan saluran pencernaan dan mengurangkan risiko daripada terkena kanser kolon (4, 5).

6. Mungkin Boleh Mencegah Kanser

Terdapat kajian yang terhad terhadap manusia dalam mengetahui keupayaan buah avokado untuk mencegah dan merawat kanser.

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa kajian makmal mendapati, buah ini boleh mencegah kanser.

Satu kajian oleh pengkaji di The Ohio State University mendapati buah avokado ini mempunyai nutrien bersifat fitokimia yang boleh mencegah kanser (6).

Selain itu, dalam satu kajian makmal, ekstrak avokado juga dilihat boleh mencegah tumbesaran sel kanser prostat (7).

7. Buah Avokado Baik Untuk Mata

Buah avokado mengandungi lutein dan zeaxantin iaitu antioksidan yang baik untuk mata.

Kajian menunjukkan lutein dan zeaxantin ini melindungi makula mata dari sinaran biru dan juga dikaitkan dengan mengurangkan risiko degenerasi makular berkaitan usia dan katarak (8).

9. Mencegah dan Merawat Osteoporosis

Buah ini juga tinggi dengan vitamin K. Terdapat kira-kira 21 mikrogram vitamin K bagi setiap 100gram buah avokado.

Vitamin K juga mempunyai peranan dalam kesihatan tulang.

Kajian mendapati, vitamin K bukan hanya meningkatkan ketumpatan mineral tulang dalam kalangan mereka yang mengalami osteoporosis, bahkan turut mengurangkan kadar keretakan (9).

10. Berpotensi Mengurangkan Risiko Depresi

Kandungan folat yang tinggi dalam buah ini boleh membantu mengurangkan risiko depresi (tekanan perasaan). Hal ini kerana, folat mencegah pembentukan homosisteina iaitu bahan yang mengurangkan kitaran dan penghantaran nutrien kepada otak.

Homosisteina yang berlebihan boleh menganggu penghasilan serotonin, dopamina, dan norepinefrina yang mengawal mod, tidur dan selera makan (10).

Kesimpulan

Sememangnya tidak dapat dinafikan lagi tentang khasiat buah avokado untuk keihatan kita.

Bukan sahaja berkhasiat malahan sedap dan mudah untuk dijadikan salah satu bahan dalam menu harian kita. Selain boleh dijadikan salad, buah ini juga boleh dijadikan jus dan yang paling penting buah ini mesra untuk mereka yang ingin menurunkan berat badan!

Write A Comment