Nutrisi

Nutrisi Buah Durian (+Jenis-jenis Durian Yang Popular)

Pinterest LinkedIn Tumblr

Musang King, D24, Udang Merah atau IOI adalah antara jenis-jenis durian yang cukup popular. Mungkin kita hanya tahu akan keenakan rasanya sahaja tetapi tidak mengetahui khasiat atau nutrisi dalam buah durian ini. Di sini, kami kongsikan 1001 maklumat berkenaan nutrisi buah durian dan jenis-jenis buah durian yang popular.

Durian atau nama saintifiknya Durio zibethinus dikenali sebagai raja buah di Malaysia. Jenis-jenis durian di Malaysia dibezakan berdasarkan bentuk, warna kulit, duri, rasa dan warna isinya.

Fakta Nutrisi Buah Durian

Berdasarkan pengkalan data makanan Malaysia (MyFCD) bagi 100g isi buah durian, terdapat nutrien-nutrien seperti berikut:

NutrienUnitNilai bagi 100g
Proksimat
Airg64.1
Tenaga (Kalori)kcal153
Proteing2.7
Jumlah lipid (lemak)g3.4
Karbohidratg27.9
Seratg0.9
Mineral
Kalsium, Camg40
Zat Besi, Femg1.9
Fosforus, Pmg44
Kalium, Kmg70
Natrium, Namg40
Vitamin
Vitamin Cmg23.3
Thiamin (B1)mg0.1
Riboflavin (B2)mg0.13
Niacin (B3)mg0
Retinol, REµg25
Folatµg36

1. Kalori dan Karbohidrat

Bagi ulas durian seberat 100 gram, terdapat 153 kcal kalori dan 27.9 gram karbohidrat. Durian adalah sumber yang baik untuk mendapatkan tenaga.

Bagi mereka yang sedang berdiet, anda harus melihat dua komponen utama ini sebelum makan buah durian. Sesuai untuk diambil atau tidak adalah bergantung kepada jenis diet yang sedang anda jalani.

Sekiranya anda sedang menjalani diet rendah karbohidrat seperti Atkins dan keto, buah durian bukanlah pilihan yang baik kerana kandungan karbohidrat yang agak tinggi dan mudah untuk anda terlebih makan.

2. Kalsium

Kalsium adalah mineral penting yang berperanan untuk menguatkan tulang manusia. 99% kalsium dalam badan berada dalam tulang dan gigi.

Selain untuk tulang dan gigi, kalsium juga diperlukan untuk pergerakan otot dan fungsi kardiovaskular. Kalsium juga penting untuk mengekalkan komunikasi yang sihat antara otak dan saraf di seluruh badan.

Tambahan lagi, kalsium juga membantu salur darah membawa darah ke seluruh badan dan membantu membebaskan hormon dan enzim yang memberi kesan terhadap setiap fungsi badan manusia.

100 gram isi durian, membekalkan kira-kira 40 miligram kalsium iaitu 4% daripada cadangan pengambilan nutrien (RNI) untuk kalsium bagi orang dewasa di Malaysia.

3. Zat Besi

Zat besi adalah mineral yang penting kepada badan kita. Zat besi berperanan dalam membantu membawa oksigen ke seluruh badan kita. Zat besi adalah komponen penting kepada hemoglobin.

Hemoglobin adalah bahan dalam sel darah merah yang membawa oksigen dari paru-paru ke seluruh badan. Sekiranya anda kekurangan zat besi, badan tidak mampu menghasilkan sel-sel darah merah yang mencukupi untuk membawa oksigen. Maka, ini yang menjadi punca kenapa badan anda sering keletihan walaupun anda sihat.

Kekurangan zat besi juga boleh menyebabkan penyakit anemia iaitu penyakit kekurangan sel darah merah.

100 gram isi buah durian membekalkan kira-kira 13% zat besi kepada lelaki dewasa berdasarkan cadangan pengambilan nutrien (RNI) Malaysia.

4. Fosforus

Fosforus adalah mineral kedua yang paling banyak dalam badan selepas kalsium. Fungsi utama mineral fosforus ini adalah dalam pembentukan tulang dan gigi.

Mineral ini juga diperlukan oleh badan untuk membuat protein untuk tumbesaran, menyelenggara dan membaiki tisu-tisu atau sel-sel yang rosak.

Fosforus juga membantu badan menghasilkan ATP iaitu molekul yang digunakan oleh badan untuk menyimpan tenaga.

100 gram isi durian membekalkan kira-kira 6% fosforus kepada lelaki dan wanita dewasa berdasarkan cadangan pengambilan nutrien Malaysia.

5. Kalium

Kalium atau dalam bahasa inggerisnya Potassium adalah mineral yang diperolehi melalui makanan yang dimakan.

Kalium juga penting dalam banyak fungsi badan seperti mengurangkan tekanan darah, mengawal keseimbangan bendalir dalam badan, membantu dalam fungsi sistem saraf dan membantu mengawal pengecutan otot dan jantung.

