Seekor anak kuda telah jatuh ke dalam sebuah perigi buta yang terletak di pinggir kampung. Anak kuda ini meringkik sekuat hati untuk meminta pertolongan sekiranya ada penduduk kampung melalui kawasan perigi tersebut. Walau bagaimanapun, kawasan perigi itu jarang dilalui oleh penduduk kampung. Maka, anak kuda itu tinggal bersendirian tanpa makanan dan minuman.

Sekiranya berputus asa sekarang, pasti anak kuda itu akan mati dalam perigi buta tersebut. Jadi anak kuda itu mencuba beberapa cara untuk keluar dari perigi itu, namun tidak berjaya.

kisah anak kuda yang tidak putus asa

Si anak kuda itu meringkik berkali-kali dengan harapan si ibu pula dapat mendengar dan menjumpainya. Namun, nasib tidak menyebelahinya kerana hingga ke malam masih tiada pertolongan yang kunjung tiba. Si anak kuda itu kian keletihan dan berehat untuk mengumpulkan tenaga.

Keesokkan harinya, anak kuda itu mencuba lagi cara untuk keluar dari perigi buta tersebut. Dengan menggunakan kekuatan tendangan kaki belakangnya, si anak kuda ini menendang dinding perigi buta tersebut dengan harapan gegaran yang berlaku menyebabkan timbunan pasir dan tanah di sekeliling perigi buta itu jatuh ke dalam perigi itu.

Nampaknya usaha itu berjaya. Penat akibat tidak makan dan minum tidak dipedulikan oleh anak kuda itu, sebaliknya dia terus bersemangat menendang dinding perigi buta tersebut. Semakin lama semakin tinggi timbunan pasir dan tanah yang jatuh ke dalam perigi buta itu. Akhirnya anak kuda itu terselamat dan melompat keluar dengan girangnya.

Pengajaran:

Putus asa menyebabkan ramai manusia mati sebelum mati sebenar. Hidup ini penuh dengan duri dan ranjau. Sebagai manusia, kita tidak akan terlepas daripada ditimpa masalah. Tetapi, persoalan sebenarnya ialah bagaimana kita menguruskan masalah kita tersebut.

Kisah ini menjadi satu pengajaran agar jangan mudah berputus asa. Sebaliknya mencari jalan penyelesaian dan tidak mudah berputus asa. Setiap masalah pasti ada jalan keluarnya. Fikirkan penyelesaian kepada masalah tersebut dan bukannya memikirkan masalah itu.

Adakah putus asa dan bunuh diri adalah jalan penyelesaian? Jawapannya mestilah tidak! Bunuh diri hanyalah mewariskan masalah kepada orang yang kita sayang. Isteri atau suami, anak-anak mahupun ibu bapa kita. Mereka akan dibebani masalah yang kita tinggalkan dan ditambah pula dengan perasaan sedih akibat kehilangan kita.

Oleh itu, banyakkan bersabar dan sentiasa berusaha mencari jalan untuk mengatasi masalah yang dihadapi. Don’t Give Up!

Jangan difikir derita akan berpanjangan,
Kelak akan membawa putus asa pada tuhan,
Ingatlah biasanya kabus tak berpanjangan,
Setelah kabus berlalu pasti cerah kembali
-petikan dari lagu nasyid Kehidupan (In-team feat Nazrey)

Write A Comment