Kalium sering dikaitkan dengan pelbagai manfaat kesihatan seperti mengurang tekanan darah, mengurangkan risiko terkena strok, mencegah pereputan tulang dan mengelakkan berlakunya batu karang.

100 gram isi durian membekalkan kira-kira 1.5% kalium kepada lelaki dan wanita dewasa berdasarkan RNI Malaysia.

6. Vitamin C

Vitamin C merupakan vitamin penting yang mampu menjadi pelindung kepada kekurangan sistem imun, penyakit kardiovaskular, penyakit mata, masalah kesihatan kandungan dan juga kedutan pada kulit.

Vitamin C juga bertindak sebagai antioksidan dalam badan yang melindungi sel-sel dalam badan daripada kerosakan akibat radikal bebas.

Selain itu, vitamin C juga diperlukan oleh badan untuk menghasilkan kolagen. Kolagen adalah protein yang membantu menyembuhkan luka dan melambatkan kedutan kulit.

100 gram isi durian membekalkan kira-kira 33% vitamin C kepada lelaki dan wanita dewasa berdasarkan RNI Malaysia.

7. Vitamin B

Vitamin B kompleks seperti Thiamin (B1), Riboflavin (B2), Niacin (B3), B6 dan B12 mempunyai banyak khasiatnya. Bermula dari peranannya dalam metabolisma badan hingga ke fungsi neurologi dan DNA.

Vitamin B1 dan B2 membantu badan menukarkan makanan kepada tenaga. Vitamin B1 mempunyai manfaat kepada sistem saraf dan vitamin B2 baik untuk kesihatan mata.

100 gram isi durian membekalkan kira-kira 8% vitamin B1 dan 10% vitamin B2 kepada lelaki dewasa berdasarkan RNI Malaysia.

8. Retinol (Vitamin A)

Buah durian juga mempunyai vitamin A atau turut dikenali sebagai Retinol. Vitamin A penting untuk fungsi penglihatan, fungsi imunisasi dan pembiakan.

100 gram isi durian membekalkan kira-kira 4 % vitamin A kepada lelaki dan wanita dewasa.

Khasiat Durian Yang Lain

Berdasarkan profil nutrisi dan kandungan antioksidannya, beberapa khasiat buah durian yang lain yang boleh diperolehi termasuklah:

9. Membantu mengurangkan kemurungan dan meningkatkan kualiti tidur

Buah durian mengandungi asid amino yang dikenali sebagai tryptophan. Tryptophan ialah sebatian yang boleh mendorong atau memudahkan seseorang itu untuk tidur. Sebatian ini juga diperlukan dalam penghasilan serotonin dan melatonin.

Para pengkaji percaya bahawa kekurangan atau ketidakseimbangan kadar serotonin boleh mempengaruhi emosi dan membawa kepada kemurungan. Oleh itu, durian boleh meningkatkan kadar serotonin yang seterusnya boleh mengurangkan terjadinya kemurungan.

10. Membantu menambah darah

Selain mengandungi zat besi, buah durian juga kaya dengan folat. Folat adalah vitamin yang turut berperanan dalam menghasilkan hemoglobin. Gabungan nutrien seperti zat besi, vitamin c dan folat dalam durian boleh membantu menambah darah dan mengelakkan terjadinya penyakit anemia.

11. Rendah Indeks Glisemik

Walaupun durian tinggi dengan kandungan gula, tetapi buah ini mempunyai indeks glisemik yang rendah iaitu 49. Makanan yang rendah indeks glisemik tidak meningkatkan gula dalam darah serta merta.

Indeks yang rendah ini dipercayai disumbang oleh kandungan serat dan lemaknya. Ini juga membolehkan sesiapa yang makan buah ini kenyang dengan lebih lama.

12. Berpotensi Merendahkan Kadar Kolesterol

Terdapat kajian yang dijalankan oleh pengkaji dari Thailand terhadap haiwan mendapati durian boleh mengurangkan jumlah kolesterol dan kolesterol-LDL (kolesterol jahat).

Kajian lain turut menunjukkan buah durian boleh mengurangkan jumlah kolesterol, kolesterol LDL (kolesterol jahat) dan trigliserida.

Dapatan ini menunjukkan potensi besar buah durian dalam penurunan kadar kolesterol. Banyak kajian masih diperlukan untuk menyokong dapatan ini.

13. Boleh Melawan Kanser

Durian turut mengandungi polifenol dan flavonoid yang mempunyai kesan terhadap sel-sel kanser.

Polifenol ialah mempunyai aktiviti antioksidan yang boleh mengurangkan kadar radikal bebas. Radikal bebas yang berlebihan boleh menyebabkan tekanan pengoksidaan serta penyakit kronik termasuklah kanser.

Kajian makmal mendapati ekstrak durian boleh mencegah pertumbuhan (pembiakan) sel-sel kanser payudara. Kajian awal ini menunjukkan potensi besar buah durian dalam melawan kanser dan kajian-kajian lanjut harus dijalankan terutamanya terhadap manusia.

14. Mengandungi Probiotik

Tempoyak mungkin tidak asing lagi bagi kita. Tempoyak biasanya digunakan dalam masakan seperti Patin Tempoyak atau Sambal Tempoyak.

Kajian mendapati tempoyak ini mengandungi bakteria baik daripada jenis Lectobacillus yang turut dikenali sebagai probiotik.

Probiotik ini baik untuk kesihatan perut dan sistem penghadaman kita.

Jenis-jenis Buah Durian di Malaysia

Berikut adalah senarai buah durian yang telah didaftarkan dan ciri-ciri buah tersebut berdasarkan maklumat yang disediakan oleh FAMA.

Musang King: nutrisi buah durian

Durian Musang King atau Raja Kunyit (Kod: D197)

Ciri-ciri:

  • Bentuk buah bulat bujur dan mempunyai kulit berwarna hijau muda.
  • Hujung buah mempunyai bentuk bintang.
  • Isi berwarna kuning keemasan dan rasanya lemak manis dan pahit.
durian jenis D24

Durian D24

Ciri-ciri:

  • Buah berbentuk bulat membujur.
  • Durinya tajam dan halus dan kulitnya berwarna hijau muda.
  • Tangkalnya sederhana panjang.
  • Isinya tebal berwarna kuning muda dan berasa lemak manis dan sedikit pahit.
  • Mempunyai ulas yang besar.
buah durian jenis Udang Merah

Durian Udang Merah (Kod D175)

Ciri-ciri:

  • Buahnya sederhana besar dan bujur.
  • Kulitnya berwarna hijau perang dan berduri pendek.
  • Isinya tebal berwarna merah kekuningan.
  • Rasanya lemak manis dan sedikit pahit.
buah durian jenis ioi , D168

Durian Hajjah Hasmah (IOI) (Kod D168)

Ciri-ciri:

  • Buah berbentuk bulat dan sederhana besar.
  • Kulit berwarna hijau perang dan bertangkal pendek.
  • Isinya sederhana tebal, pejal dan berwarna jingga.
  • Rasanya lemak manis dan sedikit pahit.
durian Duri Hitam

Durian Duri Hitam (Kod D200)

Ciri-ciri:

  • Buahnya berbentuk bulat.
  • Kulitnya berwarna perang dan berduri pendek.
  • Hujung buah melengkung ke dalam dan durinya berwarna hitam.
  • Isi berwarna oren dan tebal.
  • Rasanya manis dan pahit.
nutrisi dalam buah durian durian jenis XO

Durian XO

Ciri-ciri:

  • Buah berbentuk bulat bujur dan berduri pendek.
  • Kulitnya berwarna hijau.
  • Isinya kuning dan tekstur halus.
  • Rasa lemak manis dan sedikit pahit.
buah durian jenis Tekka

Durian Tekka (Kod D160)

Ciri-ciri:

  • Buahnya berbentuk bulat lonjong.
  • Kulitnya berwarna hijau dan sedikit perang.
  • Isinya berwarna kuning dan tebal.
  • Rasanya lemak manis dan pahit.
buah durian jenis D88

Durian D88

Ciri-ciri:

  • Bentuknya bulat bujur.
  • Isinya tebal berwarna kuning keemasan.
  • Rasanya manis berlemak.
buah durian jenis D13

Durian D13

Ciri-ciri:

  • Buahnya berbentuk bulat dan menirus ke hujung.
  • Isinya berwarna kuning dan bertekstur halus.
  • Rasanya manis dan sedikit pahit.
buah durian jenis D198

Durian Kim Hong (Kod D198)

Ciri-ciri:

  • Buahnya berbentuk bulat dan lonjong.
  • Kulit berwarna hijau perang.
  • Isi berwarna kuning dan bertekstur lembut.
  • Rasanya lemak manis dan sedikit pahit.

Durian Mon Thong (Kod D159)

Ciri-ciri:

  • Buahnya besar dan bujur panjang. Bergelugur dan hujung buah tajam.
  • Kulit perang kehijauan.
  • Isinya tebal berwarna kuning.
  • Rasanya lemak manis.

Durian Beserah (Kod D145)

Ciri-ciri:

  • Buahnya besar dan bulat.
  • Kulitnya hijau dan nipis.
  • Isinya sederhana tebal, halus dan berwarna kuning.
  • Rasanya lemak manis.

Rumusan

Maklumat-maklumat nutrisi buah durian ini menunjukkan khasiat yang boleh diperolehi dengan memakan raja buah ini. Khasiat buah durian juga bergantung kepada jenis atau baka buah ini.

Buah durian berkhasiat untuk menguatkan tulang, rendah indeks glisemik, berpotensi menurunkan kadar kolesterol, boleh melawan kanser dan boleh menjadi sumber makanan untuk mendapatkan probiotik.

Kajian juga telah menunjukkan bahawa jenis buah durian yang berbeza mempunyai kadar nutrisi yang berbeza-beza.

Kemaskini terakhir pada 15 Oktober 2020.

Rujukan

Write A Comment